Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKata mesti dan pasti merupakan dua perkataan yang sering mengelirukan pengguna bahasa Melayu. Dari segi maksudnya, kata mesti bererti wajib atau must dalam bahasa Inggeris. Kata mesti tergolong dalam kata bantu ragam. Sila lihat contoh yang berikut:
1a. Dia mesti berusaha untuk lulus.
1b. Dia mesti ke kampung pada hujung minggu ini.
1c. Dia mesti tabah untuk menghadapi cabaran.
Dalam ayat 1a, kata bantu ragam mesti dikaitkan dengan kata kerja berusaha. Dalam ayat 1b, kata bantu ragam mesti dikaitkan dengan frasa sendi nama ke kampung. Dalam ayat 1c, kata bantu ragam mesti dikaitkan dengan kata adjektif tabah.
2a. Kita mesti menghormati ibu bapa.
2b. Kita wajib menghormati ibu bapa.
3a. Perkara ini wajib.
3b. *Perkara ini mesti.
Dalam ayat 2a, kata mesti bererti “wajib”, seperti dalam ayat 2b. Walau bagaimanapun, kata mesti tidak dapat menggantikan kata wajib dalam kelompok ayat 3. Hal ini berlaku demikian kerana dalam ayat 3a, kata wajib ialah kata adjektif.
Kata mesti boleh ditambah imbuhan untuk mendukung maksud tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:
4a. Sudah semestinya dia akan menolak cadangan itu.
4b. Sudah pasti dia akan menolak cadangan itu.
4c. *Sudah mesti dia akan menolak cadangan itu.
5a. Orang Islam dimestikan berpuasa pada bulan Ramadan.
5b. Orang Islam mesti berpuasa pada bulan Ramadan.
6a. Menghormati ibu bapa merupakan kemestian anak.
6b. Menghormati ibu bapa merupakan kewajipan anak.
Dalam ayat 4a, kata semestinya sama erti dengan maksud kata pasti dalam ayat 4b, tetapi berbeza daripada maksud kata mesti dalam ayat 4c. Maksud kata dimestikan dalam ayat 5a sama dengan kata mesti dalam ayat 5b. Dalam kelompok ayat 6, kata kemestian sama maksud dengan kata kewajipan.
Kata pasti mempunyai dua fungsi, iaitu sebagai kata bantu ragam dan kata adjektif. Sebagai kata bantu ragam, kata pasti bererti “tentu”, dan penggunaannya adalah seperti contoh yang berikut:
7a. Dia pasti akan membantu kita.
7b. Dia pasti ke pejabat nanti.
7c. Dia pasti yakin ketika berucap nanti.
Dalam ayat 7a, kata bantu ragam pasti dikaitkan dengan frasa kerja akan membantu kita. Dalam ayat 7b, kata bantu ragam pasti dikaitkan dengan frasa sendi nama ke pejabat. Dalam ayat 7c, kata bantu ragam pasti dikaitkan dengan kata adjektif yakin.
Sebagai kata adjektif yang bererti “tentu” atau “jelas”, contoh ayatnya adalah seperti yang berikut:
8a. Perkara itu belum pasti lagi.
8b. Perkara itui belum tentu lagi.
8c. Perkara itu belum jelas lagi.
Persamaan dan perbezaan antara kata mesti dengan kata pasti dari segi fungsi dan makna dapat digambarkan seperti yang berikut:
9a. Semua anak mesti menghormati ibu bapa.
9b. Semua anak pasti menghormati ibu bapa.
Dalam kelompok ayat 9, kedua-dua kata mesti dan pasti berfungsi sebagai kata bantu ragam. Dalam ayat 9a, kata mesti bererti “wajib”, tetapi dalam ayat 9b, kata pasti bererti “tentu” atau “jelas”. Dari segi hakikatnya, maksud ayat 9a betul kerana penghormatan terhadap ibu bapa sememangnya merupakan kemestian yang dituntut oleh semua agama dan masyarakat. Namun demikian, maksud ayat 9b tidak semestinya benar kerana memang ada anak yang tidak menghormati ibu bapa mereka.
10a. Dia amat pasti tentang hala tuju hidupnya.
10b. *Dia amat mesti tentang hala tuju hidupnya.
Maksud ayat 10a tepat, iaitu “Dia sangat jelas tentang hala tuju hidupnya”. Sebaliknya, ayat 10b kurang bererti.
11a. Sudah semestinya dia mahu turut serta.
11b. *Sudah sepastinya dia mahu turut serta.
Ayat 11a betul kerana kata semestinya bererti “pasti”. Namun demikian, kata sepastinya (ayat 11b) tiada dalam bahasa Melayu.
12a. Belum ada kepastian bahawa dia akan berubah.
12b. Taat setia kepada negara merupakan kemestian.
Dalam ayat 12a, kata kepastian bererti “ketentuan”, manakala dalam ayat 12b, kata kemestian bererti kewajipan.
Dalam ayat 13, kata ketidakpastian bererti “ketidaktentuan”. Setakat ini, belum ada kata ketidakmestian dakam bahasa Melayu.
14a. Dia sangat pasti tentang hal itu.
14b. Dia pasti benar tentang hal itu.
Dalam kelompok ayat 14, kata adjektif pasti dapat digandingkan dengan kata penguat seperti sangat dan benar. Sebaliknya, kata mesti tidak dikaitkan dengan sebarang kata penguat.
15a. *Dia mesti mesti dalam hal ini.
15b. Dia pasti pasti dalam hal ini.
Kata mesti tidak boleh diulang dalam ayat. Dalam ayat 15b, kata pasti yang pertama ialah kata bantu ragam yang bererti “tentu”, manakala kata pasti yang kedua ialah kata adjektif yang bererti “jelas” atau “tentu”.