12 Jun 2022, 13:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Cerita-cerita tentang budaya dan masyarakat Malaysia dapat dibaca melalui terbitan terbaharu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), iaitu siri bacaan dalam tiga bahasa. Siri ini menampilkan beberapa keistimewaan yang tersendiri. Pembaca bukan sahaja akan dapat mengenali budaya dan masyarakat Malaysia melalui cerita-cerita seperti Mawar untuk Ibu, Kebun Kelapa Ayah, Serai dan Pandan, Mari Terbang Bersamaku dan Nasi Lemak Ibu, malah dapat membaca dan mempelajari cerita ini dalam tiga bahasa, iaitu bahasa Melayu yang menggunakan tulisan Jawi, bahasa Inggeris dan bahasa Arab dalam satu cerita.

Beberapa terbitan buku terbaharu DBP yang menampilkan sebuah cerita dalam tiga bahasa.

Buku siri ini dibicarakan dalam Program Bicara Buku di reruai DBP, yang berlangsung pada pagi tadi bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022. Program Bicara Buku ini menampilkan Puan Hajah Che Siah Che Man atau lebih dikenali sebagai “Ummi Jawi”, iaitu penulis dan juga penggiat aktif Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Selangor (Penjawis). Program ini turut menampilkan Puan Amira Husna Amin Hafiz sebagai pemudah cara.

Menurut Che Siah, cerita-cerita yang ditulis dalam siri ini menampilkan cerita kekeluargaan dan dekat dengan para remaja selain menampilkan kisah yang menonjolkan budaya masyarakat Malaysia yang mungkin telah dilupakan. Contohnya, cerita tentang serai dan daun pandan. Remaja pada hari ini mungkin ada yang tidak mengenali daun pandan sedangkan daun pandan ini sering digunakan dalam masakan dan banyak ditanam di halaman rumah.

Mari Terbang Bersamaku pula mengisahkan dua orang adik-beradik yang membuat wau untuk menyertai pertandingan wau yang kini kurang dimainkan oleh remaja pada hari ini.

Ibu bapa atau pelajar bolehlah mendapatkan buku siri ini kerana bersifat ekonomik. Mereka boleh belajar tiga bahasa pada satu masa apabila mereka membaca buku ini. Hal ini dapat menambahkan penguasaan bahasa asing, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Arab kepada mereka.

Pengunjung yang hadir terdiri daripada para pelajar dan kanak-kanak.

Mengulas lanjut tentang penggunaan tulisan Jawi dalam siri ini, penulis menjelaskan bahawa tulisan Jawi dipilih untuk menambah bahan pembacaan Jawi bagi remaja supaya tulisan Jawi ini tidak dilupakan dan dibaca oleh remaja.

Tulisan Jawi bukan hanya sekadar sistem yang dieja atau dibaca, sebaliknya tulisan Jawi itu jiwa bangsa Melayu yang mempunyai hubungan dari segi sejarah dan budaya bangsa Melayu. Kita perlu mengubah fokus pendekatan pengajaran Jawi kepada anak-anak di sekolah agar tulisan ini menjadi jiwa kepada diri mereka.

Program anjuran Bahagian Buku Bahasa, Jabatan Penerbitan, DBP ini bertujuan untuk mempromosikan tiga judul terbaharu dalam Siri Bacaan dalam Tiga Bahasa, Mari Terbang Bersamaku, Serai dan Pandan dan Nasi Lemak Ibu. Program ini turut dihadiri Ketua Editor Buku Bahasa, YM Tengku Fauziah Ku Mat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.