Oleh E Pian Pro Poul
3 Jun 2022, 22:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Semanggol – Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mudzaffar Shah, Kelab Penyair dan Deklamator Perak, serta Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Kerian telah menganjurkan Program Baca dan Tonton (BACATON) bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2022. Program ini diadakan untuk mempersegar semangat membaca dalam kalangan pelajar sekolah dan masyarakat setempat.

Program ini turut menampilkan YBhg. Datuk Dr. Zulkafli Ghazali, mantan Pengarah Bahagian Pemprosesan Radiasi, Agensi Nuklear Malaysia sebagai ikon program.  Beliau merupakan alumni SMK Mudzaffar Shah sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Alam Shah Kuala Lumpur, Universiti Kebangsaan Malaysia dan seterusnya ke peringkat sarjana di Manchester University dan doktor falsafah di Leeds University, United Kingdom. Kepulangan beliau ke SMK Mudzaffar Shah umpama sirih pulang ke gagang dan ikan pulang ke lubuk yang memberikan semangat kepada anak-anak zaman baharu di sekolah berkenaan untuk terus membaca dan menimba ilmu demi kemajuan diri, keluarga, bangsa dan negara.

YBhg. Datuk Dr. Zulkafli Ghazali sebagai ikon program BACATON, yang juga alumni SMK Mudzaffar Shah.

Sementara itu, Encik Zulkifli Jamaludin, Timbalan PPD Kerian (Sektor Pembangunan Murid) ketika merasmikan program menegaskan bahawa budaya membaca amat penting diterapkan secara bersungguh-sungguh dalam kalangan pelajar kerana dengan membacalah ilmu untuk membina sahsiah diri itu diperoleh.

Contoh yang paling jelas ialah ikon yang ditampilkan pada hari ini, iaitu daripada seorang budak kampung, beliau belajar sampai memperoleh kejayaan seperti pada hari ini. Datuk Dr. Zulkafli Ghazali merupakan antara kejayaan SMK Mudzaffar Shah dan kebanggaan Daerah Kerian.

Encik Zulkifli Jamaludin, Timbalan PPD Kerian.

Encik Zulkifli turut menyarankan agar program seumpama ini diteruskan dan diadakan dengan skala yang lebih besar dengan kerjasama pelbagai pihak supaya memanfaatkan pelajar dan masyarakat setempat. Dengan cara ini, akan lebih ramai lagi “Datuk Dr. Zulkafli Ghazali” lahir di Daerah Kerian ini.

Sementara itu, Datuk Dr. Zulkafli Ghazali juga mencadangkan agar ditubuhkan Alumni SMK Mudzaffar Shah supaya kegiatan ilmu seperti ini dapat digerakkan dengan lebih luas dan sistematik dengan kerjasama DBP, PPD dan badan-badan bukan kerajaan yang ada.

Program bual bicara ini dipengerusikan oleh pengasas BACATON, Encik Sallehuddin Ibrahim. Yang turut hadir dalam program ini termasuklah Encik Rahimi Arifin (Pengarah DBPWU) dan Tuan Haji Mustapa Abidin (Pengetua SMK Mudzaffar Shah), serta Tuan Haji Sahariman Abdul Manap (Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Kerian)

Pengasas BACATON, Encik Sallehuddin Ibrahim (kanan) menemu bual ikon BACATON, Ybhg. Datuk Dr. Zulkafli Ghazali.

Program ini yang diadakan bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 11.00 pagi di Dewan Jaya, SMK Mudzaffar Shah, Simpang Empat, Semanggol, Perak, turut disertai oleh guru-guru dan pegawai-pegawai PPD Kerian. Deklamasi puisi dan dendangan syair oleh pemuisi jemputan dan pelajar sekolah turut mewarnai program sebagai wadah untuk menyemarakkan kegiatan bersempena dengan DMK 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.