23 September 2022, 11:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – Seminar Linguistik Kebangsaan (SLiK) 2022 melabuhkan tirainya setelah dua hari berlangsung di Pusat Penyelidikan Langkawi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kampus Tuanku Abdul Halim Mua’dzam Shah, Langkawi, Kedah. SLiK 2022 yang diadakan sekali dalam tempoh dua tahun merupakan program anjuran bersama Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), UKM dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penyelidikan Bahasa.

Pengerusi PLM, Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin dalam ucapannya bersempena dengan majlis penutupan SLiK 2022 menggesa para sarjana yang membentangkan kajian masing-masing untuk menerbitkan hasil kajian tersebut menerusi jurnal.

Kertas kerja yang dibentangkan menunjukkan banyak dapatan baharu dengan hasil kajian yang menarik. Sudah pasti hasil kajian yang dibentangkan ada kekurangan namun boleh dibaiki berdasarkan komen pakar bahasa dan linguistik yang mendengar pembentangan kajian tersebut.

Tambah Profesor Dr. Nor Hashimah, “Boleh juga terbitkan hasil kajian dalam Jurnal Persatuan Linguistik Malaysia yang kini diiktiraf oleh MyCite dan berstatus Q2. Oleh itu, penerbitan dalam jurnal akan memberikan nilai tambah pada kajian dan juga memberikan merit kepada sarjana itu sendiri.”

Profesor Dr. Nor Hashimah yang juga profesor tamu di Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM, turut menjelaskan bahawa penerbitan berbentuk bab dalam buku tidak memberikan merit kepada pensyarah dalam hal kenaikan pangkat dan tidak diambil kira dalam penilaian prestasi. Pelajar peringkat doktor falsafah juga dikehendaki menerbitkan sekurang-kurangnya dua hasil kajian dalam jurnal. Maka itu, seminar seperti SLiK ini memberikan peluang yang besar kepada pengkaji dan sarjana bahasa untuk menambah baik hasil kajian dan seterusnya mengusahakan penerbitan kertas kerja tersebut dalam jurnal, terutamanya Jurnal Persatuan Linguistik.

Dengan mengangkat tema “Bahasa Melayu dalam Era Norma Baharu”, SLiK 2022 memperlihatkan sebanyak 60 kertas kerja telah dibentangkan oleh para pengaji bahasa dan sarjana linguistik. SLiK 2022 juga menampilkan dua ucap utama yang disampaikan oleh Profesor Dr. Rogayah A Razak pada hari pertama seminar dengan tajuk “Penyelidikan tentang Perkembangan Bahasa Kanak-kanak Tipikal dan Tak Tipikal di Malaysia: Isu dan Keperluan”. Ucap utama pada hari kedua seminar pula disampaikan oleh Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin dengan tajuk “Bahasa, Persekitaran dan Budaya: Elemen Tiga Serangkai Ekolinguistik”.

Sebelum berlangsungnya majlis penutupan SLiK 2022, tiga kertas kerja telah dibentangkan dalam Sidang Pleno. Pembentangan pertama disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Fazal Mohamed Mohamed Sultan yang membicarakan tajuk “Literasi Bahasa Melayu Kanak-kanak Negrito dan Senoi”. Seterusnya, Profesor Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz membentangkan tajuk “Pemanjangan Vokal Dialek Kelantan Berdasarkan Teori Optimaliti”, manakala pembentangan ketiga yang bertajuk “Penyebaran Leksikal ‘Saya’ dan ‘Kamu’ di Daerah Cameron Highland: Analisis Geolinguistik” dibicarakan oleh Dr. Siti Noraini Hamzah.

Para peserta, pemakalah dan urus setia bergambar kenangan selepas selesainya majlis penutupan SLiK 2022.

Yang menariknya, SLiK edisi pada kali ini berjaya menarik penyertaan bukan sahaja daripada sarjana UKM, malah turut disertai oleh sarjana bahasa dan linguistik dari Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA dan Universiti Putra Malaysia, termasuklah pembentangan oleh pegawai dari DBP.

Sambutan yang positif itu juga memperlihatkan penyertaan peserta dan pemakalah daripada golongan muda. Hal ini cukup meyakinkan pihak penganjur bahawa SLiK mampu memberikan impak yang baik kepada perkembangan bahasa Melayu, malah dapat memajukan bidang linguistik yang kajiannya pada masa ini sudah merentas bidang dan zaman.

Dr. Azizul Ismail menyampaikan cenderamata kepada Pengerusi Persatuan Linguistik Malaysia, yang juga Pengerusi Bersama SLiK 2022.

Majlis penutupan SLiK 2022 turut dihadiri oleh Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa, DBP, Dr. Azizul Ismail dan Pengarah Bersama SLiK 2022, Dr. Mardian Shah Omar. Majlis perasmian SLiK 2022 pada 21 September 2022 telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP, Dr. Hazami Jahari, yang juga selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pelaksana SLiK 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.