Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKata memotong merupakan kata umum, kata hipernim atau kata superordinat yang biasa kita gunakan dalam kehidupan seharian. Sebagai kata umum, kata memotong merangkumi sejumlah kata khusus atau hiponim. Dengan adanya hiponim, kita dapat menghalusi maksud kata memotong dan menggunakannya dengan lebih tepat.
Kata khusus memotong ada kalanya bergantung pada bahan yang dipotong. Sila lihat contoh yang berikut:
1a. Dia mengacip pinang.
1b. Dia mencangkul tanah.
1c. Dia mengerat kayu.
1d. Dia menoreh pokok getah.
1e. Dia mengelar ikan.
Kata hiponim dalam kelompok ayat 1 seperti mengacip, mencangkul, mengerat, menoreh dan mengelar bersifat khusus, dan berkaitan dengan benda tertentu. Kata-kata itu tidak boleh digunakan secara bertukar ganti secara sesuka hati.
Kata khusus memotong kadang-kadang berkaitan dengan bahagian benda yang dipotong. Sila lihat contoh yang berikut:
2a. Dia mengembiri kambing ternakannya.
2b. Dia memangkas ranting pokok.
2c. Dia mengetam kayu.
2d. Tok Mudin mengkhatan budak itu.
Dalam kelompok ayat 2, kata mengembiri berkaitan dengan menghilangkan sifat kejantanan. Kata yang seerti adalah seperti mengasi dan mengasim. Kata memangkas atau mencantas berkaitan dengan hujung dahan atau ranting. Kata mengetam berkaitan dengan permukaan kayu, dan kata mengkhatan atau menyunat berkaitan dengan kulup.
Kata khusus memotong juga berkaitan dengan bentuk atau saiz potongan. Sila lihat contoh yang berikut:
3a. Dia mengerat kayu.
3b. Dia membelah kayu.
3c. Dia melapah kerbau.
3d. Dia mencencang daging.
3e. Dia menghiris timun.
3f. Dia menebuk kayu.
3g. Dia meraut rotan.
Dalam ayat 3a, kata mengerat berkaitan dengan potongan secara melintang. Dalam ayat 3b, kata membelah berkaitan dengan potongan yang memanjang. Dalam ayat 3c, kata melapah berkaitan dengan potongan yang besar-besar. Dalam ayat 3d, kata mencencang berkaitan dengan potongan yang kecil-kecil. Dalam ayat 3e, kata menghiris berkaitan dengan potongan yang nipis-nipis. Dalam ayat 3f, kata menebuk berkaitan dengan keadaan yang berlubang. Dalam ayat 3g, kata meraut berkaitan dengan keadaan yang licin, halus atau tajam.
Kata khusus memotong juga berkaitan dengan keadaan benda yang dipotong. Sebagai contoh, bagi pokok berkayu yang besar dan keras, kata khususnya ialah menebang atau mengapak. Bagi tumbuhan renek yang tidak begitu keras, kata yang digunakan ialah menebas, mengetam atau menyabit. Sila lihat contoh yang berikut:
4a. Dia menebang pokok.
4b. Dia menebas semak.
4c. Dia mengetam padi.
4d. Dia menyabit rumput.
Kata khusus memotong juga berkaitan dengan dalamnya sesuatu benda dipotong. Sila lihat contoh yang berikut:
5a. Dia menebang pokok itu.
5b. Dia menakik pokok itu.
5c. Dia mengerat kayu itu.
5d. Dia mengelar ikan itu.
5e. Dia memenggal leher musuhnya.
Dalam kelompok ayat 5 di atas, kata menebang, mengerat dan memenggal bererti memotong sesuatu sampai terputus, manakala kata menakik dan mengelar berkaitan dengan potongan yang tidak begitu dalam.
Kata khusus memotong juga berkaitan dengan kekuatan tenaga yang digunakan. Sila lihat contoh yang berikut:
6a. Dia menetak lawannya.
6b. Dia memarang pokok itu.
6c. Dia membelah kayu api.
6d. Dia menghiris bawang.
6e. Dia menuai padi.
Dalam kelompok ayat 6, kata menetak, memarang dan membelah berkaitan dengan tenaga yang lebih berbandung dengan kata menghiris dan menuai.
Kata khusus memotong juga berkaitan dengan alat yang digunakan untuk memotong sesuatu. Sila lihat contoh yang berikut:
Ayat Contoh Alat
7a. Dia memahat kayu. pahat
7b. Dia memarang pokok parang
7c. Dia mencangkul tanah cangkul
7d. Dia mengacip pinang kacip
7e. Dia mengapak pokok kapak
7f. Dia mengetam kayu ketam
7g. Dia menggergaji kayu gergaji
7h. Dia menggerudi kayu gerudi
7i. Dia menggunting kain gunting
7j. Dia mengisar daging mesin pengisar
7k. Dia menyabit rumput sabit
Kata khusus memotong juga berkaitan dengan alat yang digunakan. Sila lihat contoh yang berikut:
8a. Dia menikam lawannya dengan keris.
8b. Dia menetak lawannya dengan parang.
Dalam ayat 8a, kata menikam berkaitan dengan alat atau senjata yang runcing seperti keris, lembing atau tombak. Kata khusus lain adalah seperti meradak, menohok dan menombak. Bagi kata menetak pula, alat atau senjata yang digunakan biasanya berbentuk memanjang. Contohnya ialah parang atau pedang. Kata khusus lain adalah seperti memenggal dan memancung.