Oleh Mardhiah Othman
13 Oktober 2022, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bertepatan dengan semangat Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), melalui Bahagian Perkamusan menganjurkan Temasya Bahasa Kuala Lumpur 2022 (TBKL 2022) peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada hari ini dengan jayanya. Sebanyak 20 buah sekolah di seluruh Kuala Lumpur turut serta untuk menghidupkan “temasya” yang bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bukit Maluri (SMKTBM) di sini.

Kejayaan TBKL 2022 ialah petanda bahawa kerjasama strategik antara DBP dengan sekolah hos, SMKTBM, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perpustakaan Negara Malaysia telah memberikan dampak positif bagi citra bahasa kebangsaan dalam kalangan warga pendidikan.

Para peserta Pertandingan Dengarlah Ceritaku bersama-sama guru pengiring, panel hakim dan penjaga masa.
Para peserta Pertandingan Pencak Aksara Kategori Sekolah Menengah sedang menunggu giliran untuk tampil mengeja perkataan bahasa Melayu dengan betul.
Seorang peserta sedang beraksi di pentas Arena Maluri ketika Pertandingan Baca Naskhah Klasik.
Perpustakaan Negara Malaysia turut mengambil bahagian dengan menyediakan reruai untuk kunjungan warga sekolah.
Sahibba Chopp antara reruai yang menjadi tumpuan para pelajar yang bertandang ke Sekolah Menengah Taman Bukit Maluri.

Tumpuan pengunjung temasya bukan sahaja terhadap aktiviti permainan bahasa di reruai, seperti Roda Kata, Dam Bahasa dan Sahibba Chopp, bahkan sebanyak empat pertandingan utama turut mencuri perhatian. Pertandingan tersebut ialah Pertandingan Pencak Aksara Kategori Sekolah Rendah, Pertandingan Pencak Aksara Kategori Sekolah Menengah, Pertandingan Baca Naskhah Melayu Klasik dan Pertandingan Dengarlah Ceritaku.

Daripada kesemua pertandingan ini, 24 orang pelajar yang hadir bersama-sama guru pengiring masing-masing telah membawa pulang hadiah wang tunai dan sijil penghargaan bagi tempat pertama, kedua, ketiga dan tiga hadiah sagu hati.

Barisan hakim, penyebut dan penjaga masa sedang mengendalikan Pertandingan Pencak Aksara Kategori Sekolah Menengah Pusingan Pertama.
Perasmian Penutupan Temasya Bahasa Kuala Lumpur 2022 disempurnakan oleh Yang Berusaha Dr. Rusmadi Baharudin, Ketua Bahagian Perkamusan DBP.

Kesemua pertandingan diadakan secara serentak, bermula pada pukul 9.00 pagi hingga pukul 12.30 tengah hari, iaitu sebelum bermulanya majlis penutupan TBKL 2022 yang disempurnakan oleh Yang Berusaha Dr. Rusmadi Baharudin, Ketua Bahagian Perkamusan DBP.

Dalam ucapan penutupannya, beliau menzahirkan harapan agar segala perjuangan dan usaha untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan serta melahirkan masyarakat berbudaya membaca beroleh impak sinergi yang berpanjangan. Selaku sekolah hos TBKL 2022, SMKTBM telah diberi penghargaan dan ucapan tahniah atas komitmen yang digalas bersempena dengan penganjuran ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.