20 Julai 2022, 22:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Taiping – Bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan, Pusat Sumber SK Taman Panglima, Taiping, Perak, telah menganjurkan Program Baca dan Tonton (BACATON). Sebanyak 123 orang murid Tahun Empat hingga Tahun Enam bersama-sama guru SK Taman Panglima, khususnya guru Bahasa Melayu, telah terlibat dalam program ini yang berlangsung selama tiga jam.

Pengisian program telah disampaikan oleh Encik Sallehuddin Ibrahim, selaku pengasas BACATON yang juga merupakan seorang penulis aktif. Program ini diadakan untuk menyemarakkan semangat membaca dalam kalangan murid di samping memberikan pendedahan asas teknik penulisan kepada murid.

Sementara itu, Ustaz Nasaruddin Abdullah, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SK Taman Panglima, yang mewakili Guru Besar, Encik Tarmizi Che Mat, telah merasmikan program tersebut. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan harapannya agar program seumpama ini dapat diteruskan dan diadakan pada skala yang lebih besar dengan kerjasama pelbagai pihak supaya dapat dimanfaatkan secara optimum oleh murid, guru dan masyarakat setempat.

Encik Sallehuddin Ibrahim, pengasas BACATON menjadi pembimbing program.

Menurut Encik Sallehuddin, antara perkara penting yang perlu dimiliki untuk menjadi seorang penulis termasuklah murid perlu mengenal pasti dan mempunyai bahan yang menjadi kunci penulisan. Sebagai contoh, murid mestilah memilih bahan pembacaan yang baik, mempunyai kemahiran berbahasa dan memiliki ilmu pengetahuan yang luas. Selain itu, seorang penulis mestilah sentiasa prihatin dengan peristiwa yang berlaku di sekeliling mereka.

Melalui program tersebut, murid yang terlibat juga telah menerima majalah Dewan Pelajar sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai satu inisiatif untuk menarik minat membaca dalam kalangan murid. Encik Salehuddin juga banyak menggalakkan murid untuk berkarya, terutamanya dalam penulisan.

Pihak sekolah dan pihak pengurusan Program BACATON juga menyatakan kesediaan mereka untuk melanjutkan penganjuran program tersebut untuk fasa kedua dan dirancang untuk diadakan dalam bentuk bengkel bagi murid yang berminat dalam bidang penulisan. Secara keseluruhannya, semua murid yang terlibat sangat bersemangat dan memberikan reaksi yang positif sepanjang program berlangsung.

Murid yang terlibat dalam Program BACATON menerima majalah Dewan Pelajar sebagai bahan bacaan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.