Oleh Avatar photo Suria Janib
16 Mei 2022, 13:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bachok – Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-51 pada tahun ini yang disambut secara gilang-gemilang menyaksikan anak jati dari Sarawak, Datu Dr. Adi Badiozaman @ Badio Tuah dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2022. Beliau menerima wang tunai bernilai RM40 000 dan pingat emas bernilai RM10 000 sumbangan Bank Simpanan Nasional (BSN), serta hadiah iringan berupa plak dan sijil yang disampaikan oleh Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan Kampus Bachok, Kelantan pagi ini.

Penganugerahan tersebut sebagai menghargai sumbangan, jasa dan perjuangan beliau dalam bidang pendidikan, selain sebagai guru bahasa dan aktivis kesusasteraan Melayu, serta telah memenangi pelbagai anugerah termasuklah penulisan ilmiah dan sastera yang turut dijadikan sebagai buku teks Kesusasteraan Melayu dan Komponen Sastera (Komsas).

Datu Dr. Adi Badiozaman @ Badio ialah pemikir, pejuang bahasa dan penulis terulung.

Datu Dr. Adi Badiozaman @ Badio melahirkan rasa terharu dan kesyukuran kerana beliau tidak mengharapkan pengiktirafan. Menurutnya, apa-apa yang diharapkannya adalah untuk membawa perubahan dalam bidang pendidikan.

“Saya tidak memikirkan perihal anugerah, sebaliknya yang penting bagi saya, apakah yang tersirat dan bukannya yang tersurat kerana itulah yang lebih bermakna dan lebih meresap ke dalam jiwa saya”.

Menurut beliau, berdasarkan anugerah yang diterimanya kerana memiliki pelbagai kepakaran dan kemahiran, semua kemahiran tersebut saling melengkapi antara satu sama lain. Tidak ada bezanya antara menumpukan pendidikan secara formal dengan bidang penulisan kerana kedua-dua bidang tersebut saling membentuk dirinya untuk berkongsi pengalaman dengan orang lain.

Sementara itu, bidang penulisan juga menerapkan unsur pendidikan dalam ruang lingkup yang lebih besar. Maka itu, tidak ada istilah untuk memisahkan ruang kemahiran pengajaran dan penulisan, sebaliknya saling melengkapi.

“Hal ini diumpamakan seperti tali-temali yang perlu dianyam supaya menghasilkan suatu produk yang dapat dibanggakan kerana hasil ini akan memberikan nilai tersendiri dalam proses pembentukan insan supaya menjadi lebih bertanggungjawab, beraklak mulia dan dapat memainkan peranan sebagai khalifah di bumi Allah. Pada masa yang sama, saya dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai hamba Allah.”

Tambahnya lagi, terdapat ruang besar yang dapat dimanfaatkan bersempena dengan sambutan dan perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ini. Yang pertama ialah kesedaran untuk meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan guru. Profesionalisme tersebut perlu disandarkan kepada ilmu pengetahuan pendidikan sama ada isi kandungan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan mata pelajaran yang diajar oleh guru ataupun yang berkaitan dengan pedagogi ilmu pengetahuan. Oleh sebab kini terdapat keinginan dalam kalangan generasi dewasa untuk melanjutkan pelajaran, maka selain kepentingan memiliki pedagogi ilmu pengetahuan, mereka perlu mempunyai kemahiran profesion keguruan dalam pendidikan.

Yang kedua, guru perlu memiliki kemahiran profesion ini yang merangkumi kemahiran menggubal kokurikulum supaya relevan dengan situasi ketika itu dan mengikut kesesuaian peredaran semasa. Guru juga dituntut memiliki kemahiran menyampaikan ilmu dengan pelbagai cara dan pendekatan serta strategi bagi memungkinkan isi kandungan yang penting dalam kokurikulum itu dapat disampaikan kepada kumpulan sasaran.

Begitu juga halnya dengan komponen pentaksiran yang sangat penting ditekankan dalam konteks membantu pembelajaran. Oleh itu, kemahiran keguruan ini perlu diketahui dan dipegang oleh guru serta perlu disemarakkan semula semasa sambutan Hari Guru seperti ini.

Selain itu, dari aspek profesion keguruan, guru perlu mengetahui autonomi yang dibenarkan oleh guru untuk membuat keputusan. Guru perlu berani membuat keputusan berpandukan kepakaran, pengalaman dan ilmu pengetahuan.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan perubahan persekitaran yang baharu, guru juga hendaklah kreatif dan melihat kemungkinan baharu, serta tidak terlalu merujuk pengalaman lampau, iaitu pengalaman yang dikongsikan oleh orang lain. Sebaliknya guru tersebut perlu mencari kelainan, kaedah dan pendekatan yang baharu sama ada semasa mengajar ataupun berkomunikasi.

Misalnya, ketika pandemik COVID-19 ini, guru perlu melalui pendekatan komunikasi dengan cara baharu. Guru perlu melihat kemungkinan ini untuk meneroka dan mengangkat darjatnya sebagai orang yang berwibawa untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dan berkongsi kemahiran yang ada kepada anak muridnya. Mereka tidak boleh berada dalam zon selesa. Oleh itu, guru perlulah ghairah untuk meningkatkan keupayaan dan kecekapan diri.

“Apabila kita memilih untuk menjadi guru, maka berbanggalah kita menjadi pendidik dan anggaplah setiap usaha kita untuk memastikan yang terbaik dengan membaiki diri melalui perolehan ilmu dan kemahiran, serta pembentukan sikap yang positif secara berterusan.”

Pada majlis yang sama turut diumumkan penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2022, yang berasal dari Perlis, iaitu Cikgu Roslan Yatim yang menjadi pencetus aspirasi, pemangkin inovasi dan penggerak pendidikan. Selama 37 tahun, beliau menabur bakti dan kecintaan terhadap anak bangsa dan tempoh itu bukanlah suatu jangka masa yang singkat. Daripada seorang guru biasa, beliau melangkah sehingga bergelar Guru Besar Cemerlang. Ternyata bukan calang-calang insan yang cemerlang buat ini kerana beliau telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak tiga kali, malah pihak istana turut menghargai jasa beliau dengan mengurniainya Pingat Jasa Kebaktian dan Pingat Mahkota Perlis.

Cikgu Roslan Yatim bermula daripada guru biasa yang kemudiannya menjadi guru yang luar biasa hebatnya.

Beliau juga terserlah dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi hingga peringkat antarabangsa sehingga menerima Anugerah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Kementerian Pendidikan Malaysia (2013), serta menerima pelbagai anugerah termasuklah Anugerah Inovasi Sektor Awam, Jabatan Perdana Menteri (2013), Anugerah Inovasi Sektor Awam, Jabatan Perdana Menteri (2013), Anugerah Khas Kepimpinan Cemerlang, Universiti Malaysia Perlis (2014), Guru Ikon Sekolah Negeri (Perlis) dan Tokoh Guru Negeri Perlis (2021).

Kecintaan Cikgu Roslan terhadap dunia pendidikan diteruskan juga selepas beliau bersara. Jasa dan baktinya tetap terserlah melalui pelibatannya dalam pelbagai pertubuhan yang membuktikan khidmat dan kepemimpinan beliau sentiasa didambakan. Beliau seorang insan yang terpilih dan walaupun berada di mana-mana tetap terpancar kemilau auranya. Maka itu, tidak dapat disangkal lagi akan ketokohan guru hebat bernama Roslan Yatim yang menerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2022.

Beliau turut menerima hadiah berupa wang tunai bernilai RM40 000 dan pingat emas bernilai RM10 000 yang disumbangkan oleh BSN, serta hadiah iringan berupa plak dan sijil penghargaan. Hadiah tersebut turut disampaikan oleh Menteri Kanan Pendidikan Malaysia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.