Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKata dalam bahasa Melayu terbahagi kepada empat golongan, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Pembahagian kata tersebut pada umumnya sangat jelas, namun ada kalanya timbul kekaburan disebabkan sesuatu kata yang asalnya tergolong dalam kategori tertentu dapat berfungsi juga sebagai kata dalam kategori lain.
Dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2015: 225 – 234), dikatakan bahawa kata adjektif pada umumnya termasuk dalam sembilan kategori. Hal tersebut sememangnya jelas. Namun demikian, dengan pertembungan dengan budaya lain dan kemajuan masyarakat, kini terdapat kata kerja yang dapat berfungsi seperti kata adjektif dalam konteks tertentu. Dalam hal tersebut, kata kerja tersebut sepatutnya dikategorikan mengikut fungsinya dalam ayat sebagai kata adjektif, bukan menurut bentuk asalnya sebagai kata kerja. Sila lihat contoh yang berikut:
1a. Dia sangat berilmu.
1b. Dia sangat bijak.
2a. Pengalaman itu sangat menakutkan.
2b. Pengalaman itu sangat pahit.
3a. Dia sangat ketakutan.
3b. Dia sangat takut.
Dalam ayat 1a, kata kerja tak transitif berilmu berfungsi seperti kata adjektif bijak dalam ayat 1b. Dalam ayat 2a, kata kerja transitif menakutkan berfungsi seperti kata adjektif pahit dalam ayat 2b. Malahan, objek dalam ayat 2b boleh digugurkan jika berkaitan dengan kata ganti nama diri orang pertama. Dalam ayat 3a, kata kerja pasif ketakutan berfungsi seperti kata adjektif takut dalam ayat 3b. Selain itu, semua kata kerja berilmu, menakutkan dan ketakutan itu boleh diiringi kata penguat, iaitu sama seperti kata adjektif. Oleh itu, kata-kata tersebut harus kita golongkan sebagai kata adjektif.
Walau bagaimanapun, tidak semua kata kerja yang dapat diiringi kata penguat berfungsi sebagai kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:
4a. Dia sangat memerlukan bantuan.
4b. Bantuan sangat diperlukan olehnya.
Dalam ayat 4a, kata memerlukan ialah kata kerja transitif dengan objek bantuan, meskipun kata itu dapat diiringi kata penguat sangat. Dalam ayat 4b, kata diperlukan ialah kata kerja pasif yang dikaitkan dengan objek bantuan dan pelaku -nya. Selain itu, dalam konteks ayat 4a dan 4b, kata memerlukan dan diperlukan tidak boleh diganti dengan kata adjektif secara paradigmatik.
Ada juga kata kerja yang dapat berfungsi seperti kata tugas. Sila lihat contoh yang berikut:
5a. Mereka berhubung menerusi Internet.
5b. Mereka berhubung melalui Internet.
5c. Mereka berhubung dengan Internet.
6a. Dia bercakap mengenai ekonomi.
6b. Dia bercakap tentang ekonomi.
6a. Jarum menerusi kain itu.
6b. Dia melalui jalan itu.
6c. Tembakannya mengenai sasaran.
Dalam kelompok ayat 5, kata kerja menerusi dan melalui berfungsi seperti kata sendi nama dengan. Dalam kelompok ayat 6, kata kerja mengenai berfungsi seperti kata sendi nama tentang. Oleh itu, dalam kelompok ayat 5 dan 6, kata menerusi, melalui dan mengenai berfungsi seperti kata sendi nama dan harus kita golongkan sebagai kata sendi nama. Walau bagaimanapun, dalam kelompok ayat 6, kata menerusi, melalui dan mengenai merupakan kata kerja transitif yang diikuti objek masing-masing.
Ada juga kata kerja yang dapat berfungsi sebagai kata pemeri. Sila lihat contoh yang berikut:
7a. Dia merupakan guru.
7b. Dia ialah guru.
7c. Pegawai polis itu merupakan dirinya sebagai tukang sapu.
Dalam ayat 7a, kata kerja merupakan berfungsi seperti kata pemeri ialah dalam ayat 7b, dan harus digolongkan sebagai kata pemeri. Dalam ayat 7c pula, kata merupakan ialah kata kerja transitif dengan objek dirinya.
Pengenalan golongan kata yang betul sangat penting untuk kita menentukan pola ayat dengan tepatnya. Sila lihat contoh yang berikut:
9a. Dia sangat berilmu. (FN + FA)
9b. Pengalaman itu sangat menakutkan. (FN + FA)
9c. Dia sangat ketakutan. (FN + FA)
Pola yang salah: FN + FK
10a. Hubungan mereka melalui surat. (FN + FS)
10b. Hubungan mereka menerusi surat. (FN + FS)
10c. Ceramahnya mengenai ekonomi. (FN + FS)
Pola yang salah: FN + FK
11. Dia merupakan guru. (FN + FN)
Pola yang salah: FN + FK
Kemungkinan sesuatu kata yang tergolong dalam pelbagai golongan kata bukan sesuatu yang luar biasa. Hal ini bergantung pada konteks penggunaan kata dalam ayat. Sila lihat contoh yang berikut:
12a. Sungai itu dalam.
12b. Dalam hal ini, dia tidak bersalah.
12c. Bukunya di dalam begnya.
13a. Dia cantik bagai bidadari.
13b. Dia tercengang bagai rusa masuk ke kampung.
14a. Hadiah ini untuk ibu.
14b. Untuk dia lulus memang susah.
14c. Dia belajar untuk lulus.
Dalam ayat 12a, kata dalam ialah kata adjektif, tetapi dalam ayat 12b, kata dalam ialah kata sendi nama, dan dalam ayat 12c, kata dalam ialah kata arah. Dalam ayat 13a, kata bagai ialah kata sendi nama, tetapi dalam ayat 13b, kata bagai ialah kata hubung keterangan perbandingan. Dalam ayat 14a, kata untuk ialah kata sendi nama, tetapi dalam ayat 14b, kata untuk ialah kata hubung komplemen, dan dalam ayat 14c, kata untuk ialah kata hubung keterangan tujuan.
Oleh sebab berlaku perkembangan secara berterusan dalam masyarakat dan bahasa Melayu, huraian tentang tatabahasa Melayu harus dikemaskinikan supaya dapat memperkasakan keupayaan bahasa Melayu, sesuai dengan perubahan sezaman.