Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSepang – YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob disambut dengan meriah sekembali beliau ke tanah air pada malam tadi selepas melaksanakan tugas-tugas rasmi di luar negara khususnya di Debat Umum bersempena dengan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di New York.
Berucap dalam bahasa Melayu di pentas antarabangsa sudah tentu merupakan peristiwa bersejarah yang amat bermakna buat seluruh Keluarga Malaysia dalam mencitrakan akal budi bangsa Malaysia menerusi bahasa kebangsaan. Perdana Menteri dengan penuh yakin menyatakan kepada dunia bahawa “Selagi kita bersatu padu dan teguh bersama dalam memikul beban ini, saya pasti kita akan berjaya”.
Teguh Bersama bukan sekadar slogan atau retorik semata-mata tetapi Perdana Menteri memberikan harapan yang tinggi kepada warga dunia bahawa kesepakatan menuju keamanan global akan dapat dicapai sekiranya 193 buah negara anggota dan dua buah negara pemerhati memahami dengan mendalam gagasan Malaysia ini. Slogan ini tidak hanya bermain di bibir Keluarga Malaysia tetapi menjadi pemacu keamanan global.
Ketegasan Malaysia disampaikan oleh beliau agar badan dunia itu dan seluruh negara anggota dapat memfokuskan isu keamanan global dan bagaimana keamanan Keluarga Dunia dapat diwujudkan agar negara yang dianggap berkuasa dari sudut politik dan ekonomi tidak menyalahgunakan kuasa veto dengan menekan negara yang tidak berdaya.
Penyampaian beliau dalam bahasa kebangsaan ini telah ditonton oleh berjuta rakyat Malaysia di dalam negara dan juga di luar negara serta dapat dihayati mesejnya dengan jelas oleh seluruh Keluarga Malaysia. Pada masa yang sama, seolah-olah memberikan gambaran kepada dunia bahawa rakyat Malaysia ialah duta keamanan dunia kerana beliau memberikan semangat kepada komuniti antarabangsa untuk merealisasikan semangat Keluarga Dunia ke arah mendepani cabaran global.
Dewan Bahasa dan Pustaka yang diketuai oleh Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (Pengerusi Lembaga Pengelola DBP) dan Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran (Ketua Pengarah DBP) dan 30 orang karyawan DBP turut hadir memberikan sokongan dan ucapan penghargaan serta tahniah kepada YAB Perdana Menteri atas jasanya yang amat besar dalam meletakkan bahasa Melayu ke tahap tertinggi.
Melihat karyawan DBP bersama-sama hadir memberikan laungan semangat “Bahasa Jiwa Bangsa”, YAB Perdana Menteri juga telah memberikan kata-kata semangat kepada karyawan DBP yang hadir agar meneruskan usaha memartabatkan bahasa Melayu.
Yang turut hadir meraikan sambutan kepulangan YAB Perdana Menteri pada malam tadi ialah Gabungan Penulis Nasional, Persatuan Penulis Nasional, Majlis Profesor Negara, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Persatuan Linguistik Malaysia, UMMAH Malaysia, GPMS, Institut Terjemahan Buku Negara, Persatuan Seni Khat Kebangsaan, Pertubuhan Gagasan Minda Merdeka, PEKOMIK, Majlis Belia Malaysia, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia, Persatuan Pengarah-Pengarah Filem Malaysia, Persatuan Kebajikan Penulis Selangor, Institut Kepimpinan Kamarazaman, Chartered Institute of Logistic and Transport Malaysia dan Majlis Perundingan Melayu.