Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan Sekarang
Ipoh – Program Simposium Muzik Ipoh 2022 merupakan program simposium muzik tahunan sejak empat tahun lalu anjuran Kampung Karyawan Amanjaya atau lebih dikenali sebagai People of Remarkable Talents (PORT). Program kali keempat ini telah diadakan pada 21-23 Oktober 2022 dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dan pelbagai agensi dan badan lain, termasuklah Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Selain simposium sebagai aktiviti utama, program ini turut diisi dengan forum, bengkel, pameran dan konsert khas yang dijayakan oleh para seniman ternama.
Program Simposium Muzik Ipoh 2022 menampilkan 23 orang pembentang yang terdiri daripada ahli akademik, pengkaji budaya dan penggiat seni. Program tersebut disempurnakan perasmiannya oleh YB Dato’ Haji Zainol Fadzi Paharudin, Ahli Lembaga Pengarah PORT dan ucaptama oleh Dato’ Dr. Johari Sallleh, tokoh seniman bidang muzik yang tidak asing lagi di negara ini. Program ini turut dihadiri oleh Puan Nur Hanim Dato’ Khairuddin, Pengurus Besar PORT dan Encik Rahimi Arifin, Pengarah DBPWU, serta ahli akademik dan penggiat industri muzik tanah air.
Pada hari pertama program, berlangsungnya Bengkel Penulisan Lirik Lagu, Bengkel Gitar Elektrik, Bengkel Dram, sesi perkongsian “Dari Analog ke Digital (Pembikinan Kulit Album)”, forum “Pengarkib Muzik Bebas dan Sejarah Muzik Alternatif”. Sementara itu, pada hari kedua pula berlangsungnya Simposium Sesi 1: Identiti Lokal. Manakala Simposium Sesi 2 pula membincangkan isu Kreativiti dan Eksplorasi dan Simposium Sesi 3 membicarakan isu Legasi dan Impak.
“Kugiran memiliki ciri gaya asas yang melibatkan penggunaan lirik lagu yang ringkas dan mudah. Muzik kugiran turut memperlihatkan corak irama, pukulan dram dan cara permainan gitar bass yang ringkas,” ujar Dr. Shafa’atussara, Pensyarah Jabatan Kesenian, Universiti Malaya. Beliau juga menyentuh secara ringkas tentang latar belakang muzik Pop Yeh Yeh yang menjadi fenomena di Malaysia pada tahun 1960-an.
Art Fazil dalam pembentangannya pula mengatakan bahawa Pop Yeh Yeh merupakan Pop Muzik Melayu yang terkenal dari tahun 1965 hingga tahun 1971. Menurut beliau, sewaktu industri perfileman semakin pudar, zaman keemasan Pop Melayu telah mengambil alih dengan berakhirnya era penguasaan P. Ramlee. Sambungnya lagi, letupan Pop berlaku sewaktu berakhirnya penggabungan Singapura–Malaysia pada tahun 1965. Terdapat beberapa teori tentang asal usul Pop Yeh Yeh, antaranya termasuklah Cliff Richard dan The Shadows yang telah memukau penonton di Stadium Happy World pada tahun 1961.
Selain itu, pameran Pop 1960-an turut diadakan yang bermula 10.00 pagi hingga 6.00 petang yang mempamerkan motosikal Vespa, motor klasik dan muzik tahun 1960-an. Pada hari terakhir pula, berlangsung juga Simposium Sesi 4: Fesyen dan Gaya Hidup, Simposium Sesi 5: Filem dan Forum “Pop 1960-an: Emulasi dan Revolusi” dengan jayanya.
Kemuncak bagi Simposium Muzik Ipoh 2022: Pop 60-an ialah Konsert Malam Pesta 60-an di Auditorium RTM, Perak pada 22 Oktober 2022, pukul 9.00 malam yang turut menampilkan artis-artis dari Singapura dan Indonesia, selain artis tahun 1960-an dari Malaysia sendiri. Yang turut mencemar duli berangkat ke konsert yang bersejarah ini ialah DYAM Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain ibni Almarhum Sultan Idris Iskandar al-Mutawakkil Alallahi Shah.
Menurut Puan Nur Hanim Dato’ Khairuddin pula, muzik, budaya, fesyen dan persekitaran tahun 1960-an perlu diambil tahu oleh generasi pada hari ini kerana bukan sekadar keseronokan semata-mata, malah lebih daripada itu. Oleh sebab itu, tujuan simposium ini diadakan adalah untuk membincangkan tentang pengaruh, kesan dan pelbagai sudut lain untuk dijadikan rujukan generasi akan datang kerana idea yang dibincangkan dari pelbagai perspektif dan dimensi para ilmuwan.
Tambahnya lagi, simposium merupakan platform yang memberikan peluang kepada pelbagai peringkat generasi daripada yang paling senior, pertengahan dan golongan muda untuk duduk bersama dan berbincang. Kertas-kertas kerja yang dibincangkan ini pula akan dibukukan supaya menjadi bahan rujukan para pengkaji dan pelbagai pihak yang berminat.