18 April 2024, 09:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Secara umumnya, bahasa Austronesia ialah induk bahasa Melayu. Oleh hal yang demikian, orang Melayu dikatakan berasal daripada induk Austronesia. Bahasa daripada rumpun bahasa Austronesia tersebar luas dari Formosa di bahagian utara hingga New Zealand di bahagian selatan, dan dari Madagaskar di bahagian barat hingga Kepulauan Easter di bahagian timur.

Kemudian, bahasa yang lahir daripada bahasa Austronesia diperturunkan daripada satu generasi kepada satu generasi yang lain. Pengkaji bahasa lazimnya menggunakan rajah salasilah bahasa untuk mengkaji perkembangan bahasa.

Faktor usia merupakan faktor utama untuk menentukan perkembangan bahasa. Oleh itu, konsep usia pemeringkatan bahasa terbahagi kepada filum, rumpun dan keluarga bahasa.

Filum ialah kelompok bahasa induk yang paling tua, iaitu 5000 tahun ke atas. Sementara itu, rumpun ialah kelompok bahasa yang berusia antara 2500 hingga 5000 tahun. Keluarga pula bermaksud kelompok bahasa yang berusia kurang daripada 2500 tahun. Keluarga bahasa dapat dibahagikan lagi kepada beberapa subkeluarga.

Sebenarnya, rumpun bahasa Austronesia berasal daripada filum bahasa Austrik atau Austris. Selain rumpun ini, rumpun bahasa Austroasia dan Cina-Tibet turut berasal daripada filum Austrik atau Austris.

Rumpun bahasa Austronesia terbahagi kepada dua, iaitu rumpun Austronesia Barat dan Austronesia Timur. Daripada rumpun Austronesia Barat, lahirlah keluarga bahasa Indonesia, manakala daripada rumpun Austronesia Timur, lahirlah keluarga bahasa Melanesia, Mikronesia dan Polinesia.

Keluarga bahasa Indonesia pula terbahagi kepada subkeluarga Indonesia Pusat dan Filipina-Formosa. Bahasa Melayu, bahasa bumiputera Sarawak kecuali bahasa Bisayah, bahasa di Kalimantan dan bahasa di Kepulauan Indonesia tergolong dalam subkeluarga Indonesia Pusat, manakala bahasa di Filipina, bahasa bumiputera Sabah dan bahasa di Brunei kecuali bahasa Melayu dan bahasa Lun Dayeh tergolong dalam subkeluarga Filipina-Formosa.

Bagi mengkaji asal usul bahasa Melayu, bangsa Melayu yang merupakan penutur asli bahasa Melayu perlu dikaji kerana penutur asli bahasa Melayu ialah manusia yang melahirkan bahasa tersebut dan menggunakannya dalam kehidupan. Orang Melayu dikatakan berasal daripada induk Austronesia yang menuturkan bahasa Austronesia. Sehubungan dengan itu, bahasa Austronesia merupakan induk bahasa Melayu.

Satu daripada pendapat yang dikemukakan ialah orang Melayu dikatakan bukannya berasal dari luar, tetapi merupakan orang tempatan di kawasan Nusantara. Buktinya, bahasa Melayu serumpun dengan bahasa Polinesia, Melanesia dan Mikronesia.

Induk bagi bahasa ini ialah Austronesia kerana wujudnya kekerabatan antara bahasa tersebut. Sebelum kewujudan bahasa Melayu yang digunakan pada masa ini, wujud beberapa peringkat bahasa, iaitu bahasa Melayu purba, bahasa Melayu kuno, bahasa Melayu praklasik dan klasik, serta bahasa Melayu moden.

Secara ringkasnya, bahasa Melayu purba ialah bahasa Melayu terawal yang digunakan oleh kelompok manusia yang mendiami kawasan Nusantara untuk berkomunikasi antara satu dengan lain. Kelompok manusia yang dikatakan menuturkan bahasa Melayu purba ialah Melayu-Deutro.

Walau bagaimanapun, tiada bukti sejarah tentang bahasa Melayu purba. Oleh hal yang demikian, pengkaji bahasa percaya bahawa bahasa yang digunakan untuk berkomunikasi pada masa itu hanyalah dalam bentuk lisan. Pendek kata, bahasa Melayu purba merujuk bahasa Melayu yang tidak mempunyai bukti sejarah.

Bahasa Melayu kuno pula ialah bahasa Melayu yang berkembang di Nusantara antara abad ketujuh hingga abad ke-13, iaitu pada zaman peralihan Hindu-Islam. Kerajaan agung yang wujud pada masa itu ialah Srivijaya.

Pada zaman pemerintahan kerajaan Srivijaya, bahasa Melayu dikatakan telah menjadi bahasa pengantar kerajaan tersebut. Hal ini dapat dibuktikan menerusi penemuan empat batu bersurat yang ditulis dalam bahasa Melayu kuno. Batu bersurat yang dimaksudkan ialah Batu Bersurat Kedukan Bukit, Batu Bersurat Talang Tuwo, Batu Bersurat Kota Kapur dan Batu Bersurat Karang Brahi.

Bagi bahasa Melayu praklasik, bahasa Melayu ini digunakan pada zaman peralihan daripada pengaruh Hindu kepada Arab. Zaman praklasik ini dipercayai bermula pada abad ke-11 dan berakhir pada abad ke-13. Pada zaman tersebut, bahasa yang digunakan oleh penduduk di Kepulauan Melayu bercampur aduk dari segi sistem tulisan dan kosa kata. Selain itu, wujud ciri arkaik pada bahasa Melayu, iaitu kata yang digunakan mempunyai sifat Sanskrit, manakala aksara yang digunakan pula mempunyai sifat kearaban yang tinggi.

Setelah itu, muncul bahasa Melayu klasik, iaitu bahasa Melayu yang mempunyai aksara tersendiri. Masyarakat Melayu pada zaman tersebut dikatakan telah mengenali huruf kerana berupaya merakam bahasa dalam bentuk tulisan. Sementara itu, bahasa Melayu klasik digunakan dalam pergaulan seharian dan urusan rasmi, serta berperanan sebagai bahasa ilmu pengetahuan, terutamanya untuk menyampaikan ajaran Islam selepas Islam bertapak di Alam Melayu.

Bahasa Melayu moden pula mampu mengungkapkan pelbagai konsep yang berkaitan dengan urusan rasmi negara yang mewakili kehidupan moden pada masa ini, seperti pentadbiran, pengurusan, perundangan, ekonomi dan bidang profesional yang lain.

Usaha memodenkan bahasa Melayu dilakukan melalui perancangan bahasa. Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, perancangan bahasa bermaksud usaha yang dilaksanakan untuk memupuk bahasa supaya mencapai taraf yang lebih maju. Di Malaysia, tanggungjawab ini digalas oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Demikianlah salasilah bahasa Melayu yang harus diambil tahu dan difahami. Melaluinya, keunikan bahasa Melayu dapat diketahui dan dihayati. Seseorang yang memahami asal usul bahasa yang dipertuturkan akan mencintai bahasa tersebut, malah berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertahankannya kerana tak kenal, maka tak cinta.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.