Oleh E Pian Pro Poul
17 Ogos 2022, 21:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

George Town − Keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, bahasa negara dan bahasa ilmu seperti yang dimaktubkan sebagai tonggak utama Perancangan Strategik DBP 2021-2025 memang tidak dapat disangkal lagi. Bahasa Melayu merupakan bahasa perantara dalam kalangan masyarakat, justeru kemahiran dan kemampuan menggunakan bahasa Melayu dengan betul perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Hal ini penting agar penyampaian maklumat daripada satu pihak kepada pihak yang lain lebih jelas dan mudah difahami.

Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) telah diberikan mandat untuk memperkembang, memperkukuh dan memantapkan penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi, khususnya dalam kalangan masyarakat di Wilayah Utara. Sehubungan dengan itu, aktiviti pemantauan bahasa Melayu dilaksanakan untuk meningkatkan mutu penggunaan bahasa Melayu di tempat awam, sama ada dalam aspek pengiklanan, penamaan jalan, penamaan taman perumahan dan sebagainya.

Oleh sebab kuasa memantau kesalahan penggunaan bahasa Melayu dalam iklan di tempat awam seperti pengiklanan luar, penamaan premis kedai, penamaan jalan dan penamaan taman perumahan terletak di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), maka DBPWU bekerjasama dengan Majlis Bandar Raya Pulau Pinang (MBPP) melaksanakan pemantauan tersebut di kawasan sekitar George Town. Pemantauan tersebut dilaksanakan bagi mengambil tindakan awal, memberikan panduan yang sewajarnya, seterusnya memantau papan tanda dan iklan sedia ada. Kerjasama ini penting untuk memartabatkan bahasa Melayu, terutama oleh pihak swasta.

Dari kiri: PJ Afifuddin, Puan Rehela Bee (Munsyi Dewan), MLK Aziz, MLK Sundram dan E Pian Pro Poul (DBPWU).

Pemantauan yang dilaksanakan dari pukul 3.00 petang hingga 5.00 petang di sekitar bandar raya George Town ini turut disertai oleh Munsyi Dewan (Bahasa), Puan Rehela Bee Mohamad Ali dan Anggota Operasi MBPP, Penolong Jurutera (PJ) Mohammad Fahimi Azizan, PJ Afifuddin Abdul Majid serta Merinyu Lesen Kanan (MLK) Sundram dan MLK Aziz.

Pemantauan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa dengan kerjasama erat MBPP ini diharap dapat membantu MBPP memartabatkan bahasa Melayu di kawasan pentadbiran PBT tersebut.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.