Oleh Aminudin Mansor
25 April 2024, 16:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Berbahasa dengan baik menandakan seseorang itu dididik dengan sopan dan santun. Ibu bapa ialah guru pertama yang mendidik anak-anak supaya berbahasa dengan baik.

Bahasa baik menandakan seseorang itu mendapat didikan dalam adab sopan dalam kalangan keluarga dan masyarakat Malaysia. Berbahasa baik juga menunjukkan akhlak yang baik dipamerkan dalam pergaulan dan kehidupan.

Lantaran itu, bahasa yang baik menunjukkan seseorang itu mempunyai akal budi yang telah dididik sejak kecil oleh ibu bapa. Orang dahulu sering mengatakan, jika seseorang anak itu berbahasa kasar akan dipanggil “anak kurang ajar” bermakna ibu bapa tidak mengajar anak tersebut dengan bahasa yang baik dan juga santun.

Kurang ajar juga bermaksud kurangnya seseorang itu mendapat didikan bahasa yang baik dan juga perbuatan yang baik daripada ibu bapa di rumah.

Rumah ialah sekolah pertama yang mampu mendidik seseorang itu berbahasa dengan baik dan santun. Jika ibu bapa mampu mendidik anak-anak berbahasa dengan baik dan santun, tiadalah mereka berbahasa kasar dan kurang ajar dalam percakapan di mana-mana sahaja. Begitu juga tidak berbahasa kasar dan kesat dalam media sosial.

Keterampilan berbahasa bukan sahaja dapat ditunjukkan dan dipraktikkan di rumah dengan ibu bapa dan keluarga, malah dipraktikkan dalam kalangan masyarakat di luar. Di sekolah, guru bahasa terutamanya guru Bahasa Melayu akan mendidik, mengasuh dan mengajar tentang berbahasa dengan baik dan juga tentang tatabahasa yang betul dan tepat. Bahasa lisan dan tulisan mestilah sentiasa terampil.

Kajian psikologi pendidikan mendapati, bahasa kecam disebabkan oleh kesumat dendam dan kemarahan yang meluap-luap yang disimpan dalam hati. Apabila seseorang itu berasa tertekan, dihina dan dimarahi, dia akan membalas balik dengan bahasa yang berunsur kecam, marah dan memaki hamun orang lain.

Bahasa yang baik umpama cerminan fikiran dan gambaran akal dan alat untuk menyampaikan ilmu pengetahuan. Di sinilah peranan bahasa Melayu yang betul, tepat dan berkesan dapat dimanfaatkan sama ada dalam keluarga Malaysia, malah dalam media sosial.

Menurut Mustaffa Haji Daud dalam Budi Bahasa dalam Tamadun Islam, bahasa kasar dan kecaman juga dikenali sebagai bahasa perli, olok dan ejek. Bahasa memperli,  memperolok-olok, mengejek, menghina, melecehkan, memanggil dengan gelaran yang memalukan, menyatakan kekurangan orang lain secara terus terang dan sebagainya juga termasuk dalam kerosakan budi dan bahasa.

Hal ini bukan sahaja terbatas dalam bentuk tutur kata, tetapi juga termasuklah dalam meniru cara bercakap, cara berjalan, meniru perbuatan, melalui isyarat, memek muka dan sebagainya.

Antara kata dan bahasa mengeji, mengejek dan memperli termasuklah seperti si kurus, si gemuk, muka tembok, si pelahap, mulut celopar, si kengkang, si bangang dan sebagainya.

Seorang pengecam dikatakan mundur, tidak tahu berbahasa dan tidak berfikiran positif apabila menulis dan mengecam di media sosial. Justeru, kita tidak digalakkan mengecam pandangan orang lain yang tidak selari dan sejajar dengan pandangan kita. Jadikan pandangan orang lain itu sebagai pandangan baharu yang boleh memberikan pengetahuan dalam kehidupan.

Oleh itu, kita boleh sahaja memberikan pandangan berupa nasihat, teguran yang baik bagi membetulkan keadaan dan tidak mengecam atau mengutuk yang boleh menyebabkan orang lain terasa hati dan marah. Pandangan yang penuh hikmah dan bijaksana boleh dilakukan mengikut situasi semasa yang boleh diterima oleh orang lain.

Jangan sesekali mengherdik atau mengecam kerana dia membencimu. Berilah pandangan dengan ilmu dan penuh kebijaksanaan serta berfikiran positif. Akhirnya, pandangan ini akan diterima oleh orang ramai dan juga masyarakat dan keluarga Malaysia yang harmoni dan sejahtera.

Mengecam atau mengkritik dengan perkataan yang kasar itu petanda sempitnya perbendaharaan kata dan bahasa yang dimiliki ataupun kurangnya kebijaksanaan dalam berbahasa serta menilai sesuatu pandangan orang lain. Bahasa Melayu memang sudah lama terkenal dengan kesopanan dan kesantunan bahasa dalam apa-apa juga keadaan dan situasi.

Bahasa kecam yang ada kesumat dendam juga tidak digalakkan oleh semua agama dan kehidupan dalam masyarakat. Seseorang yang dididik dengan bahasa yang baik dalam keluarga yang baik dan bersopan santun akan sentiasa menjaga bahasa supaya tidak menyakiti orang lain seperti ahli keluarga, adik-beradik dan jiran tetangga.

John Wanamaker mengatakan bahawa mengkritik atau mengecam serta mencela ialah perbuatan yang tidak bijaksana, manakala mengkritik pandangan orang lain ialah perbuatan sia-sia. Oleh itu, lebih baik membetulkan bahasa sendiri, mengkritik fikiran, perbuatan dan perkataan anda sendiri.

Menurut Adimurni, mengecam atau kritikan yang menjatuhkan maruah seseorang selalunya datang daripada sahabat yang tidak jujur. Oleh itu, berhati-hatilah dalam memberikan kritikan dan pandangan di media sosial. Bahasa yang tidak baik bukan sahaja akan menyakitkan hati orang lain, terutama mereka yang difitnah, malah mendatangkan keburukan kepada diri sendiri.

Mengakui kekurangan diri sendiri juga lebih baik. Begitu juga dengan mengaku tidak mampu berbahasa dengan baik sewajarnya terus berusaha belajar dan mendidik diri dengan kebaikan dan kebijaksanaan. Disebabkan bahasa yang kasar akhirnya kita dimusuhi oleh orang lain.

Jadilah orang yang budiman, sentiasa menjaga lisan dan tulisan sama ada di media sosial atau dalam kehidupan seharian. Tidak rugi berbahasa baik, malah akan mendatangkan pengajaran dan pelajaran kepada orang lain. Orang yang budiman akan menjadi contoh kepada orang lain dalam menuturkan kata-kata dan bahasa yang baik.

Orang yang budiman sentiasa menjaga bahasanya dan dirinya mempunyai budi bahasa, adab sopan, teliti dalam berbahasa, mempunyai pemikiran dan ikhtiar yang tinggi, matang, bijaksana dalam membuat keputusan serta sentiasa berjasa dan berbakti kepada masyarakat dan negara.

Oleh itu, orang yang budiman ialah orang yang mempunyai keterampilan bahasa. Mereka  biasanya mendapat didikan bahasa yang baik oleh ibu bapa di rumah dan guru di sekolah. Mereka mempelajari dan mengamalkan serta berbahasa dengan baik secara dalam lisan dan tulisan serta mampu menyampaikan wacana ilmu dengan berkesan melalui bahasa Melayu yang baik dan tepat.

Orang yang budiman juga mempunyai motivasi yang kuat, mempunyai pemerhatian yang tajam dan teliti, kuat ingatan, pendengaran yang teliti, pemikiran yang kreatif, berbahasa baik dan santun, mempunyai kreativiti, sentiasa menambah bacaan untuk ilmu pengetahuan, mempunyai kesihatan yang baik, berfikiran positif dan mempunyai kemampuan diri yang hebat.

Akhirnya, orang yang miskin ialah orang yang miskin budi pekertinya. Budi pekerti yang baik dan sederhana dalam kehidupan merupakan hasil daripada didikan hati dan pemikiran yang jernih. Oleh itu, didiklah budi pekerti anak-anak sejak awal di rumah dan diperteguhkan di sekolah oleh guru-guru yang berilmu pengetahuan dan berpengalaman.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.