Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangFrasa nama ialah rangkaian kata yang terdiri daripada binaan inti–penerang atau inti. Secara umumnya, bagi binaan inti–penerang, inti (unsur yang diterangkan) harus berada di hadapan penerang (unsur yang menerangkan inti). Itulah yang dimaksudkan sebagai hukum D-M.
Penerang yang mendahului inti mungkin meliputi pelbagai jenis kata. Sila lihat contoh dalam jadual yang berikut:
Frasa Nama | Inti | Penerang | Jenis Penerang |
bangsa Portugis | bangsa | Portugis | keturunan |
pekasam ikan | pekasam | ikan | jenis |
pengurus syarikat | pengurus | syarikat | penyambut |
minyak pelincir | minyak | pelincir | kegunaan |
ayam betina | ayam | betina | kelamin |
rumah (di) kampung | rumah | (di) kampung | tempat |
tali pinggang | tali | pinggang | anggota badan |
dapur elektrik | dapur | elektrik | tenaga penggerak |
borang pendaftaran | borang | pendaftaran | perkara |
keluaran Jepun | keluaran | Jepun | milik |
susu tepung | susu | tepung | keadaan |
tempat pertama | tempat | pertama | urutan |
menteri besar | menteri | besar | kedudukan |
garam halus | garam | halus | saiz |
rumah itu | rumah | itu | penentu |
Terdapat juga beberapa kecualian daripada hukum D-M, iaitu ada kalanya urutan unsur dalam frasa nama ialah penerang mendahului inti. Sila lihat contoh yang berikut:
Frasa Nama | Penerang | Inti |
perdana menteri | perdana | menteri |
naib pengerusi | naib | pengerusi |
timbalan presiden | timbalan | presiden |
penolong pengarah | penolong | pengarah |
ibu pejabat | ibu | pejabat |
satu pendapat | satu | pendapat |
Puan Aminah | Puan | Aminah |
Walaupun hukum D-M dan kecualiannya kelihatan begitu jelas, ada kalanya pengguna terkeliru disebabkan oleh sesetengah unsur yang biasanya menjadi inti mungkin berubah kedudukannya untuk menjadi penerang dalam keadaan tertentu. Hal ini berlaku disebabkan fokus atau tumpuan pada frasa nama telah berubah. Dengan itu, maksud frasa yang berkenaan turut berubah. Sila lihat contoh yang berikut:
perdana menteri – menteri yang utama
tayangan perdana – tayangan pada kali pertama
laut biru – laut yang kebiru-biruan
biru laut – warna biru seperti laut
ibu negeri – bandar utama negeri
rumah ibu – bahagian utama rumah
ayam telur (penelur) – ayam yang diternak untuk bertelur
telur ayam – telur daripada ayam
jam tangan – jam yang dipakai pada tangan
tangan jam – jarum penunjuk pada jam
panjang tangan – suka mencuri
tangan panjang – keadaan yang semula jadi
Walaupun kata bilangan kardinal seperti nombor satu harus mendahului kata nama dalam susunan penerang–inti, keadaannya tidak selalunya begini. Sila lihat contoh yang berikut:
Contoh | Maksud |
satu senyuman | bilangan “satu” |
pemain nombor satu dunia | pemain yang paling baik |
*pemain satu nombor dunia | tidak bererti |
*pemain pertama dunia | maksudnya kabur |
Bagi kata yang mendukung lebih daripada satu maksud, kedudukan unsur dalam frasa nama mungkin berubah juga. Sila lihat contoh yang berikut:
ayam rendang – ayam goreng, ayam yang dimasak dengan cara direndang
rendang ayam – sejenis lauk berempah dengan daging ayam
Ada kalanya pengguna bahasa terkeliru disebabkan oleh catatan maksud kata dalam kamus tidak dikemaskinikan seiring dengan perkembangan budaya dan teknologi sezaman. Contohnya ialah kekeliruan antara frasa tepung susu dengan susu tepung. Walaupun kedua-dua bentuk frasa itu tercatat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, ada pihak yang beranggapan bahawa yang betul ialah susu tepung, dan bukannya tepung susu.
Hal ini berlaku demikian kerana kamus tersebut menjelaskan kata menepung sebagai “menumbuk atau mengisar (biji-bijian dll. lumat-lumat) supaya menjadi tepung”. Contohnya ialah tepung beras dan tepung jagung. Oleh itu, pihak yang berkenaan merasakan bahawa susu yang asalnya cair tidak dapat ditumbuk atau dikisar untuk menjadi tepung, dan tidak patut disebut sebagai tepung susu.
Walau bagaimanapun, jika kita tidak dapat menepung susu, dari manakah datangnya susu tepung atau tepung susu? Dalam bahasa Inggeris pun, milk powder disamakan dengan powered milk dan dried milk.
Oleh hal yang demikian, maksud kata menepung dalam kamus sepatutnya dijadikan lebih umum dan luas supaya menggambarkan cara alternatif untuk menghasilkan tepung dengan teknologi baharu. Sila lihat contoh yang berikut:
Menepung
Memproses sesuatu benda supaya menjadi tepung, iaitu dengan cara menghancurkannya atau mengeringkannya
Dengan itu, kedua-dua frasa tepung susu dan susu tepung akan diterima oleh para pengguna bahasa Melayu tanpa sebarang pertikaian. Yang berbeza hanyalah fokus dalam frasa nama yang berkenaan. Maksud kedua-dua frasa tersebut adalah seperti yang berikut:
susu tepung – sejenis susu dalam bentuk tepung
tepung susu – sejenis tepung yang dihasilkan dengan mengeringkan susu
Pilihan lain – susu tepung, tepung susu
Tepung susu = serbuk susu (1662)
Susu tepung = sejenis susu yang diproses menjadi tepung (1553)
Bergantung pada perspektif dan fokus
Susu tepung – fokus pada jenis makanan (susu)
Tepung susu – fokus pada bentuk barangan (tepung)
Kedua-duanya betul.
Menepung dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (1662)
Menumbuk atau mengisar (biji-bijian dll. lumat-lumat) supaya menjadi tepung
1. cara
Bahasa Inggeris Oxford Dictionary (2005 :1180)
Powdered milk = milk powder, dried milk
Powdered
2. cara
Bahasa harus berkembang sering dengan perkembangan budaya dan ilmu.
Bahasa Melayu | D-M |
Bahasa Inggeris dan bahasa Cina | M-D |