6 Oktober 2022, 18:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya Menteri Kanan Pendidikan Malaysia, YB Datuk Dr. Radzi Jidin pada pagi tadi menyempurnakan Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan 2022 di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Program Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan 2022 merupakan program tahunan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Dalam ucapannya, YB Datuk Dr. Radzi Jidin menegaskan kepentingan seseorang individu dalam menguasai suatu bahasa. Ujar beliau, “Sesiapa yang menguasai sesuatu bahasa akan mempunyai kelebihan daripada individu yang tidak menguasai bahasa.”

YB Datuk Dr. Radzi Jidin menyarankan semua individu menguasai perkara asas dalam bahasa.

Beliau juga menjelaskan bahawa seseorang individu perlu menguasai perkara asas dalam bahasa. Hal ini demikian kerana beliau yakin dengan menguasai perkara asas, mesej yang ingin disampaikan kepada seseorang akan mudah difahami dengan baik. Jelas beliau:

Antara perkara asas untuk menguasai bahasa yang ditekankan dalam bahasa termasuklah nahu, penyusunan ayat, pemilihan perkataan, penyusunan hujah dan penyusunan bab dalam penulisan.

Menerusi ucapan beliau, Menteri Kanan Pendidikan turut menitiberatkan pihak yang terlibat secara langsung dalam membantu masyarakat dalam aspek penguasaan dan pengukuhan bahasa terutamanya para pendidik. Tambah beliau lagi, selain guru yang menjadi penyumbang dalam pengukuhan bahasa, wartawan dan penulis juga menjadi nadi utama pengembangan bahasa dalam masyarakat menerusi penulisan dalam akhbar dan buku. Bahan yang ditulis oleh mereka boleh dijadikan sumber rujukan oleh pelajar sekolah dan masyarakat. Oleh yang demikian, inisiatif yang efektif dalam usaha memartabatkan bahasa perlu terus dilaksanakan dalam usaha mengukuhkan bahasa kebangsaan. Jelas beliau, menerusi pengukuhan dan penguasaan bahasa dalam diri, seseorang individu itu berupaya untuk bersaing dalam dunia global dan meningkatkan daya saing mereka pada peringkat dunia.

YB Datuk Dr. Radzi turut menghargai usaha KPM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), serta Kumpulan UMW yang telah melaksanakan penulisan puisi peringkat kebangsaan buat pertama kalinya pada tahun ini yang bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar dengan lebih meluas dalam meningkatkan kemahiran berbahasa. Hal ini demikian kerana inisiatif ini sedikit banyak dapat membuka mata para pelajar supaya memahami makna yang tersirat dalam bait-bait puisi yang ingin disampaikan dengan lebih mendalam.

 

YB Datuk Dr. Radzi semasa menyempurnakan gimik pelancaran Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan 2022.

Acara yang penuh gilang-gemilang ini turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Dr. Ahmad Rafee Che Kassim (mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia), Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV), Puan Hajah Zanariah Haji Ahmad, tetamu undangan dari pelbagai agensi di bawah sektor pendidikan termasuklah para guru serta rakan media yang lain.

Majlis tersebut juga diserikan dengan pelbagai persembahan oleh para pelajar sekolah, penyampaian hadiah bagi Aktiviti Bahasa Kebangsaan Tahun 2022, tayangan multimedia, penyampaian Sijil Penghargaan bagi Kategori Sektor Pendidikan dan Kategori Teknikal dan Vokasional serta peragaan busana serikandi.

Selain itu, majlis tersebut dimeriahkan dengan pameran oleh agensi di bawah sektor pendidikan, iaitu DBP, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan BPLTV yang diwakili oleh Kolej Vokasional Alor Setar dan Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad. YB Datuk Dr. Radzi Jidin turut meluangkan masa menyantuni para pelajar, guru dan pihak yang terlibat dengan pameran di reruai pameran masing-masing.

 

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Ketua Pengarah DBP menyampaikan cenderamata kepada YB Datuk Dr. Radzi Jidin di gerai pameran DBP.

Sekitar ruang pameran DBP.
Sekitar reruai ITBM.

 

Menteri Kanan Pendidikan sedang mendengar penerangan daripada pihak MARA.
Menteri Kanan Pendidikan menyantuni pelajar Kolej Sultan Abdul Samad dengan melihat pelbagai juadah yang dihasilkan oleh para pelajar.

 

Pelajar Kolej Vokasional Alor Setar memberikan penerangan kepada Menteri Kanan Pendidikan tentang produk yang dihasilkan oleh mereka.

Menteri Kanan Pendidikan sedang mendengar penerangan daripada pihak IPGM.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.