Oleh Kho Thong Eng
1 September 2022, 12:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Robert Gagne (1916-2002) ialah ahli psikologi pendidikan yang mempelopori sains pengajaran pada tahun 1940-an. Bukunya yang berjudul The conditions of Learning diterbitkan pada tahun 1965. Robert Gagne mengemukakan cadangan tentang sembilan acara atau langkah pengajaran (nine events of instruction) sebagai kerangka untuk menyediakan dan menyampaikan kandungan pelajaran. Saranan Gagne dapat digunakan oleh para guru bersama-sama Taksonomi Bloom yang sudah dikemaskinikan untuk menghasilkan pembelajaran yang berkesan dan bermakna.

Sembilan acara pengajaran Gagne meliputi langkah-langkah yang berikut:

  1.  Menarik perhatian murid

Guru dapat mencuba pelbagai cara untuk merangsang minat murid agar mereka ingin terlibat secara aktif dalam pembelajaran, seperti yang berikut:

  1.  menyuntik unsur baharu
  2.  menyentuh hal yang menimbulkan kejutan (surprise)
  3.  mengajukan soalan yang mendorong murid berfikir
  4.  menggalakkan murid untuk saling bertanya
  5.  menyentuh isu semasa
  6.  menyentuh isu yang berkaitan dengan murid
  7.   menyentuh isu yang berkaitan dengan pelajaran
  8.  menunjukkan gambar atau tayangan klip video

 

  1.  Menyatakan objektif pembelajaran

Guru memberitahu murid tentang objektif pelajaran atau hasil pembelajaran yang dijangkakan, seperti yang berikut:

  1.  menjelaskan hasil pembelajaran yang diharapkan
  2.  menerangkan kriteria pencapaian
  3.  menunjukkan rubrik yang perlu dilengkapkan
  4.  mencungkil maklumat tentang perkara yang sudah diketahui oleh murid dan yang ingin diketahui oleh mereka

 

  1.  Merangsang ingatan tentang pengetahuan sedia ada

Guru merangsang ingatan murid tentang pengetahuan yang sedia dikuasai oleh mereka, seperti yang berikut:

  1.  bersoal jawab tentang pengetahuan sedia ada
  2.  menilai dan mengulas pengetahuan sedia ada
  3. mengaitkan dan menyepadukan pengetahuan sedia ada dengan pelajaran baharu
  4.  murid menjawab soal kuiz
  5.  bersoal jawab tentang hal yang berkaitan dengan pelajaran
  6.  meminta murid melengkapkan peta minda
  7.  meminta murid merumuskan pengetahuan sedia ada

 

  1.  Penyampaian kandungan pelajaran

Guru menyampaikan isi kandungan secara sistematik dan bermakna dengan memberikan penjelasan dan tunjuk cara, seperti yang berikut:

  1.  mengemukakan pelbagai versi kandungan, termasuk klip video, tunjuk cara, syarahan, kerja kumpulan, cerita, dan lain-lain
  2.  menggunakan pelbagai media
  3.  melibatkan murid secara aktif
  4.  memaparkan maklumat pada papan tulis atau kertas mahjong
  5.  melibatkan penceramah tetamu
  6.   mengemukakan masalah untuk diselesaikan oleh murid
  7.  memberikan bahan pembelajaran kendiri

 

  1.  Memberikan bimbingan

Guru membimbing murid untuk memahami kandungan pelajaran, seperti yang berikut:

  1.  memberikan panduan pembelajaran atau scaffolding
  2. menunjukkan pelbagai strategi pembelajaran, seperti cara ingatan (mnemonics), peta minda, peta fizikal, main peranan, penggambaran visual
  3. mengemukakan contoh yang tepat (examples) dan tidak tepat (non-examples) supaya murid memahami konsep dengan tepat
  4.  melakukan kajian kes untuk melakukan aplikasi di dunia nyata
  5. menggunakan analogi dan metafora untuk mengaitkan ilmu baharu dengan konsep yang sudah dikuasai
  6. menggunakan imej visual supaya murid dapat membayangkan kaitan konsep dengan imej visual
  7. bersoal jawab untuk menolong murid berfikir secara kritis dan kreatif
  8. menjalankan uji kaji

 

  1.  Memperoleh maklumat tentang prestasi murid (elicit performance)

Guru melatih murid untuk mengaplikasikan kandungan pelajaran untuk meneguhkan kemahiran dan pengetahuan yang telah disampaikan, dan mengesahkan (confirm)  konsep dan pemahaman mereka, seperti yang berikut:

  1. memudahcarakan aktiviti murid – kolaborasi dengan rakan, menjawab soalan yang kritis, menjalankan uji kaji
  2. mengadakan penilaian formatif – meliputi tugasan bertulis, projek individu atau kumpulan, pembentangan
  3. merangka kuiz dan ujian yang berkesan supaya murid dapat menunjukkan pemahaman dan aplikasi ilmu
  4.  meminta murid untuk memberikan contoh
  5.  menggunakan simulasi dan permainan

 

  1.  Memberikan maklum balas

Guru memberikan maklum balas segera tentang prestasi murid untuk meningkatkan pembelajaran dan membetulkan kekurangan dari segi pemahaman mereka, seperti yang berikut:

  1. pengesahan – mengesahkan jawapan yang betul, sebagai galakan kepada murid
  2.  penilaian – menilai ketepatan jawapan murid
  3.  pemulihan – membimbing murid untuk mendapat jawapan yang betul
  4. huraian/analisis – memberikan cadangan, alternatif, arahan, dan maklumat untuk mendapat jawapan yang betul
  5. penilaian kendiri/rakan – mengenal kekurangan pemahaman diri atau rakan

 

  1.  Menilai prestasi murid

Guru menilai sama ada objektif pembelajaran telah dicapai, seperti yang berikut:

  1. mengadakan praujian dan pascaujian untuk menilai perkembangan murid atau sikap yang berubah
  2. menyelitkan penilaian formatif sepanjang pelajaran melalui penyoalan lisan, aktiviti pembelajaran yang ringkas atau kuiz
  3. menggunakan pelbagai cara penilaian supaya murid dapat menunjukkan penguasaan ilmu dan kemahiran
  4. menggunakan rubrik yang objektif dan berkesan untuk menilai hasil bertulis, projek dan pembentangan
  5. meminta murid meringkaskan atau merumuskan pengetahuan yang baharu
  6. meminta murid mencadangkan alternatif kepada prosedur, rancangan atau produk yang dihasilkan

 

  1.  Meningkatkan ingatan dan pemindahan ilmu

Guru membantu mengingat ilmu baharu dengan mengaitkannya dengan situasi di dunia nyata, seperti yang berikut:

  1.  mengaitkan ilmu baharu dengan konsep yang sudah dipelajari
  2.  mengintegrasikan soalan dalam ujian yang lepas dalam ujian baharu
  3. transformasi format/bentuk – menukarkan ilmu baharu daripada satu format kepada format lain, misalnya menghasilkan peta minda
  4. menyatakan objektif pembelajaran dengan jelas dan mengaitkan aktiviti pembelajaran dengan objektifnya
  5.  memberikan pemulihan kepada murid yang kurang faham
  6. memberikan cadangan ilmu dan kemahiran yang akan dipelajari pada masa depan
  7. menyuruh murid menyusun maklumat baharu semula untuk meningkatkan pemahaman

 

Berdasarkan kerangka sembilan acara pengajaran yang disediakan oleh Robert Gagne, kita dapat merancang dan melaksanakan satu sesi pengajaran aspek pemahaman dengan membuat perancangan secara teratur dan berkesan. Sila lihat contoh persediaan mengajar pada Jadual 1, dan rubrik pengajaran yang sudah dilengkap isi pada Jadual 2 dan Jadual 3.

Sebagai lanjutan kepada pelajaran pemahaman tentang permainan petanque dan boling padang, murid boleh juga dilatih untuk menjawab soalan KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) seperti berbincang tentang kelebihan petanque dan boling padang berbanding dengan permainan lain. Hal ini akan membuka dan menajamkan pemikiran murid. Sila lihat contoh yang berikut:

Kelebihan Petanque dan Boling Padang Kelebihan Bola Sepak
1. Ludah dipelajari 1. Lebih mencabar
2. Tidak memerlukan banyak tenaga 2. Lebih meriah kerana pemain ramai
3. Dapat disertai semua peringkat umur dan kedua-dua jantina 3. Lebih rancak dengan pergerakan lincah
4. Peralatan dan gelanggang sederhana 4. Lebih mengujakan
5. Bilangan pemain tidak banyak 5. Melibatkan serangan dan pertahanan
6. Tidak memerlukan ruang yang besar 6. Melibatkan banyak strategi

 

Satu lagi soalan KBAT pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia melibatkan hal membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Sebagai contoh, murid-murid boleh disuruh berbincang tentang cara-cara untuk mempopularkan petanque dan boling padang dalam kalangan masyarakat. Sila lihat cadangan jawapan yang berikut:

  1.  menjadikannya sebagai kegiatan kokurikulum di sekolah
  2.  melatih guru atau pihak lain sebagai jurulatih
  3.  mengadakan pertandingan dan menawarkan hadiah
  4.  membuat lipatan siaran dalam media massa
  5.  membanyakkan peralatan dan gelanggang
  6.   mengadakan tunjuk cara kepada orang ramai

 

Kini pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah bersandarkan tema tertentu. Oleh itu, pelajaran pemahaman (kemahiran membaca) tentang petanque dan boling padang boleh juga dikaitkan dan digabungjalinkan dengan kemahiran mendengar, bertutur dan menulis. Selain itu, penyuntikan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), penerapan ilmu, tatabahasa, kosa kata, estetika bahasa dan nilai juga akan menjadikan pelajaran Bahasa Melayu lebih lengkap dan bermakna.

 

Jadual 1: Persediaan Mengajar (Pemahaman)

Komponen Sembilan Acara Gagne Pelaksanaan Acara Gagne BBM
Induksi Set 1.  Menarik perhatian murid a.  Guru mengaitkan pelajaran baharu dengan kisah jaguh sukan boling di tanah air kita. Gambar jaguh sukan boling
b.  Sebagai alternatif, guru boleh juga menunjukkan gambar atau klip video tentang permainan boling. Gambar/klip video
2.  Memaklumkan Objektif Guru menyatakan objektif pembelajaran:

a.  memahami teks pemahaman

b.  membandingbezakan kandungan dua teks

c.  menjawab soalan KBAT

3.  Merangsang pengetahuan sedia ada Murid dan guru bersoal jawab tentang permainan boling yang mirip dengan permainan petanque dan boling padang dari segi gelanggang, alat, cara bermain, dan penentuan pemenang.
Perkembangan 4.  Mempersembahkan kandungan Murid membaca dua buah teks tentang petanque dan boling padang secara senyap.

 

Dua buah teks dalam buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 5 (hlm. 18 dan 19)
5.  Memberikan bimbingan a.  Murid diberi rubrik kosong untuk menyenaraikan ciri utama petanque dan boling padang.

b.  Murid berbincang secara berpasangan tentang ciri-ciri utama petanque dengan boling padang.

c.  Murid mengisi rubrik bersama-sama.

d.  Guru mendekati setiap pasangan untuk membimbing murid melalui soal jawab.

Rubrik kosong menyenaraikan maklumat yang perlu dikumpulkan seperti format pertandingan, alat, gelanggang, cara bermain, dan cara penentuan pemenang.
6.  Mendapatkan hasil kerja murid Rubrik dibentangkan di hadapan kelas oleh mana-mana pasangan secara sukarela atau dicalonkan oleh kelas/guru.
7.  Memberikan maklum balas a.  Murid lain dan guru membantu melengkapkan atau memurnikan maklumat yang dipaparkan.

b.  Murid lain dan guru membetulkan kesalahan bahasa (jika ada).

c.  Setiap pembetulan harus diwajarkan dengan rasionalnya.

8.  Menilai prestasi murid a. Murid diminta membandingbezakan ciri-ciri utama antara petanque dengan boling padang dengan menggunakan rubrik kosong yang disediakan oleh guru.

b.  Hasil kerja murid dinilai oleh murid lain dan guru.

Rubrik Banding Beza
Penutup 9.  Meningkatkan pengekalan ilmu dan kemahiran baharu a.  Murid yang kurang faham dibimbing oleh guru.

b.  Murid diminta untuk membandingbezakan segala aspek permainan badminton dengan permainan tenis dengan menggunakan rubrik yang direka oleh mereka sendiri sebagai kerja rumah.

c.  Hasil kerja murid akan dibincangkan dan dinilai bersama-sama dalam kelas yang seterusnya.

 

Jadual 2:  Ciri-ciri Petanque dan Boling Padang

Perkara Petanque Boling Padang
Format Pertandingan 1. 3 kategori- perseorangan, berpasangan dan bertiga

2. Perseorangan dan berpasangan – 3 biji boule

3. Bertiga – 2 biji boule

1. 4 kategori – perseorangan, berpasangan, bertiga dan berempat.

2. Perseorangan dan berpasangan – 4 biji bowl.

3. Bertiga – 3 biji bowl, berempat – 2 biji bowl.

Peralatan 1.  Beberapa biji boule (bola besi)

2.  Sebiji jack (bola kayu)

3.  Pita pengukur

4.  Tuala kecil

1.  Beberapa biji bowl (bola besi asimetri)

2.  Sebiji jack (bola kayu kecil yang berwarna putih atau kuning)

3.  Pita pengukur

4.  Tikar

Gelanggang 1.  2 jenis gelanggang – gelanggang terbuka atau bertanda

2.  Gelanggang bertanda – kawasan lapang (bertanah, berpasir atau berlumpur)

3.  Gelanggang bertanda – gelanggang yang dibina khas

1.  3 jenis gelanggang – green dengan rumput asli, rumput tiruan atau karpet.

2.  Green dengan rumput asli atau rumput tiruan di kawasan luar, green dengan karpet di dalam dewan.

 

Cara Bermain 1. Pemain pertama pasukan yang mendapat undian melontar jack.

2.  Pemain kedua-dua pasukan akan melontar boule untuk mendekatkannya dengan jack.

1.  Pemain meleretkan bowl.

2.  Pemain yang menempatkan bowl paling dekat dengan dengan jack akan mendapat 1 mata.

Penentuan Pemenang Pemain atau pasukan yang memperoleh mata penamat 9, 11 atau 13. Pemain atau pasukan yang memperoleh mata penamat 21 atau yang terdahulu.

 

Jadual 3:  Rumusan Perbandingan antara Petanque dengan Boling Padang

Perkara Persamaan Perbezaan
Format Pertandingan Terbahagi kepada beberapa kategori. Jumlah kategori berbeza.
Peralatan a.  Pita pengukur digunakan.

b.  Menggunakan jack.

a.  Petanque menggunakan boule [bu:l] tetepi boling padang menggunakan bowl.

b.  Petanque menggunakan tuala kecil tetapi boling padang menggunakan tikar.

Gelanggang Menggunakan gelanggang Jumlah dan jenis gelanggang berbeza.
Cara Bermain Mendekatkan boule atau bowl dengan jack. Bagi petanque, pemain melontar boule,  tetapi bagi boling padang, pemain meleretkan bowl.
Penentuan Pemenang Mencapai mata penamat tertentu. Mata penamat berbeza.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.