Oleh Kho Thong Eng
17 Oktober 2022, 12:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata penentu atau penerang penentu ialah unsur penerang yang boleh hadir di hadapan atau di belakang kata nama untuk membentuk frasa nama. Kata penentu hadapan boleh mendahului inti dan penerang lain pada frasa nama. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Semua peserta hadir.

1b.  Semua peserta kem bina semangat hadir.

1c.  Beberapa orang peserta ponteng.

1d.  Beberapa cadangan peserta diberi perhatian.

1e.  Dua orang pegawai cuai.

Dalam kelompok ayat 1, semua penentu hadapan terdiri daripada kata bilangan yang disertai kata penjodoh bilangan atau sebaliknya. Bagi ayat 1a, kata bilangan tak tentu semua sebagai penentu hadapan mendahului kata nama peserta. Bagi ayat 1b, kata semua mendahului inti frasa nama peserta dan penerangnya kem bina semangat. Dalam ayat 1c, kata bilangan tak tentu beberapa dan penjodoh bilangan orang mendahului kata nama peserta. Bagi ayat 1d, kata bilangan tak tentu beberapa tanpa penjodoh bilangan mendahului kata nama abstrak cadangan. Dalam ayat 1e, kata bilangan tentu dua dengan penjodoh bilangan orang mendahului kata nama pegawai.

Penentu belakang pula terdiri daripada kata ganti nama tunjuk umum ini dan itu. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Buku ini tebal.

2b.  Pegawai baharu itu cuai.

Dalam ayat 2a, kata ganti nama tunjuk umum ini sebagai penentu belakang mengikuti kata nama buku. Dalam ayat 2b pula, kata ganti nama tunjuk umum itu sebagai penentu belakang mengikuti inti frasa nama nama pegawai dan penerangnya baharu.

Walaupun penentu hadapan berada di hadapan frasa nama, penentu itu masih dapat didahului oleh kata nama dengan atau tanpa penerang. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Jersi semua pemain berwarna kuning hijau.

3b.  Jersi baharu semua pemain berwarna kuning hijau.

Dalam ayat 3a, kata penentu hadapan semua yang berada di hadapan frasa nama semua pemain didahului oleh kata nama jersi. Dalam hal ini, inti frasa nama bertukar daripada kata nama pemain kepada kata nama jersi dan frasa nama semua pemain bertukar fungsi untuk menjadi frasa penerang. Dalam ayat 3b pula, kata penentu hadapan semua yang berada di hadapan frasa nama semua pemain didahului oleh kata nama jersi dan penerangnya baharu. Dalam hal ini, inti frasa nama bertukar daripada kata nama pemain kepada frasa nama jersi baharu dan frasa nama semua pemain berubah fungsi untuk menjadi frasa penerang.

Sebagai unsur pada kedudukan paling hujung sesuatu frasa, kata penentu belakang ini atau itu tidak boleh diikuti oleh kata hubung relatif yang dalam frasa yang sama. Sila lihat contoh yang berikut.

4a.  Pegawai yang cuai itu telah dikenakan tindakan disiplin.

4b.  *Pegawai itu yang cuai telah dikenakan tindakan disiplin.

Ayat 4a berpola Frasa Nama + Frasa Kerja. Frasa namanya ialah pegawai yang cuai itu dan frasa kerjanya ialah telah dikenakan tindakan disiplin. Ayat 4b pula cacat kerana penerang yang cuai menyusuli kata penentu belakang itu.

Walau bagaimanapun, jika rangkaian kata yang cuai merupakan frasa nama lain yang berfungsi sebagai predikat ayat, binaan ayat yang berkenaan adalah betul. Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  Pegawai itu yang cuai.

5b.  Pegawai itu pegawai yang cuai.

5c.  Pegawai itu ialah pegawai yang cuai.

5d.  Pegawai itulah yang cuai.

5e.  Yang cuai pegawai itu.

5f.   Pegawai yang cuai pegawai itu.

Ayat 5a betul kerana terdiri daripada pola Frasa Nama + Frasa Nama. Frasa nama subjeknya ialah pegawai itu, manakala frasa predikatnya ialah yang cuai. Sebenarnya, rangkaian kata yang cuai merupakan frasa nama yang telah digugurkan intinya pegawai (ayat 5b) dan kata pemeri ialah (ayat 5c). Ayat 5d merupakan ayat songsang dengan pendepanan frasa nama predikat pegawai itu yang disertai partikel penegas -lah. Ayat 5e ialah ayat susunan biasa. Ayat 5f ialah ayat susunan biasa tanpa pengguguran inti frasa nama pegawai pada rangkaian kata pegawai yang cuai.

Satu lagi mekanisme untuk meletakkan rangkaian kata yang + Kata adjektif selepas kata penentu belakang dalam ayat yang sama adalah melalui proses aposisi atau parentesis. Hal ini bererti rangkaian kata itu disisipkan secara berderetan dalam ayat sebagai maklumat tambahan dalam ayat majmuk. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  Pegawai itu, yang cuai, telah dikenakan tindakan disiplin.

6b.  Pegawai itu, (pegawai) yang cuai, telah dikenakan tindakan disiplin.

6c.  Pegawai itu, (iaitu pegawai) yang cuai, telah dikenakan tindakan disiplin.

6d.  Pegawai itu – yang cuai – telah dikenakan tindakan disiplin.

6e.  Pegawai itu (yang cuai) telah dikenakan tindakan disiplin.

Dalam kelompok ayat 6, rangkaian kata yang cuai diselitkan sebagai maklumat lanjut kepada subjek ayat pegawai itu. Hal ini dikatakan demikian kerana rangkaian kata yang cuai merupakan frasa nama pegawai yang cuai yang sudah digugurkan intinya pegawai (6b). Dalam hal ini, kata perangkai iaitu merupakan unsur opsyenal yang boleh juga digugurkan (6c). Penyisipan maklumat tambahan tersebut berlaku dengan diapitkan oleh dua tanda koma (ayat 6a), dua tanda pisah (ayat 6d) dan tanda kurungan (ayat 6e). Selain itu, ayat kelompok 6 merupakan ayat majmuk yang terbina daripada dua buah ayat tunggal, seperti yang berikut:

7a.  Pegawai itu telah dikenakan tindakan disiplin.

7b.  (Pegawai) yang cuai telah dikenakan tindakan disiplin.

Oleh hal yang demikian, dalam kelompok ayat 6, unsur penghubung atau perangkai antara dua buah ayat tunggal itu bukan kata hubung, tetapi tanda baca dua tanda koma, dua tanda pisah atau tanda kurungan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.