Diterbitkan pada 11 Jun 2025, 11:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seminar Antarabangsa Terjemahan, Bahasa dan Budaya Melayu-China (SATBBMC) Kelima telah berlangsung di Beijing Foreign Studies University (BFSU), China pada 22 Mei 2025 hingga 23 Mei 2025 yang lalu. Terdahulu, seminar ini telah berjaya dianjurkan untuk empat kali di China. Mulai tahun 2017, siri seminar ini diadakan dua tahun sekali dengan berlandaskan kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Universiti China yang menawarkan program Pengajaran Bahasa Melayu, iaitu Guangdong University of Foreign Studies (2017), Yunnan Minzu University (2019), Guangxi Minzu University (2021) dan Xian International Studies University (2023).

Pada tahun 2025, SATBBMC kembali ke tempat lahir Program Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu di seluruh China, iaitu Beijing Foreign Studies University (BFSU). Pada tahun 1961, BFSU telah menawarkan Jurusan Bahasa Melayu yang pertama di China. Bermula dari situ, National University of Defense Technology, Communication University of China, Guangxi University for Nationalities, Yunnan University for Nationalities, Tianjin Foreign Studies University, Guangdong University of Foreign Studies, Xi’an International Studies University, Sichuan International Studies University dan beberapa buah universiti lagi berturut-turut memulakan Kursus Bahasa Melayu.

Sehingga kini, terdapat 12 buah universiti dan tiga buah kolej di China yang telah menawarkan Jurusan Bahasa Melayu. Bilangan pelajar di kampus pula telah melebihi jumlah 520 orang pada tahun 2024. Selain itu, terdapat juga beberapa institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus Bahasa Melayu sebagai kursus elektif am pada peringkat universiti yang dibuka kepada semua pelajar.

SATBBMC Kelima yang dianjurkan di BFSU dianggap memainkan peranan yang signifikan sebagai galakan kerjasama antara institusi pengajian tinggi sama ada di China ataupun di luar negara dalam mengembangkan dan memartabatkan Pendidikan dan Pengajaran Bahasa Melayu pada peringkat global.

Seminar anjuran bersama BFSU dan USM ini mendapat sokongan padu daripada Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP), Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (Perspektif), Pejabat Education Malaysia Beijing dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China. Dengan mengangkat tema “Pengajian Melayu dalam Era Kecerdasan Buatan (AI)”, seminar ini bukan sahaja selari dengan perkembangan semasa, malah memberikan fokus terhadap aplikasi teknologi AI dalam bidang Pengajian Melayu. Tambahan pula, seminar ini juga dianggap sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan dua hala China-Malaysia khususnya dalam bidang bahasa, budaya dan pendidikan. Lebih daripada 90 orang pakar dan sarjana dari pelbagai negara termasuk China, Malaysia, Jepun, Thailand, Singapura, Brunei dan Amerika Syarikat telah berhimpun bagi berkongsi pengetahuan dan idea inovatif dalam bidang penterjemahan, bahasa dan budaya. Perbincangan ini telah menyumbang secara signifikan ke arah memajukan pertukaran budaya dan kerjasama akademik antara pelbagai negara.

Majlis perasmian seminar pada kali ini diadakan di Hotel Shangri-La di Beijing. Antara tetamu kehormat yang hadir dalam majlis perasmian seminar ini termasuklah TYT Dato’ Norman bin Muhamad, Duta Besar Malaysia ke Republik Rakyat China; Profesor Dr. Zhao Gang, Timbalan Presiden (Akademik dan Antarabangsa) BFSU; Dr. Hazami bin Jahari, Ketua Pengarah DBP; Profesor Madya Dr. Jasni Sulong, Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM; Tuan Muhammad Sallehuddin Mohd Dilif, Pengarah Education Malaysia Beijing; Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China, Tuan Lim Chuan Boon, Presiden Perspektif; Profesor Dr. He Jing, Pengarah Bahagian Pertukaran dan Komunikasi Antarabangsa BFSU; Profesor Dr. Su Yingying, Dekan Fakulti Pengajian Asia BFSU; serta Profesor Dr. Goh Sang Seong, Penyelaras Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM.

Profesor Dr. Zhao Gang semasa menyampaikan ucapannya menyatakan bahawa seminar kali ini berperanan sebagai platform penting bagi menggabungkan kebijaksanaan kedua-dua negara dan meneroka arah baharu Pengajian Bahasa Melayu dalam era baharu. Di samping itu, beliau menekankan bahawa hubungan persahabatan antara China dengan Malaysia terus berkembang pesat, terutama dalam bidang pendidikan. Kerjasama erat antara BFSU dan institusi pengajian tinggi di Malaysia telah membuahkan banyak hasil yang memberangsangkan.

Sementara itu, Profesor Madya Dr. Jasni Sulong, Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM pula  menyatakan bahawa pertukaran dalam bidang penterjemahan, bahasa dan budaya antara China dengan Malaysia mempunyai sejarah yang panjang. Seminar ini menyerlahkan lagi jalinan kerjasama erat dan kepelbagaian dalam pengajian Melayu.

Mengimbas sejarah yang panjang tentang pertukaran budaya dan bahasa antara China dengan Malaysia, TYT Dato’ Norman Muhamad mencadangkan penggunaan teknologi AI untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran bahasa dan keakraban kerjasama dua hala yang terjalin antara China-Malaysia.

SATBBMC Kelima menampilkan empat orang tokoh dalam bidang Pengajian Melayu untuk menyampaikan ucap utama pandangan masing-masing tentang perkembangan terkini dan masa hadapan Pengajian Melayu pada peringkat antarabangsa dalam era AI.

Dr. Hazami bin Jahari, iaitu Ketua Pengarah DBP menyampaikan ucap utama bertajuk “Pemanfaatan Kecerdasan Buatan dalam Penyebaran Bahasa dan Sastera Melayu Sejagat”. Beliau mengupas tentang peranan penting dan prospek aplikasi teknologi AI dalam Pengajian Bahasa dan Sastera Melayu.

Manakala, Profesor Madya Dr. Hiroki Nomoto dari Tokyo University of Foreign Studies berkongsi hasil penyelidikannya yang bertajuk “Pengembangan Bahan Pembelajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Asing dalam Era Kecerdasan Buatan” yang memberikan idea dan pendekatan baharu bagi pengajaran bahasa Melayu di Jepun.

Selain itu, Profesor Dr. Su Yingying turut mengimbas perkembangan kerjasama dua hala China-Malaysia dalam bidang pendidikan dan budaya dalam ucap utamanya yang berjudul “Menyorot Perhubungan Pendidikan dan Kebudayaan China-Malaysia”. Beliau turut turut menerangkan tentang rangka wawasan masa hadapan bagi hubungan kedua-dua negara tersebut. Beliau berpendapat bahawa kerjasama pendidikan dan kebudayaan yang sedia ada sudah mantap dan berpotensi untuk membawa kepentingan bersama kepada pelbagai pihak.

Dalam sesi pembentangan di SATBBMC Kelima ini juga, Profesor Madya Dr. Khairudin Aljunied dari National University of Singapore memberikan perspektif yang segar melalui ucap utamanya yang bertajuk “Telusuri Bidang Rentas Disiplin Pengajian Melayu: Dahulu, Kini dan Masa Depan”. Beliau menelusuri perkembangan sejarah, realiti semasa dan prospek masa depan Pengajian Melayu, sekali gus menawarkan pandangan yang inovatif.

SATBBMC Kelima telah menerima sebanyak 74 kertas kerja dari lapan negara, iaitu China, Malaysia, Amerika Syarikat, Jepun, Thailand, Singapura, United Kingdom dan Brunei. Dalam tiga sesi pembentangan selari, para pakar dan sarjana bertukar-tukar hasil pengajian mereka secara aktif tentang pelbagai tema termasuklah terjemahan, bahasa dan linguistik, budaya dan falsafah, pengajaran dan pembelajaran, kesusasteraan dan kesenian,sejarah, politik dan sains.

Seminar ini bukan sahaja menyediakan platform akademik yang bermakna sebagai pertukaran dan kerjasama mendalam dalam kalangan pakar dan sarjana bidang Pengajian Melayu, malah turut menggalakkan persefahaman dan pembelajaran bersama antara pelbagai negara dalam bidang penterjemahan, bahasa dan budaya Melayu. Lebih penting lagi, seminar ini telah membawa makna besar dalam mengeratkan dialog peradaban China-Malaysia serta memupuk hubungan persahabatan dan saling percaya antara rakyat kedua-dua negara.

Dengan tumpuan terhadap penerokaan mendalam terhadap aplikasi teknologi kecerdasan buatan dalam pengajian Melayu, seminar ini telah menyuntik tenaga baharu dan dinamik dalam pertukaran budaya serta kerjasama akademik bukan sahaja terbatas antara China dengan Malaysia, malah meliputi negaralain yang menawarkan program Pengajian Melayu. Hal ini seterusnya memberikan inspirasi dan rujukan yang bermanfaat bagi pembangunan dan kemajuan bersama pelbagai negara dalam bidang pengajian Melayu pada era kecerdasan buatan yang penuh dengan peluang dan cabaran ini.

 

Penulis merupakan tenaga pengajar di Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pengajian Asia, Beijing Foreign Studies University (BFSU).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi