Oleh Zaiton Zakarya
19 April 2024, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hari Raya Aidilfitri yang disambut pada 1 Syawal setiap tahun merupakan satu tradisi dalam budaya masyarakat Melayu di Malaysia. Sambutan hari raya bersama-sama pelajar China yang mengambil Jurusan Bahasa Melayu pula merupakan jendela bagi memaparkan kepelbagaian budaya, nilai kemanusiaan dan sikap bantu-membantu yang ditunjukkan dalam sambutan ini.

Dalam konteks Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan budaya, pengalaman merayakan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini bersama-sama para pelajar China yang mempelajari bahasa Melayu merupakan pengalaman yang unik di samping dapat mengembangkan pemahaman yang lebih mendalam tentang kepelbagaian budaya terutamanya dalam budaya perayaan masyarakat Melayu.

Bagi pensyarah Melayu yang tidak dapat pulang ke tanah air, sambutan hari raya di perantauan pasti memilukan kerana tidak dapat meraikannya bersama-sama ahli keluarga. Namun begitu, raya tetap disambut dengan meriah bersama dengan rakan sekerja dan para pelajar Jabatan Bahasa Melayu di Guangdong University of Foreign Studies (GDUFS), Guangzhou, China.

Penulis selaku pensyarah mereka telah mengadakan jamuan Hari Raya Aidilfitri pada hari raya ketiga untuk meraikan hari raya di perantauan di samping memberikan peluang kepada para pelajar untuk merasai sendiri pengalaman menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sambutan perayaan ini dapat membuka mata pelajar dan memperkaya pengalaman mereka tentang kepelbagaian budaya dan tradisi.

Persediaan dibuat seminggu lebih awal dengan beberapa orang pelajar membuat beberapa jenis kuih raya yang mudah. Antaranya, termasuklah kuih seperti biskut cornflake madu, cornflake crunchy dan coklat cip. Semasa proses membuat kuih raya ini, para pelajar banyak belajar tentang beberapa kosa kata penting yang berkaitan. Antaranya, termasuklah kosa kata seperti bekas, talam, pisau, sudu, cawan, marjerin, gula, minyak dan ketuhar elektrik.

Perkara ini merupakan satu proses pembelajaran yang berharga bagi mereka. Beberapa orang pelajar merasai pengalaman mereka buat pertama kalinya dan terasa teruja dapat membuat kuih raya masyarakat Melayu. Bagi mereka, ini merupakan pengalaman yang berharga, iaitu pengalaman yang tidak dapat diperoleh di dalam bilik kuliah.

Pada malam sebelum majlis hari raya pula, beberapa orang pelajar membantu menghias rumah dengan menggantung lampu ketupat dan kad raya sebagai perhiasan. Pada malam itu, beberapa orang pelajar tahun keempat membuat persiapan untuk jamuan hari raya untuk keesokan harinya.

Ada pelajar yang ditugaskan untuk membuat kek pisang, ada pelajar yang membuat kuih sagu gula Melaka, dan ada juga pelajar yang membantu memasak di dapur, iaitu memasak rendang ayam dan kari daging. Semua pelajar saling membantu dan merasai sendiri suasana persiapan malam raya seperti orang Melayu di Malaysia juga.

Penulis dan para pelajar Jabatan Bahasa Melayu, GDUFS menyambut Hari Raya Aidilfitri secara sederhana tetapi meriah.

Keesokan paginya, pada hari yang ditunggu-tunggu, para pelajar dan pensyarah mula datang ke jamuan raya dengan mengenakan busana Melayu yang kelihatan segak dan cantik belaka. Pelajar lelaki kelihatan kemas memakai baju Melayu dan bersamping, manakala pelajar perempuan nampak cantik dan ayu memakai baju kurung dan berkebaya.

Antara juadah hari raya yang disediakan pensyarah dan pelajar.

Juadah hari raya pastinya tidak lengkap tanpa ketupat dan rendang. Dalam jamuan raya pada kali ini, penulis menyediakan beberapa menu istimewa yang terkenal semasa sambutan hari raya. Antaranya termasuklah nasi himpit, rendang ayam, kari daging, soto yang dimakan bersam dengan bergedel dan sambal kicap, agar-agar, dan kek pisang.

Bagi mereka yang pertama kali merasai makanan Melayu, terutamanya bagi pelajar tahun 1, mereka tidak melepaskan peluang ini dan menyatakan bahawa makanan yang disediakan amat sedap dan ada juga beberapa orang pelajar yang menyatakan bahawa makanan masyarakat Melayu mempunyai rasa yang sedikit pedas.

Penulis kemudiannya menerangkan kepada para pelajar cara-cara untuk makan soto dan rendang. Bagi mereka yang pertama kalinya melihat juadah ini, mereka pasti tidak tahu cara untuk menyediakannya. Oleh itu, penulis menunjukkan demonstrasi kepada para pelajar tersebut dan setiap makanan itu diletakkan nama agar mereka tahu tentang setiap jenis juadah yang dihidangkan.

Para pelajar teruja mencuba juadah yang disediakan.

Selepas para pelajar selesai menjamu selera, mereka mula bersalam-salaman dengan penulis dan beratur untuk mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin”. Mereka mula bersalaman dengan sopan dan santun seorang demi seorang. Unsur kesantunan dikongsikan oleh pensyarah kepada pelajar, iaitu cara bersalam dalam masyarakat Melayu.

Bagi pelajar tahun satu, mereka bersungguh-sungguh menghafal ayat ini. Melihat gelagat mereka menghafal ucapan itu, penulis tersenyum kerana melihat kesungguhan mereka untuk mengingati setiap patah perkataan baharu tersebut.

Penulis juga memberikan mereka duit raya bersama-sama sampul yang dibawa khas dari Malaysia untuk memberikan mereka pengalaman sebenar Hari Raya Aidilfitri dalam masyarakat Melayu di Malaysia. Mereka bukan sahaja belajar bahasa, malah budaya sambutan perayaan orang Melayu di Malaysia. Setiap pelajar berasa amat seronok dan bertuah kerana berpeluang meraikan sambutan hari raya pada tahun ini.

Para pelajar teruja melihat sampul raya yang berwarna-warni.

Seterusnya, penulis juga memperkenalkan beberapa perkataan seperti duduk bersila dan duduk bersimpuh. Lagu-lagu raya juga dimainkan semasa jamuan berlangsung. Antara lagu raya yang diajar kepada pelajar ialah Selamat Hari Raya, Seloka Hari Raya, dan Balik Kampung. Setiap bait lirik itu difahami oleh pelajar semasa di dalam bilik kuliah.

Penulis turut memperkenalkan lagu-lagu raya yang popular dan terkenal kepada para pelajar semasa berkuliah. Hal ini menarik minat pelajar untuk memahami lirik dan menyanyi bersama-sama. Semasa sambutan inilah mereka berpeluang untuk mendengar dan menyanyikan lagu-lagu yang telah mereka pelajari di dalam bilik darjah.

 

Akhir sekali, penulis dan para pelajar mengambil gambar bersama-sama untuk kenang-kenangan. Video ucapan raya juga diambil dan disimpan sebagai kenang-kenangan. Ucapan tersebut berbunyi, “Kami dari Jabatan Bahasa Melayu, GDUFS mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin’”.

Seorang pelajar tahun keempat yang membantu penulis memasak menu jamuan hari raya, iaitu Dai Yixin, atau nama Melayunya, Falisha berkongsi pengalamannya dengan berkata;

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada cikgu. Ribuan terima kasih kerana menjemput saya pergi ke rumah cikgu. Saya boleh belajar beberapa jenis menu makanan tradisional Malaysia seperti rendang ayam, soto, sagu gula Melaka dan sambal kicap Johor. Keluarga saya berminat untuk merasai makanan Malaysia juga. Jadi, saya akan cuba memasaknya di rumah saya nanti. Selain itu, saya juga merasai sendiri suasana meriah semasa hari raya dan mendapat duit raya daripada cikgu. ini memang pengalaman yang tidak pernah saya alami. Secara ringkasnya, saya sangat gembira kerana dapat membantu cikgu menyediakan persiapan hari raya pada tahun ini. Pengalaman yang sangat berharga ini akan disimpan di dalam hati saya buat selama-lamanya!”

Sementara itu, Airis atau nama sebenarnya, Ma Xiaoge pula meluahkan perasaannya dengan ucapan yang berikut:

“Saya amat gembira kerana dapat menikmati suasana hari raya walaupun saya berada di negara China. Kami bergotong-royong untuk menyediakan makanan dan menghias rumah seperti di rumah sendiri. Peluang untuk pergi ke rumah cikgu menyambut Hari Raya Aidilfitri memang seronok seperti “balik kampung”. Terima kasih cikgu kerana sudi mengadakan aktiviti seperti ini kerana hal ini bukan sahaja membantu kami mengetahui bahkan dapat menyelami budaya Melayu. Bagi saya, sebagai pelajar tahun akhir, majlis rumah terbuka di rumah cikgu mesti akan diingati sepanjang hayat. Akhir kata, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua kawan-kawan Melayu tidak kira di mana-mana sahaja mereka berada. Moga tahun ini penuh dengan kesejahteraan dan kebahagiaan.”

Seterusnya, Zhao Yizhi, atau nama Melayunya, Fikri turut berkongsi rasa dengan meluahkan perasaannya selepas ikut serta dalam sambutan hari raya tersebut. Beliau menyatakan bahawa:

“Saya belajar banyak menu masakan Malaysia yang rasanya sedap dan menarik yang disediakan oleh cikgu dan rakan sekelas. Misalnya, rendang ayam, soto dan kek pisang. Pada pendapat saya, saya rasa bersyukur kerana dijemput oleh cikgu ke rumah kerana pelbagai juadah ini hanya pernah saya lihat melalui internet sahaja, tetapi pada kali ini saya boleh mencubanya sendiri. Sebagai seorang mahasiswa yang mengambil Jurusan Bahasa Melayu, saya merasakan bahawa pengalaman ini membuatkan saya lebih memahami kebudayaan dan makanan Melayu. Saya suka makanan ini dan berharap agar dapat makan sekali lagi pada masa hadapan.”

Terciptanya hubungan yang mesra dan saling memahami antara pelajar asing dan pensyarah Melayu selepas mengalami pengalaman bersama-sama dalam perayaan Hari Raya Aidilfitri. Hari Raya Aidilfitri ini disambut dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Para pelajar pula berpakaian tradisional masyarakat Melayu yang berwarna-warni,rumah dihiasi dengan lampu-lampu berkilauan dan kad raya, dan aroma masakan tradisional memenuhi seluruh rumah.

Semoga pengalaman yang indah ini akan terpahat dalam hati setiap pelajar Jabatan Bahasa Melayu. Pengalaman ini diharapkan dapat menyemai perasaan mereka untuk terus belajar bahasa dan budaya Melayu. Akhir kata, semoga bahasa dan budaya Melayu terus mekar berkembang di negara tembok besar ini. Salam di perantauan!

 

 

Penulis ialah Pensyarah Asing Bahasa Melayu di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa dan Budaya Asia, Guangdong University of Foreign Studies. 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.