Oleh Kho Thong Eng
22 April 2024, 11:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayat dasar atau ayat inti ialah ayat yang menjadi asas atau sumber pembentukan semua ayat dalam sesuatu bahasa. Oleh itu, semua ayat dapat dikesan rangka dasar atau pola pembinaannya daripada ayat dasar. Bagi bahasa Melayu, ayat dasarnya mempunyai empat pola. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Ali guru.

1b.  Dia belajar.

1c.  Aminah pandai.

1d.  Ahmad ke Kuantan.

Jika kita meneliti kelompok ayat 1, kita mendapati bahawa ayat 1a mempunyai pola subjek Frasa Nama (Ali) dan predikat Frasa Nama (guru), ayat 1b mempunyai pola subjek Frasa Nama (dia) dan predikat Frasa Kerja (belajar), ayat 1c mempunyai pola subjek Frasa Nama (Aminah) dan predikat Frasa Adjektif (pandai), dan ayat 1d mempunyai pola subjek Frasa Nama (Ahmad) dan predikat Frasa Sendi Nama (ke Kuantan). Oleh itu, subjek ayat dasar mesti terdiri daripada frasa nama manakala predikatnya meliputi frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama.

Selain itu, ayat dasar harus juga memenuhi syarat yang berikut:

i. Terdiri daripada satu klausa bebas yang dapat menjadi ayat jika intonasinya betul.

ii. Mempunyai satu subjek dan satu predikat.

iii. Jenis ayatnya ialah ayat penyata.

iv. Ragam ayatnya ialah ayat aktif.

v. Susunan ayatnya ialah susunan biasa.

vi. Tidak mengalami proses penerbitan ayat seperti peluasan, pengguguran dan penyusunan semula.

 

Bagaimanakah kita mengaitkan binaan pelbagai jenis ayat tunggal dengan pola ayat dasar? Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Pasar raya itu baru dibuka.

2b.  Mengapakah dia lambat datang?

2c.  Serahkan buku kepada cikgu.

2d.  Wah, cantiknya rumahmu!

 

Kelompok ayat 2 merupakan 4 jenis ayat, ialah ayat penyata (2a), ayat tanya (2b), ayat perintah (2c) dan ayat seruan (2d). Ayat penyata 2a memang sudah jelas sedia berpola ayat dasar Frasa Nama (pasar raya itu) + Frasa Kerja (baru dibuka). Bagi ayat lain, kaitannya dengan ayat dasar adalah seperti yang berikut:

2b.  Mengapakah dia lambat datang?

Pola ayat dasar: subjek (dia) + predikat (lambat datang)

Unsur transformasi: ditambah kata tanya (praklausa) mengapa dengan partikel tanya -kah, intonasi ayat tanya.

 

2c.  Serahkan buku kepada cikgu.

Pola ayat dasar: subjek (awak) + predikat (menyerahkan buku kepada cikgu)

Unsur transformasi: pengguguran subjek awak dan awalan meN-, intonasi ayat perintah.

 

2d.  Wah, cantiknya rumahmu!

Pola ayat dasar:  subjek (rumahmu) + predikat (cantik)

Unsur transformasi: ditambah kata seru (praklausa) wah, susunan songsang, intonasi ayat seruan.

 

Bagaimanakah kita mengaitkan ayat tunggal susunan songsang dengan pola ayat dasar? Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Orang itulah bapanya.

3b.  Sedang bermain Omar.

3c.  Bersih bilik ini.

3d.  Ke Kedah kawannya.

 

Semua ayat dalam kelompok 3 mempunyai susunan songsang. Oleh itu, pola ayat dasarnya adalah seperti yang berikut:

3a.  Orang itulah bapanya.

Pola ayat dasar: subjek (bapanya) + predikat (orang itu)

Unsur transformasi: predikat frasa nama orang itu dikedepankan + partikel penegas –lah.

 

3b.  Sedang bermain Omar.

Pola ayat dasar: subjek (Omar) + predikat (sedang bermain)

Unsur transformasi: predikat frasa kerja sedang bermain dikedepankan.

 

3c.  Bersih bilik ini.

Pola ayat dasar: subjek (bilik ini) + predikat (bersih)

Unsur transformasi: predikat frasa adjektif bersih dikedepankan.

 

3d.  Ke Kedah kawannya.

Pola ayat dasar: subjek (kawannya) + predikat (ke Kedah)

Unsur transformasi: predikat frasa sendi nama ke Kedah dikedepankan.

 

Bagaimanakah kita mengaitkan binaan pelbagai bentuk ayat pasif dengan pola ayat dasar? Sila lihat contoh yang berikut:

4a.  Buku itu saya baca.

4b.  Buku itu dibacanya.

4c.  Kerusi itu terlanggar olehnya.

4d.  Pintu itu belum berkunci.

4e.  Dia kena tipu oleh orang jahat.

4f.   Dia kehujanan.

 

Ayat pasif dalam kelompok 4 dapat dianalisis berdasarkan pola ayat dasar seperti yang berikut:

4a.  Buku itu saya baca.

Pola ayat dasar:  subjek (saya) + predikat (membaca buku itu)

Unsur transformasi: Objek ayat (buku itu) dikedepankan, kata kerja dibuang awalannya meN- dan dikaitkan dengan kata ganti nama diri orang pertama saya mengikut hukum aneksi persona.

 

4b.  Buku itu dibacanya.

Pola ayat dasar: subjek (dia) + predikat (membaca buku itu)

Unsur transformasi: Objek ayat (buku itu) dikedepankan, awalan meN- diganti dengan awalan di-, bentuk dia diubah kepada bentuk enklitik -nya, pengguguran sendi nama opsyenal oleh.

 

4c.  Kerusi itu terlanggar olehnya.

Pola ayat dasar: subjek (dia) + predikat (terlanggar kerusi itu)

Unsur transformasi: objek ayat (kerusi itu) dikedepankan, bentuk dia diubah kepada bentuk enklitik -nya, penambahan sendi nama wajib oleh.

 

4d.  Pintu itu belum berkunci.

Pola ayat dasar: subjek (seseorang) + predikat (belum mengunci pintu itu)

Unsur transformasi: Objek ayat (pintu itu) dikedepankan, subjek (seseorang) digugurkan, awalan meN- diganti dengan awalan beR-.

 

4e.  Dia kena tipu oleh orang jahat.

Pola ayat dasar: subjek (orang jahat) + predikat (menipunya)

Unsur transformasi: objek ayat (-nya) dikedepankan sebagai dia, penambahan kata kena dan sendi nama wajib oleh.

 

4f.  Dia kehujanan.

Pola ayat dasar: subjek (hujan) + predikat (menimpanya)

Unsur transformasi: objek ayat (-nya) dikedepankan sebagai dia, perubahan hujan menimpa kepada kata dasar hujan dengan imbuhan pasif ke-…-an.

 

Bagaimanakah kita mengaitkan ayat tunggal yang seolah-olah berpangkalkan subjek kata kerja dan kata adjektif dengan pola ayat dasar? Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  Berenang ialah hobinya.

5b.  Putih melambangkan kesucian.

 

Ayat di atas dapat dianalisis seperti yang berikut:

5a.  Berenang ialah hobinya.

Pola ayat dasar: subjek (aktiviti berenang) + predikat (hobinya)

Unsur transformasi: inti frasa nama aktiviti digugurkan, penambahan kata pemeri ialah.

 

5b.  Putih melambangkan kesucian.

Pola ayat dasar: subjek (warna putih) + predikat (melambangkan kesucian)

Unsur transformasi: pengguguran inti frasa nama warna.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.