Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSelangor – Usaha anak muda dalam mengangkat komik ke arah pembelajaran menjadi kenyataan apabila tertubuhnya Syarikat BoneyBone Studio. Syarikat ini bermula dengan buku bersiri Perjalanan MISI sebagai eksperimentasi bagi melihat perjalanan adunan komik yang menghiburkan yang terselit bersamanya pendidikan.
Perjuangan Afiq Salam dan Nazry Salam sebagai pelukis komik yang mempunyai pengalaman melebihi 10 tahun pastinya dapat membuatkan mereka menarik nafas lega apabila angan-angan yang bermula dengan cetusan idea kini menjadi kerjaya buat mereka dan sentiasa berusaha untuk menghasilkan karya-karya terbaharu.
Buku pertama mereka yang bertajuk MISI 8A ternyata merupakan permulaan yang memberangsangkan apabila mendapat sambutan ramai bagi cetakan pertama. Detik itu menjadi pemangkin untuk mereka berdua lebih aktif menghasilkan karya Siri MISI selama lapan tahun dan akhirnya pada tahun 2019, buku Siri MISI berjaya terbit hingga bilangan ke-20.
Terdahulu, perjalanan MISI ini bertapak dan bermula pada tahun 2010 dengan buku pertama, iaitu MISI 8A yang membawa jenama MISI sebagai komik hiburan dan pendidikan sampai ke tangan pembaca. Sambutan hangat itu membuahkan hasil apabila siri kedua yang berjudul MISI 10A diterbitkan. Siri kedua ini merupakan sambungan kepada MISI 8A yang mengisahkan Aizad dan Zahid yang berlatarbelakangkan sekolah asrama penuh. Dalam siri ini juga wataknya semakin berkembang dengan munculnya watak-watak yang lain seperti Fizi, Kimi, Mat dan Putera.
Pada tahun 2012, buku ketiga MISI 10A Plus pula lebih dramatik apabila mahu memberikan ingatan kepada pembaca tentang pembinaan setiap watak dalam buku MISI di luar bidang akademik. Penulisnya berharap agar pembaca jatuh cinta dengan setiap watak apabila memberikan bakat dan minat dalam watak supaya lebih dekat dengan pembaca. Strategi ini berjaya memikat hati pembaca kerana mengembangkan watak-watak dengan baik. Sudah pasti fasa ini berjaya melahirkan peminat kelab MISI untuk sentiasa menantikan buku terbaharu mereka.
Pada tahun 2014, buku terakhir MISI 10A Finale merupakan perjuangan watak-watak yang berada di sekolah menengah. Penulisnya mahu membawa pembaca masuk ke dunia universiti dan pekerjaan serta mahu memastikan pembaca sentiasa mempunyai minat untuk menyambung pelajaran atau mempunyai cita-cita yang jelas. Buku ini membawa mesej harapan kepada pembaca untuk sentiasa menjadikan pembelajaran sebagai perkara utama. Walaupun diadun dengan hiburan yang menggelikan hati namun ada ketikanya hiburan itu “menjentik” pembaca bersama-sama nasihat dan teguran halus.
Perjalanan MISI ini masih diteruskan hingga kini kerana sering mendapat permintaan pembaca. Selain menerbitkan buku komik sebanyak 30 judul, BoneyBone Studio juga melakukan animasi 2D yang telah disiarkan melalui Youtube rasmi Official MISI dan platform media sosial yang lain. Oleh itu, semoga semua pihak dapat memberikan sokongan penuh kepada usaha mereka yang tidak jemu-jemu menghasilkan karya yang bermutu.