Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSejak sekian lama bahasa Melayu kurang mendapat perhatian di persada politik tanah air biarpun persoalan kepentingan Melayu dan Islam sentiasa bergegar dan berlegar di sana sini. Biarpun kerajaan silih berganti, keazaman politik untuk memartabatkan bahasa Melayu di negara merdeka dan berdaulat boleh dikatakan lesu.
Sehinggalah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, “Masih ada yang gagal kuasai bahasa kebangsaan, fahami budaya hidup kaum lain”. Keadaan ini “dapat dilihat kerana generasi pada hari ini masih gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum lain”.
Kepentingan menguasai bahasa kebangsaan terkandung dalam titah sulung Yang di-Pertuan Agong ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, pada 26 Februari 2024. Sehubungan dengan itu, baginda berharap agar Kerajaan MADANI dapat melaksanakan dasar mengukuhkan perpaduan antara rakyat negara ini.
Tidak dapat dipastikan sejauh manakah ahli politik yang bergelar Yang Berhormat (YB) memberikan tumpuan dan membahaskan titah ucapan baginda itu. Berdasarkan liputan media dan portal berita, hal ini seakan-akannya dipandang sepi oleh mereka. Yang dilaporkan, penggunaan bahasa kesat dalam kalangan YB, meletakkan dewan mulia setaraf zoo.
Walau bagaimanapun, di Dewan Negara, beberapa orang Senator memberikan tumpuan terhadap bahasa kebangsaan ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara. Antaranya dan wajar diberikan pujian ialah YB Senator Dato’ Kesavadas a/l A. Achyuthan yang mencadangkan supaya Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Dalam Negeri bersama-sama memainkan peranan menilai tahap kefasihan bahasa kebangsaan setiap individu yang ingin mendapatkan taraf kewarganegaraan secara naturalisasi.
Hujah beliau, penilaian itu perlu dilakukan tidak kira siapa pun individu yang terlibat, baik selebriti, ahli perniagaan mahupun pemain bola sepak profesional. Beliau menegaskan bahawa mereka yang mahu mendapatkan kewarganegaraan seharusnya mahir berkomunikasi dan menulis asas bahasa kebangsaan.
Bagi YB Senator Dato’ Kesavadas, tiada gunanya seseorang itu menjadi rakyat Malaysia, tetapi tidak dapat bertutur dengan baik dalam bahasa kebangsaan. Bahkan hujah beliau, pekerja asing lebih fasih bertutur fasih dalam bahasa kebangsaan, seolah-olah merekalah rakyat negara ini.
Situasi agak berbeza di Dewan Rakyat yang kecoh apabila beberapa orang anggota Parlimen pembangkang mendakwa bahawa penguasaan bahasa Melayu menteri tertentu kurang baik. Mereka mendakwa bahawa penerangan menteri yang terlibat kurang jelas dan sukar difahami oleh wakil rakyat di blok pembangkang, dan boleh mengelirukan Dewan Rakyat.
Mungkin menyedari hakikat bahawa kelemahan penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan YB merupakan sesuatu yang serius dan perlu diambil tindakan yang sewajarnya, Nazmi Yaakub daripada Berita Harian muncul dengan artikel “Ahli Parlimen Gagal Guna Bahasa Kebangsaan dalam Dewan Wajar Didenda”.
Beliau memulakan penulisannya dengan hujah, “Satu perkataan boleh mencetuskan pertengkaran sekiranya ia tidak difahami atau mempunyai maksud berbeza kepada pihak berlainan”. Beliau merujuk kisah dalam Mathnawi, karya Maulana Jalaluddin Rumi yang menarik mengenai empat orang pengembara berbangsa Parsi, Arab, Turki, dan Greek yang terjumpa sekeping dirham.
Hujah Nazmi, pada hakikatnya masalah penguasaan bahasa kebangsaan terus berlarutan yang bukan hanya membabitkan generasi lama, malah banyak dalam kalangan generasi muda bukan Melayu tidak dapat berbahasa Melayu dengan baik. Gejala seperti ini berlaku di balik Bahasa Melayu menjadi mata pelajaran teras dalam sistem pendidikan kebangsaan, bahkan wajib lulus untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Isu ini bukan remeh, malah sarjana tanah air, Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas meletakkan bahasa sama sebagai satu elemen yang dapat membuahkan kesatuan dan perpaduan terutama bagi manusia yang mendiami sesebuah wilayah, termasuk negara,” tegas Nazmi.
Tiga unsur lain, iaitu agama, bangsa, dan sejarah politik dapat dijadikan faktor penyatu kepada bangsa Eropah tidak dapat banyak membantu dalam konteks negara ini yang didiami oleh kaum berbeza menganut agama berlainan.
Beliau seterusnya beralih ke Parlimen, yang terdapat anggota Dewan Rakyat gagal menguasai bahasa kebangsaan dengan baik meskipun sudah berpenggal-penggal menjadi wakil rakyat. Mereka perlu menjalani kursus bahasa, manakala mereka yang melanggar penggunaan bahasa rasmi semasa berbahas wajar didenda.
Walau bagaimanapun, cadangan Nazmi, iaitu “wajar didenda” boleh dianggap sesuatu yang sukar dilaksanakan. Mungkin dari segi pelaksanaan akan berlaku hal yang disifatkan sebagai “dwistandard”. Tambahan pula, beliau sendiri tidak memberitahu bentuk denda yang dicadangkan itu.
Bahasa YB terus mendapat perhatian apabila Mohamad Saleeh Rahamad muncul dengan artikel “Ahli Parlimen Usah Berbahasa Inggeris Hanya untuk Tunjuk Hebat, Intelektual Tinggi,” jelas memperlihatkan kritikan dan bernada sinis. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, ahli akademik, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), dan pejuang bahasa yang tegar dan gigih.
Beliau menegaskan bahawa dua perkara sering dilanggar oleh anggota Dewan Rakyat dalam persidangan, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan larangan penggunaan ungkapan kurang sopan serta bersifat seksis. Gejala ini menyebabkan Dewan Rakyat tidak ubah kadang kala seperti pasar, malah ibarat kelas budak nakal sukar dikawal peraturan, sekali gus menghilangkan rasa hormat masyarakat terhadap mereka. Kini, masyarakat dapat menyaksikan segala-galanya akan tindak-tanduk YB kerana adanya rakaman atau siaran langsung.
Dr. Mohamad Saleeh Rahamad juga melahirkan rasa kecewanya memandangkan Dewan Rakyat sepatutnya berperanan sebagai entiti perundangan, menggubal undang-undang dan akta. Malangnya, mereka yang menduduki kerusi mulia itu tanpa segan silu melanggar peraturan sedia dimaklumi.
Beliau membangkitkan tentang peraturan Dewan Rakyat bahawa penggunaan bahasa Melayu dalam sidang ialah suatu kewajipan atau hak dan bukannya suatu keistimewaan, manakala bahasa Inggeris hanya boleh digunakan selepas mendapat perkenan Tuan Yang Dipertua Dewan.
Malangnya, ada anggota Parlimen dengan sewenang-wenang dan bangga menggunakan bahasa Inggeris tanpa kebenaran walaupun ada ketikanya mereka meminta izin selepas bercakap. Mereka hanya bersandar pada frasa “dengan izin” selepas mengeluarkan bahasa Inggeris tanpa menunggu maklum balas daripada Tuan Yang Dipertua Dewan.
Selain itu, beliau turut memberitahu bahawa penggunaan bahasa kurang sopan atau bersifat seksis menyalahi Peraturan Mesyuarat Perkara 36 (4) juga terlalu berleluasa sehingga sukar dikawal. Bertempiklah Speaker atau Timbalannya untuk meredakan keadaan, tetapi maki hamun seperti tiada batasan lagi.
“Inilah masalah yang menghantui persidangan Dewan Rakyat sedangkan rakyat menyerahkan mandat kepada mereka untuk memberikan contoh dan teladan yang baik sebagai pemimpin menjaga tatatertib,” tegas Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.
Ahli politik yang bergelar YB bukan sekadar sewajarnya menggunakan bahasa kebangsaan yang baku ketika pergulungan atau perbahasan di Parlimen, bahkan mereka sepatutnya menggunakan bahasa yang indah dan segar.
Apabila kita menyarankan mereka menggunakan bahasa yang indah dan segar bukannya bermaksud menggunakan “istilah” yang pelik-pelik dan bahasa yang sukar difahami oleh para khalayak sehingga mereka perlu merujuk kamus.
Tatkala perjuangan bahasa tidak ubah seperti “suara kesepian,” Kementerian Sumber Manusia mengumumkan penjenamaan semula kementerian itu dan akan menggunakan akronim “KESUMA” bagi sebarang urusan rasmi yang berkaitan kementerian itu bermula pada hari Isnin 4 Mac 2024. Keindahan maksud bahasa ini bersesuaian dengan misi strategik 3K kementerian, iaitu memperkasakan Kebajikan, Kemahiran, dan Keberhasilan pekerja.
Untuk rekod, Kementerian Sumber Manusia, sejak Disember lalu, diterajui oleh YB Tuan Steven Sim Chee Keong. Syabas!