Oleh Aminudin Mansor
17 April 2024, 13:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tidak rugi berbahasa santun sempena Hari Raya Aidilfitri. Bahasa merupakan komunikasi yang penting semasa menyambut perayaan. Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid, kita akan bersalam-salaman dan memohon kemaafan daripada ibu bapa dan kaum keluarga serta sahabat handai. Hari Raya Aidilfitri ialah hari kemenangan yang wajar disambut dengan penuh kegembiraan dan kejayaan.

Bahasa santun merujuk bahasa yang baik dan sopan dengan kehalusan bahasa yang digunakan oleh seseorang ketika berkomunikasi sewaktu Hari Raya Aidilfitri. Bahasa tersebut mestilah penuh adab, tertib, sopan santun dan mengandungi nilai-nilai murni yang tinggi.

Ingatlah, bahasa yang digunakan juga tidak menyakiti hati orang lain yang mendengarnya dan tidak mengandungi unsur sindiran dan kiasan serta kecaman yang boleh mengundang orang lain berasa kurang senang dan sakit hati dengan bahasa yang kita tuturkan.

Inilah yang selalu kita lakukan sebagai langkah dan usaha berbahasa santun dan sopan. Cinta akan keamanan dan kesejahteraan juga dapat mengekalkan hubungan baik pada setiap masa. Bahasa yang terbit dari hati yang ditapis oleh akal yang bijaksana akan terasa lebih baik dan santun ketika diucapkan atau ditulis.

Bahasa sangat penting dalam berkomunikasi dengan sesiapa sahaja. Bukan sahaja memohon kemaafan, bahkan kita juga digalakkan memaafkan orang lain. Tanpa bahasa, kita tidak dapat mengucapkan apa-apa yang ada di hati kita kepada orang lain.

Kita digalakkan supaya mengucapkan kata-kata yang baik dan mesra semasa Hari Raya Aidilfitri. Antara kata-kata baik yang sering diucapkan termasuklah “Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin”. Kata-kata ini membawa maksud bahawa kita memohon maaf dari segi zahir dan batin atas apa-apa yang telah kita lakukan kepada orang lain melalui kata-kata dan juga niat di hati.

Kata-kata ini sudah menjadi kelaziman dan diucapkan oleh orang Melayu Islam sejak berkurun lamanya yang biasa diucapkan semasa menyambut hari raya dan juga ketika bertemu dengan sahabat, jiran tetangga, rakan sekerja dan saudara mara. Begitu indah kata-kata ini yang dicipta dan telah dinukilkan dalam kad hari raya sejak dahulu lagi.

Kini dalam era digital, kata-kata ini terus digunakan dalam laman media sosial dan juga media baharu sebagai menyatakan rasa kehambaan dan juga memohon maaf kepada sesiapa sahaja menjelang hari raya terutamanya pada Hari Raya Aidilfitri yang disambut setahun sekali.

Banyak juga kata-kata yang biasa diucapkan seperti, “Selamat Hari Raya Aidilfitri. Semoga anda sentiasa sihat sejahtera dan dipenuhi dengan kebahagiaan dan kehidupan yang baik”. Kata-kata mesra dan jujur dari hati dan sanubari seseorang ini menggambarkan ketulusan ucapan yang disampaikan.

Kita juga sering mendengar ucapan dan kata-kata seperti, “Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Semoga hari raya ini akan membuka pintu hati kita ke arah kebaikan dan kesejahteraan abadi”. Ada juga kata-kata yang berbunyi, “Kita meraih kemenangan dengan saling bermaafan antara kita”.

Kata-kata dan bahasa yang baik melambangkan kekuatan bangsa dalam menyampaikan hasrat di hati dan juga rasa di jiwa. Orang Melayu dahulu sangat mementingkan kata dan bahasa untuk diucapkan kepada seseorang apabila menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Ada juga ucapan yang berupa puisi yang indah dan cantik seperti, “Jika jiwa sebening air, jangan sekali dikeruhkan. Jika hati seputih awan jangan mendungkan dan jangan menurunkan hujan. Raihlah kemenangan dengan saling bermaafan bagi memadam segala kesilapan dan kesalahan”.

Begitu indahnya kata-kata dan bahasa yang dituturkan sempena Hari Raya Aidilfitri. Oleh sebab itu, bahasa diibaratkan sebagai benang halus bagaikan sutera yang menyambungkan tali silaturahim dalam kalangan saudara mara, jiran tetangga dan sahabat terdekat.

Jika dahulu, kad ucapan hari raya pengganti diri disertakan dengan pelbagai ucapan yang menarik. Justeru, pada hari ini melalui media sosial dan media baharu mereka yang mencintai bahasa Melayu kian bijak menitipkan kata-kata dan bahasa yang bermakna dan indah bahasanya. Perkembangan yang baik ini wajar diteruskan demi mengekalkan keindahan dan kesantunan bahasa Melayu pada masa akan datang.

Ungkapan bertatasusila ini sewajarnya bukan hanya dituturkan pada musim perayaan seperti hari Raya Aidilfitri, malah wajar dikekalkan sentiasa dalam kehidupan kita walaupun di mana-mana sahaja kita berada. Penggunaan bahasa di media sosial dan media baharu juga mesti mengekalkan gaya bahasa yang baik dan bersopan santun.

Kata-kata seperti “Assalamualaikum, insya-Allah dan syukur alhamdulillah) merupakan kata-kata daripada bahasa Arab yang sudah sebati dengan kehidupan masyarakat Melayu sejak dahulu hingga kini. Kita sering mengucapkan kata-kata ini bagi menyatakan rasa syukur di hati untuk disampaikan kepada seseorang dan menyatakan kesyukuran kepada Allah.

Ada juga kata-kata terjemahan daripada bahasa Arab yang bermaksud, “Semoga Allah menerima amal kami dan kamu semua. Semoga sepanjang tahun kalian seterusnya dalam kebaikan”.

Kata bahasa ini lebih santun dan beradab jika diucapkan sempena Hari Raya Aidilfitri dan diucapkan sepanjang bulan Syawal. Bahasanya mempunyai kosa kata yang halus untuk menyampaikan sesuatu mesej dan perasaan dari hati yang tulus dan jujur.

Bahasa Melayu sejak dahulu memang terkenal dengan kesopanan dan kehalusan bahasanya. Terdapat pelbagai gaya bahasa dan pertuturan yang baik dan sopan seperti melalui bahasa mesra, bahasa sopan, bahasa halus, bahasa beradab dan bahasa santun yang wajar dikekalkan dalam kehidupan masyarakat.

Kata-kata ini juga sering diucapkan seperti, “Semoga kita termasuk dalam kalangan orang yang bersyukur dan amalan baik kita diterima-Nya sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini”.

Terdapat juga kata-kata biasa yang sering kita dengar tetapi sarat dengan makna yang penuh kebijaksanaan seperti, “Saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf seandainya ada tersilap kata, terkasar bahasa atau tersalah laku yang tidak disengajakan. Salam Aidilfitri, maaf zahir batin”.

Kata-kata ini sangat menusuk hati dan ada rasa rendah diri dengan gaya bahasa yang indah dan cantikyang  disusun begitu rupa membayangkan bahawa bahasa Melayu itu penuh sopan dan santun serta disusun dengan keindahan bahasa yang disampaikan.

Banyak juga kata-kata yang indah dan bersopan santun diucapkan melalui pantun yang masih mengekalkan ciri-ciri keindahan bahasa dengan pembayang suasana hari raya dan juga maksudnya menyampaikan rasa hati yang ceria, gembira dan penuh kejayaan dalam kehidupan.

Jelaslah, penggunaan bahasa terutamanya bahasa Melayu memainkan peranan yang penting dalam komunikasi yang mesra, sopan dan halus bagi menyatakan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Perkembangan yang baik ini wajar diteruskan demi mengekalkan keindahan bahasa, kesantunan dan kesopanan bahasa dalam kehidupan masyarakat yang berbilang bangsa. Akhir sekali, “Selamat Hari Raya. Maaf zahir batin daripada saya”. Inilah kata-kata biasa yang sering kita dengar dan sangat dalam maknanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.