Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKemeriahan sambutan Aidilfitri bertambah ceria apabila hari istimewa ini diserikan lagi dengan lagu raya popular sepanjang zaman. Alunan lagu yang mendayu daripada karya yang tidak pernah lekang dek zaman ini menyemarakkan lagi suasana pagi raya. Walaupun banyak lagu raya dihasilkan dari dulu hingga sekarang, masyarakat Malaysia lebih cenderung untuk memilih lagu raya yang dihasilkan pada zaman dahulu yang penuh dengan nostalgia berbanding dengan lagu raya pada zaman ini.
Walau bagaimanapun, suasana ini tiba-tiba berubah apabila pada tahun 2024, lagu Ketipak Ketipung Raya menjadi tular sehingga digunakan oleh pencipta kandungan, terutamanya dalam platform media sosial, seperti TikTok, YouTube dan Instagram untuk kandungan video masing-masing. Lagu bernada rancak ini menjadikan pendengar lebih bersemangat kerana menekankan nilai kasih sayang dan menggambarkan suasana hari raya apabila bersama-sama keluarga tercinta ketika meraikan lebaran.
Beberapa orang pempengaruh media sosial pula dilihat menggunakan lagu ini sebagai latar video transisi fesyen menjelang sambutan Aidilfitri 2024. Lagu ini juga digunakan sebagai lagu iringan oleh pengguna biasa dalam video dan gambar raya yang dimuat naik dalam media sosial. Maka itu, tidak hairanlah apabila lagu ini mencatatkan tiga juta lebih tontonan dalam YouTube dalam tempoh tiga minggu sahaja.
Binaan lirik lagu Ketipak Ketipung Raya ini terdiri daripada 10 rangkap, termasuklah korus. Setiap baris kata dalam lirik ini disusun dengan sebaik-baiknya supaya setiap kali didengari, pendengarnya dapat mengimbas detik meraikan hari raya.
Dengan berdasarkan Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI), kata “ketipung” bermaksud gendang kecil yang hanya satu daripada dua lubangnya ditutupi kulit. Ungkapan “ketipak ketipung” pula merupakan ungkapan yang digunakan untuk menggambarkan bunyi gendang. Rangkap pertama lagu ini dimulakan dengan ayat:
Harum semerbak bunga melati
Jauh di mata dekat di hati
Fokus ayat pertama dalam lirik tersebut ialah bunga melati. Di Thailand, bunga melati ialah simbol bagi ibu, serta menggambarkan rasa cinta dan hormat. Di Amerika Syarikat, bunga ini melambangkan kecantikan, perasaan cinta dan keadaan romantik.
Ciri khusus bunga melati ialah wangi semerbak dan menenangkan. Bunga melati ini juga melambangkan keindahan dalam kesederhanaan dan kerendahan hati. Hal ini dikatakan demikian kerana baunya yang harum semerbak walaupun saiznya kecil dan sederhana.
Permulaan ayat yang indah ini menggambarkan keindahan yang cuba ditonjolkan menerusi naluri yang murni dan aroma yang semerbak apabila berbicara tentang cinta dan pada masa yang sama membangkitkan perasaan positif.
Apabila diteliti baris kedua, iaitu “Jauh di mata dekat di hati”, penulis lirik tersebut didapati memanfaatkan peribahasa Melayu. Peribahasa tersebut bermaksud keadaan seseorang yang tidak dapat bertemu kerana dipisahkan oleh jarak, tetapi tetap terkenang dan teringat selalu di dalam hati.
Dalam hal ini, penulis liriknya menggambarkan keadaan ahli keluarga yang hidup berjauhan, tetapi ikatan persaudaraan tidak sekali-kali terputus. Hal ini dikatakan demikian kerana ahli keluarga yang berjauhan ini tetap akan berkumpul di kampung untuk meraikan hari raya bersama-sama.
Jikalau dinda ingin beraya
Mari bertandang ke rumah kanda
Istilah pasangan kanda dinda biasanya digunakan untuk suami isteri. Dalam konteks lirik lagu ini, alur ceritanya seperti pasangan kekasih yang ingin datang bertandang ke rumah pasangan. Kata “bertandang” bermaksud pergi bertemu atau berkunjung.
Amalan berkunjung untuk menziarahi sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai untuk mengeratkan lagi hubungan persaudaraan sering diamalkan dari dahulu hingga kini, terutamanya ketika sambutan hari raya.
Ketipak ketipung sayang
Duit raya still dapat ke sayang
Kalau sudah mari beraya
Duit raya pula merupakan perkara yang dinanti-nantikan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak ketika hari raya. Apabila kanak-kanak ini dewasa dan mula bekerja, tibalah gilirannya untuk memberikan duit raya walaupun dirinya masih belum berkahwin. Duit raya ini biasanya dimasukkan ke dalam sampul dan diberikan ketika aktiviti bersalam-salaman dan bermaaf-maafan pada pagi raya, begitu juga ketika berkunjung ke rumah sanak saudara.
Tak kira di kampung atau di kota
Raya kita tetap sama
Selamat hari raya semua
Kuucapkan kepada dunia
Pelita pun dah menyala
Tengah tunggu datang sanak saudara
Selamat Hari Raya semua
Suasana raya tetap meriah walaupun berada di kota atau kampung. Budaya perantau pulang ke kampung sudah menjadi tradisi walaupun terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas dalam tempoh yang lama. Biasanya, budaya bergotong-royong dan memasang pelita menjadi amalan masyarakat kerana menggambarkan suasana hari raya. Sama ada pelita minyak tanah atau pelita moden, alunan cahaya pelita tersebut tetap mengindahkan suasana. Kunjungan sanak saudara pula meriuhkan suasana raya tersebut. Keadaan yang digambarkan ini memberikan suasana gembira yang dapat mengimbau semula memori berhari raya dengan keluarga pendengar.
Awal korus:
Ketipak ketipung sayang
Baju raya dah beli ke sayang
Kalau sudah mari beraya
Korus:
Selamat hari raya semua
Kuucapkan kepada dunia
Pelita pun dah menyala
Tengah tunggu datang sanak saudara
Selamat Hari Raya semua
Keistimewaan lagu ini juga terletak pada korusnya. Korus lagu ini mempunyai tautan yang indah. Lagu yang mempunyai tautan membolehkan melodi nyanyian itu mudah diingati. Ayat “Selamat Hari Raya semua” diulang beberapa kali. Penggunaan ayat yang mudah diingati ini menyebabkan terciptanya tarian yang seiring dengan lagu ini. Tarian tersebut pula dicuba orang pelbagai kelompok masyarakat, sama ada pempengaruh atau rakyat biasa.
Kesimpulannya, setiap rangkap lagu Ketipak Ketipung Raya mengandungi pelbagai tafsiran makna yang indah dan mudah difahami. Lagu ini berjaya mengembalikan nostalgia dan kemeriahan sambutan hari raya di Malaysia. Oleh itu, semoga lebih banyak lagu seperti ini dihasilkan untuk merancakkan lagi suasana sambutan Aidilfitri pada tahun hadapan.