Oleh Kho Thong Eng
7 Jun 2022, 11:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata mana tergolong sebagai subgolongan kata nama, iaitu kata ganti nama tanya. Oleh itu, kata mana dapat menduduki gatra subjek atau predikat ayat.  Penggunaan kata mana dalam ayat adalah seperti yang berikut:

1a.  Mana/yang awak pilih?           (susunan biasa)

1b.  Yang awak pilih/mana?          (susunan songsang)

 

2a.  Yang awak pilih/mana?          (susunan biasa)

2b.  Manakah/yang awak pilih?    (susunan songsang)

Dalam kelompok ayat 1, kata mana menduduki gatra subjek ayat dengan pola FN (Frasa Nama) + FK (Frasa Kerja). Dalam kelompok ayat 2 pula, kata mana menduduki gatra predikat ayat dengan pola FN (Frasa Nama) + FK (Frasa Nama).

Kata ganti nama tanya mana bertukar menjadi kata ganti nama tak tentu mana-mana apabila digandakan. Dalam hal ini, kata mana-mana boleh juga diikuti kata nama.  Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Pilihlah mana-mana yang awak suka.

3b.  Pilihlah mana-mana novel yang awak suka.

 

Oleh sebab kata mana merupakan subgolongan kata nama, kata itu tidak perlu diiringi oleh kata hubung relatif yang untuk berfungsi sebagai kata nama. Sila lihat contoh yang berikut:

4a.  *Yang awak pilih yang mana?

4b.  *Yang manakah yang awak pilih?

 

Kata mana dapat digandingkan dengan sesetengah kata tanya untuk menghasilkan frasa sendi nama tanya. Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  Dia tinggal di mana?

5b.  Di manakah dia tinggal?

 

6a.  Dia berasal dari mana?

6b.  Dari manakah dia berasal?

 

7a.  Dia hendak ke mana?

7b.  Hendak ke manakah dia?

Dalam kelompok ayat 5, kata ganti nama tanya mana bergandingan dengan sendi nama di untuk menghasilkan frasa sendi nama tanya di mana. Dalam kelompok ayat 6, kata ganti nama tanya mana bergandingan dengan sendi nama dari untuk menghasilkan frasa sendi nama tanya dari mana. Dalam kelompok ayat 7 pula, kata ganti nama tanya mana bergandingan dengan sendi nama ke untuk menghasilkan frasa sendi nama tanya ke mana.

Selain itu, fungsi kata mana sebagai ganti nama tanya bererti kata itu tidak boleh hadir dalam ayat penyata. Kesilapan ini sering berlaku apabila kata mana digandingkan dengan kata hubung relatif yang. Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  *Itulah rumah yang mana dibelinya.

8b.  Itulah rumah yang dibelinya.

 

9a.  *Itulah kerja berkualiti seperti mana yang diharapkan.

9b.  Itulah kerja berkualiti yang diharapkan.

9c.  Itulah kerja yang berkualiti seperti yang diharapkan.

 

10a.  *Dia akan menangis bila mana dia berasa sedih.

10b.   Dia akan menangis apabila dia berasa sedih.

 

Frasa sendi nama tanya dengan kata mana juga tidak boleh digunakan dalam ayat penyata. Sila lihat contoh yang berikut:

11a. *Itulah tempat di mana dia tinggal.

11b.  Itulah tempat tinggalnya.

11c.  Itulah tempat kediamannya.

11d.  Itulah tempat yang didiaminya.

 

12a.  *Saya tidak tahu ke mana dia hendak pergi.

12b.  Saya tidak tahu tentang destinasinya (tempat tujuannya).

 

13a.  *Saya akan menyiasat dari mana dia mendapat maklumat itu.

13b.  Saya akan menyiasat sumber maklumatnya.

 

Kata mana dapat didahului oleh kata nama dalam sesuatu ayat. Sila lihat contoh yang berikut:

12a.  Yang awak pilih baju mana?

12b.  Baju manakah yang awak pilih?

 

Kata mana juga boleh ikuti oleh kata bilangan kardinal satu. Sila lihat contoh yang berikut:

13a.  Yang awak pilih mana satu?

13b.  Mana satukah yang awak pilih?

 

Apabila kata mana ditambah kata penegas -lah atau -tah, yang terhasil ialah ayat tanya retorik yang tidak perlu dijawab. Sila lihat contoh yang berikut:

14a.  Manalah saya tahu tentang jawapannya?

14b.  Manatah saya dapat memujuknya?

 

Bagi ayat 14a, rangkaian kata “manalah saya tahu” menegaskan hakikat bahawa “saya memang tidak tahu”. Dalam ayat 14b, rangkaian kata “manatah dapat” menegaskan hakikat “tidak dapat”. Mesejnya lebih tegas daripada ayat yang berikut:

15a.  Bagaimanakah saya tahu tentang jawapannya?

15b.  Bagaimanakah saya dapat memujuknya?

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.