1 Mei 2024, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lazimnya, apabila berbicara tentang pengurusan, orang cenderung untuk mengaitkannya dengan bidang perniagaan atau industri. Bahkan dalam dunia kesarjanaan pun, kita sudah terbiasa dengan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan atau Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan (Master of Business Administration atau singkatannya, MBA). MBA ialah ijazah yang menawarkan latihan teori dan praktikal bagi pengurusan perniagaan atau pelaburan.

Dalam sejarah dan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini, kita biasanya disogokkan dengan istilah perancangan bahasa, dan kadang-kadang sahaja kita mendengar ataupun menemukan istilah pengurusan bahasa. Dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2010:22), perancangan bahasa dimaksudkan sebagai usaha yang dijalankan untuk memupuk bahasa ke arah taraf yang lebih maju.

Usaha-usaha ini biasanya dijalankan pada peringkat negara oleh badan-badan yang ditubuhkan khas untuk matlamat ini. Di Malaysia, badan perancang bahasa ialah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Selanjutnya, dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga juga menyatakan bahawa ahli-ahli bahasa telah mengemukakan pelbagai pendekatan bagi proses perancangan bahasa. Umumnya, ada tiga peringkat utama perancangan bahasa. Pertama ialah peringkat membuat keputusan dasar tentang bahasa yang hendak dirancang, termasuklah bahasa yang dipilih sebagai bahasa kebangsaan.

Peringkat kedua pula menjurus kepada pelaksanaan rancangan yang telah disusun, khususnya yang berkaitan dengan proses pengekodan dan pemupukan bahasa Melayu. Seterusnya, peringkat ketiga ialah peringkat penilaian, iaitu peninjauan kembali terhadap hasil dan kesan aktiviti perancangan yang bertujuan membantu perancangan selanjutnya, di samping membaiki kelemahan yang sedia ada (Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, 2010:22).

Kendatipun, prinsip dan amalan perancangan bahasa yang diperkatakan di atas sudah mantap, dan dalam kalangan perancang bahasa serta masyarakat pengguna bahasa kita sudah terbiasa dengan istilah tersebut.

Namun begitu, dalam menghadapi era dan generasi digital yang semakin menghimpit perancangan bahasa Melayu standard atau baku untuk membolehkannya memainkan peranan yang berkesan sebagai bahasa rasmi negara, bahasa pengantar ilmu yang tinggi dan bahasa perhubungan rakyat jelata tidaklah mendatangkan kemudaratan sekiranya pendekatan pengurusan bahasa diperkenalkan bagi membina dan mengembangkan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar pendidikan, bahasa ilmu, bahasa pengucapan budaya tinggi, bahasa komunikasi serta bahasa aplikasi digital yang cekap.

Dengan kata lain, pendekatan pengurusan bahasa boleh diperkenalkan dan diamalkan untuk memantapkan dan mencekapkan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini, sekali gus mengurus bahasa Melayu baku itu sebagai satu daripada bahasa utama dunia seperti yang dihasratkan oleh kebanyakan pihak, terutamanya ahli bahasa, serta aktivis bahasa yang lain, termasuklah organisasi perancang bahasa yang berwibawa di negara ini.

Hatta, apakah yang dimaksudkan dengan pengurusan bahasa berbanding dengan perancangan bahasa? Seperti yang telah disentuh oleh penulis sebelum ini, istilah pengurusan itu kita pinjam daripada bidang lain khususnya daripada bidang perniagaan, dan bidang korporat.

Disebabkan bahasa itu dikategorikan sebagai bidang sastera, dan dari segi hakikatnya, bahasa dan sastera itu umpama isi dengan kuku dan aur dengan tebing, serta saling menunjang antara satu dengan yang lain, khususnya dalam konteks pembinaan serta pengembangan bahasa dan sastera kebangsaan, maka istilah pengurusan dalam bidang seni yang lebih sesuai digunakan untuk memperkatakan perihal pengurusan bahasa.

Menurut William J. Byrnes dalam bukunya, iaitu Management and The Arts Second Edition (Focal Press, 1999), empat fungsi teras pengurusan ialah perancangan (planning), pengorganisasian (organizing), pimpinan (leading) dan pengawalan (controlling). Dalam pendekatan pengurusan bahasa ini, elemen atau fungsi perancangan itu sudah tercakup dalam pendekatan pengurusan bahasa yang disarankan itu.

Dalam pendekatan pengurusan, perancangan ialah memutuskan apa-apa yang hendak dilakukan. Pengorganisasian pula bermaksud memutuskan bagaimana hendak melakukannya dan siapa yang akan melakukannya. Yang dimaksudkan dengan pimpinan pula ialah memutuskan bagaimana orang lain akan membolehkannya dilakukan.

Akhir sekali, yang dimaksudkan dengan pengawalan ialah memutuskan sekiranya sesuatu itu dapat dilakukan atau tidak dapat dilakukan, dan apakah yang akan dibuat sekiranya sesuatu itu tidak dapat dilakukan?

Fungsi pertama pengurusan yang paling sukar ialah perancangan kerana fungsi ini termasuk dalam perancangan yang melibatkan aspek bahasa ialah membuat keputusan dengan tepat mengenai apa-apa yang hendak kita buat, menetapkan matlamat yang realistik, khususnya apa-apa yang hendak dicapai oleh organisasi, dan kemudiannya menentukan objektif, iaitu langkah spesifik yang hendak diambil serta jadual untuk menyelesaikan tugas-tugas tersebut.

Dalam konteks perancangan bahasa, bolehlah dirumuskan bahawa perancangan ialah proses menentukan visi, misi dan matlamat serta membentuk tindakan yang akan diambil bagi mencapai matlamat. Perancangan dari perspektif pengurusan termasuklah dalam perancangan bahasa menuntut seseorang perancang bahasa itu berfikir dan bertindak seperti seorang pengurus (manager).

Dalam bidang pengurusan, pengurus ditakrifkan sebagai “seseorang yang bertanggungjawab terhadap prestasi kerja seorang atau lebih ramai orang”. Tugas asas seseorang pengurus ialah mengorganisasikan sumber manusia dan material bagi membantu organisasi mencapai matlamat dan objektif yang telah dinyatakan (William J. Brynes, 1999).

Perlu diingat bahawa kemahiran kepimpinan sangat diperlukan bagi membolehkan seseorang pengurus itu mengarahkan orang lain untuk mencapai tugas atau kerja yang mesti dibuat. Maka itu, apabila bercakap tentang perancangan bahasa dari perspektif pengurusan, organisasi dan seluruh warga kerjanya mestilah merancang kerana dunia di sekeliling kita sentiasa berubah.

Masyarakat pengguna bahasa dari segi cita rasa, nilai dan jangkaan terhadap bahasa Melayu, sekali gus terhadap warga kerja dalam bidang bahasa, mereka juga berubah dari semasa ke semasa. Oleh itu, mereka yang bertanggungjawab dalam perancangan bahasa, baik di organisasi bahasa mahupun di organisasi lain yang turut terlibat dalam pembinaan serta pengembangan bahasa Melayu tidak dapat tidak mesti membuat perancangan agar mereka dapat mengurus bahasa dengan cekap dan berkesan, sekali gus sewajarnya dapat memenuhi kehendak dan keperluan pengguna bahasa sebagai pelanggan masing-masing.

Dilihat dari dimensi pengurusan, aspek pengorganisasian apa-apa juga program dan aktiviti pembinaan serta pengembangan bahasa cukup penting untuk diberikan perhatian yang serius. Pengorganisasian ialah proses menjadikan atau menukarkan rancangan kepada tindakan.

Ini termasuklah menggabungjalinkan semua orang dan sumber, mendefinisikan  perincian, mewujudkan jadual dan belajanwan, menganggarkan bilangan orang yang diperlukan, dan menetapkan tugas mereka dalam semua aspek pengorganisasian tersebut.

Sebagai contoh, katakan sesebuah organisasi itu merancang hendak mengadakan Hari Bahasa Melayu Sedunia, organisasi tersebut bolehlah melantik syarikat pengurusan acara atau firma perunding dengan mematuhi segala prosedur dan Arahan Perbendaharaan yang ditetapkan untuk menguruskannya, sekali gus menggariskan semua perincian rancangan tersebut yang perlu dilaksanakan dan dicapai.

Menurut William J. Byrnes (1999) lagi, kejayaan pelaksanaan sesuatu perancangan termasuklah perancangan bahasa, dan penulis bersetuju dengan pandangan tersebut, sangat bergantung pada kemahiran dan keberkesanan kepimpinan seseorang.

Maka itu, dalam konteks pengurusan bahasa, seseorang yang diberi tanggungjawab itu hendaklah bertindak seperti seorang pengurus yang menjadi pemimpin dalam memastikan  projek atau progam yang dirancang itu suatu kejayaan.

Sementara itu, fungsi pengurusan yang keempat ialah pengawalan, dan aspek ini amat penting dalam menguruskan aktiviti dan program pembinaan serta pengembangan bahasa Melayu, lebih-lebih lagi dalam era digital atau teknologi maklumat yang sangat rencam, canggih dan pantas ini.

Fungsi pengawalan, tidak lain dan tidak bukan berkaitan dengan pemantauan proses kerja, menyemak silang hasil dengan objektifnya, dan mengambil tindakan pembetulan apabila perlu bagi memastikan segala projek atau program bahasa yang dirancang dan dilaksanakan itu mendatangkan impak yang positif kepada masyarakat.

Syahadan, dapatlah dirumuskan bahawa apabila terlibat dalam perancangan, pengorganisasian, pimpinan dan pengawalan, sesebuah organisasi bahasa mahupun organisasi lain seperti institusi pengajian tinggi yang menawarkan pelbagai program dan kursus yang berkaitan dengan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara, terdapat sekitar tujuh fungsi asas yang perlu dipenuhi oleh seseorang pengurus (William J. Byrnes, 1999), iaitu fungsi perancangan dan pembangunan, pemasaran dan perhubungan awam, pengurusan personel, pengurusan kewangan, hubungan Ahli Lembaga, hubungan pekerja, dan hubungan kerajaan.

Seperti yang telah disinggung oleh penulis dalam artikel yang berjudul “Mempertingkatkan Nilai Ekonomi Bahasa Melayu (JendelaDBP, Mac 2024), dalam usaha pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu, bahasa itu harus ditransfomasikan sebagai produk bernilai ekonomi yang boleh diuruskan dengan memanfaatkan pelbagai pendekatan pengurusan moden yang pragmatik, termasuklah pendekatan pengurusan yang disarankan oleh William J. Brynes (1999).

Baik dalam perancangan bahasa mahupun dalam perspektif pengurusan bahasa yang dikongsikan oleh penulis, kini bagi memperluas dimensi kita tentang program pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu, sama ada di dalam negara ataupun bagi mengantarabangsakan bahasa itu, empat fungsi asas pengurusan yang telah diperkenalkan oleh penulis di atas sangat perlu diketahui, difahami dan diamalkan oleh sesiapa sahaja yang ada hubung kaitnya dengan memaknakan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara.

Justeru, jika ada dalam kalangan masyarakat, misalnya melontarkan pandangan yang negatif atau kritikan tidak berasas terhadap organisasi perancang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, maka pandangan dan kritikan seperti itu hendaklah diurus sebaik mungkin. Memandangkan kes tersebut ada kaitannya dengan imej organisasi dan bahasa tentunya, maka pendekatan pengurusan imej hendaklah diutamakan bagi menangani isu tersebut.

Sesungguhnya, imej ialah persepsi orang ramai terhadap seseorang atau organisasi itu melalui pelbagai bentuk komunikasi dan media. Mana-mana individu atau organisasi yang berkenaan hendaklah mengurus imej diri dan pendekatan pengurusan imej sebenarnya berhubung kait dengan kemampuan seseorang atau organisasi itu mengurus pandangan atau tanggapan orang awam terhadap diri dan organisasi kita, termasuklah imej produk dan perkhidmatan yang kita sediakan.

Pengurusan imej diri dan organisasi dalam konteks tulisan ini mencakupi seluruh entiti dan identiti yang berkaitan dengan tanggungjawab korporat dan fungsi teras organisasi tersebut, serta status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Sementara itu, orang awam yang prihatin dan peduli akan status serta imej bahasa Melayu itu juga seharusnya lebih berhati-hati dan berhemah dalam mengemukakan pandangan dan mengetengahkan kritikan – sewajarnyalah segala pandangan dan kritikan membina sifatnya dan bukannya dibauri emosi, prasangka mahupun didorong oleh sentimen kaum dan politik kepartian.

Apatah lagi jika pandangan dan kritikan tidak konstruktif itu hanya mendedahkan kejahilan kita sendiri tentang perkembangan mutakhir bahasa Melayu yang sudah jauh lebih maju dan membuktikan bahawa segala kritikan kita itu tidak benar dan tidak berasas sama sekali. Jika gejala itu yang terjadi, sudah tentulah imej baik kita juga terjejas dan mungkin juga mendatangkan aib kepada diri kita atau kaum kita sendiri.

Sementara memberi dan menerima pandangan serta kritikan itu juga merupakan elemen yang penting dalam pengurusan, khususnya yang berhubung kait dengan fungsi pengawalan, serta fungsi pemasaran dan perhubungan awam atau yang kini dikenali sebagai  komunikasi korporat, namun pandangan dan kritikan demi kebaikan serta penambahbaikan keempat-empat fungsi pengurusan yang dibincangkan di atas itu lebih dialu-alukan. Pandangan dan kritikan yang tidak membina atau tidak konstruktif, sekali gus memudaratkan imej baik seseorang atau sesebuah organisasi itu sewajarnyalah dihindari.

Di samping itu, ada ketikanya timbul isu yang berkaitan dengan gejala kerancuan bahasa di tempat awam atau premis bangunan dan menonjolnya penggunaan bahasa asing serta bahasa vernakular pada kain rentang, gegantung dan sebagainya. Dalam kes seperti itu, ada pihak yang menuding jari kepada organisasi bahasa seperti DBP dengan mengatakan bahawa tidak bertindak tegas untuk menangani isu itu atau membendung gejala tersebut.

Barang diingat, DBP bukanlah badan penguasa ataupun penguatkuasaan undang-undang kecil berkenaan dengan kerancuan penggunaan bahasa di tempat awam, dan DBP juga tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk mengambil tindakan yang lebih drastik seperti menurunkan papan tanda dan sebagainya yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan atau yang menggunakan bahasa yang rancu. Itu di bawah tanggungjawab dan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.

Sementara itu, kemungkinan besar masalah kerancuan penggunaan bahasa di tempat awam terutamanya dapat ditangani, dibendung atau diatasi dengan menggubal undang-undang kecil pengiklanan atau penggunaan atau pemaparan bahasa kebangsaan yang lebih jelas, tegas, serta MEWAJIBKAN penggunaan bahasa kebangsaan DIDAHULUKAN DAN DIUTAMAKAN, dan bahasa lain boleh digunakan asalkan tidak lebih menonjol daripada penggunaan bahasa kebangsaan dalam konteks tersebut.

Namun begitu, dari perspektif pengurusan, isu penggunaan bahasa yang rancu khususnya di tempat awam tetap juga diurus oleh organisasi perancang bahasa itu dengan mengambil pendekatan diplomasi, yakni dengan menghantar surat teguran kepada pihak yang berkenaan.

Sementara itu, dari segi pengurusan isu bahasa, DBP juga tentunya dengan bantuan masyarakat yang prihatin akan penggunaan bahasa kebangsaan yang persis memantau penggunaan bahasa di tempat awam dan seumpamanya.

Seyogianya, pendekatan pengurusan bahasa yang disarankan oleh penulis juga menekankan peri pentingnya tindakan penilaian dilaksanakan dari semasa ke semasa ataupun secara berkala sesuai dengan matlamat (goal), objektif, tempoh pelaksanaan, sasaran, peruntukan kewangan yang diluluskan, serta keberhasilan yang disasarkan bagi sesuatu projek serta program yang telah dirancang dan tidak terkecuali memantau pelaksanaan projek sepanjang masa.

Pengurusan bahasa sama seperti pengurusan bidang yang lain juga mementingkan aspek pembangunan sumber manusia yang sesuai dengan keperluan bidang tugas dan tanggungjawab masing-masing. Semua yang terlibat dengan program pengembangan bahasa Melayu misalnya, bukan sahaja perlu dipertingkatkan ilmu bahasanya, tetapi juga perlu diberikan latihan dalam bidang pengurusan, untuk membekalkan mereka dengan kemahiran merancang, memimpin, mengorganisasi dan mengawal seperti yang dijelaskan sebelum ini.

Akhirulkalam, prinsip dan amalan pengurusan bahasa yang disarankan oleh penulis boleh juga mengambil kira lima elemen pengurusan moden yang dikemukakan oleh Henri Fayol dalam artikelnya, Five Foundation Stones of Modern Management (dalam buku Guide to The Management Gurus, Carol Kennedy, 1998):

  1. untuk meramalkan dan merancang (to forecast and plan);
  2. untuk mengorganisasikan (to organize);
  • untuk mengarahkan (to command);
  1. untuk menyelaraskan (to coordinate); dan
  2. untuk mengawal (to control).

(Penulis juga memiliki ijazah MA in Arts Management dari City University, London).

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.