Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKUALA LUMPUR – Satu bahasa sukuan baharu telah diiktiraf di Sarawak yang menambahkan bilangan bahasa sukuan sedia ada. Bahasa tersebut ialah bahasa Vaie yang dituturkan suku kaum Vaie sebagai satu bahasa sukuan yang tersendiri. Pada asalnya, bahasa ini dikelompokkan dalam bahasa Melanau Bintulu, namun begitu terdapat perbezaan dalam kosa katanya.
Menurut Dr. Haji Mohd. Sharifudin Yusof, mantan pensyarah Universiti Putra Malaysia, sesuatu yang menarik dalam kajiannya yang lebih mendalam tentang bahasa ini telah ditemukan. Beliau mendapati bahawa bahasa Vaie menggunakan konsonan v, q, dan z, yang hampir sama dengan bahasa Latin di Turin, Itali.
Kewujudan pelbagai variasi bahasa sukuan dalam kalangan suku kaum tersebut menampilkan dialek yang berbeza sehingga menimbulkan sedikit kesukaran dalam proses pendokumentasian kosa kata bahasa sukuan setempat. Perbezaan kosa kata dalam bahasa sukuan menyebabkan pertembungan dalam menentukan kosa kata yang tepat dalam kalangan mereka sendiri. Oleh itu, penerimaan kesemua kosa kata tersebut dan mengkategorikannya mengikut suku kaum merupakan jalan yang terbaik.
Di Sarawak, terdapat kira-kira 48 bahasa sukuan dan ada sebilangan daripadanya tidak pernah diketahui kewujudannya atau kedengaran tentangnya. Bahasa sukuan merupakan bahasa komunikasi bagi masyarakat setempat untuk berkongsi pemikiran dan ilmu dalam kalangan mereka. Dalam hal ini, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak khususnya telah memainkan peranannya dengan mengkaji dan mendokumentasikan bahasa sukuan untuk dibukukan, atau dirakam dalam kamus dan daftar kata sukuan.
Bahasa sukuan juga mendepani cabaran dalam kepesatan dunia kini. Generasi muda khususnya berlumba-lumba untuk menimba ilmu dan membina kerjaya di luar kelompok tradisi mereka. Bahasa sukuan berdepan dengan ancaman kepupusan dalam penggunaannya. Hal ini demikian kerana kelompok penuturnya semakin kecil kerana bahasa sukuan hanya dituturkan dalam kalangan kelompoknya sahaja. Bahasa sukuan juga dianggap tidak ekonomikal dan tidak relevan dengan keadaan semasa.
Tegas beliau, bahasa sukuan dilihat mampu memberikan sumbangan dalam memperluas dan memperkaya kosa kata dalam bahasa Melayu itu sendiri. Pengayaan kosa kata bahasa Melayu ini sejajar dengan hasrat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN. Keindahan dan keunikan bahasa sukuan ini juga berpotensi untuk diketengahkan dan diangkat penggunaannya dalam bahasa Melayu sebagai usaha untuk memartabatkannya sebagai antara bahasa komunikasi di ASEAN.