Oleh Nurull Ain’am
24 September 2022, 15:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Permatang Pauh, Pulau Pinang – Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU)dengan kerjasama Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang telah menganjurkan program Bual Bicara Pelestarian Tulisan Jawi dalam Era Digital bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung pagi kelmarin di Dewan Kuliah Utama, Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang.

Menerusi program ini, Encik Nazri Othman, iaitu Munsyi Dewan (Jawi) bertindak sebagai moderator manakala tiga orang panel pembicara pula terdiri daripada Encik Abdul Karim Aziz (Munsyi Dewan (Jawi)), Encik Zulkifli Azit dan Puan Nor Hanani Aminah Mahmud. Mereka membicarakan topik yang menarik tentang sejarah perkembangan, pengkaedahan tulisan Jawi, penyebaran tulisan Jawi dalam era digital dan perkembangan teknologi maklumat.

Pengarah DBPWU, Encik Rahimi Arifin bersama-sama Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Seberang Perai, Ts. Dr. Zulhadi Zakaria, dan ahli panel.

Dalam program tersebut, Encik Abdul Karim Aziz menjelaskan tentang sejarah perkembangan tulisan Jawi dengan kedatangan Islam di Tanah Melayu dan peranan tulisan Jawi, perbezaan tulisan Jawi dahulu dan kini dan serta proses penyempurnaan tulisan Jawi.

Selain membicarakan tentang sejarah perkembangan tulisan Jawi dan peranannya, Encik Zulkifli Azit turut berkongsi tentang pengkaedahan Jawi dengan beberapa ejaan perkataan yang sering menjadi kekeliruan seperti perkataan “terowong”, iaitu ejaan Jawi sebetulnya ialah “تروووڠ” dan bukanlah “تروڠ” atau “ترووڠ”. Begitu juga perkataan “rempeyek” dengan ejaan Jawi yang betul, iaitu  “رمڤيييق” dan bukanlah “رمڤيت” atau “رمڤييک”. Pelbagai aktiviti penyebaran tulisan Jawi turut dijalankan secara interaktif menerusi aplikasi di internet, media massa  dan media sosial.

Penggunaan teknologi  maklumat ini turut digunakan dalam melestarikan tulisan Jawi dengan mendapatkan  ejaan  Jawi yang betul menerusi kamus yang terdapat dalam laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). Menurut Puan Nor Hanani Aminah Mahmud, terdapat kaedah merujuk ejaan yang tepat secara dalam talian menggunakan teknologi maklumat seperti penggunaan di internet dan aplikasi di telefon mudah alih selain penggunaan video tentang pembelajaran tulisan Jawi di media sosial.

Sehubungan dengan itu, tulisan Jawi harus dipelajari melalui penggunaan buku sebagai rujukan selain penggunaan teknologi maklumat yang mudah diakses pada hari ini yang memudahkan  kaedah menulis Jawi. Penggunaan tulisan Jawi yang meluas oleh masyarakat menunjukkan bahawa tulisan Jawi masih mengikut peredaran masa dan seiring dengan kecanggihan teknologi dalam era digital.

Program ini diadakan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dan melestarikan tulisan Jawi sebagai salah satu sistem tulisan bahasa Melayu yang perlu dipertahankan dan dipelihara sebagai warisan yang tidak luput ditelan zaman dan merupakan khazanah bangsa yang tidak harus dilupakan oleh generasi pada hari ini. Oleh hal yang demikian, program ini memberikan pendedahan dan perkongsian ilmu tentang tulisan Jawi kepada generasi muda khususnya peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah dan politeknik yang akan  mempraktikkan teknologi maklumat dalam menulis Jawi dengan betul.

Antara tetamu kehormat yang hadir termasuklah Pengarah DBPWU, Encik Rahimi Arifin dan Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Seberang Perai, Ts. Dr. Zulhadi Zakaria yang turut disiarkan secara dalam talian menerusi media sosial Politeknik Seberang Perai dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.