Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangGelugor, Pulau Pinang –“Naratifnya sama tetapi cara penyampaian dan pementasannya mungkin sedikit berbeza,” demikian antara ungkapan Encik Halimi Mohamed Noh, dalam program Adaptasi Teks ke Pentas bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Pulau Pinang, yang berlangsung di Paseban Agung, Pusat Pengajian Seni (PPS), Universiti Sains Malaysia (USM).
Encik Halimi Mohamed Noh yang merupakan mantan pensyarah USM dan pengarah teater menyatakan bahawa adaptasi sebagai satu proses mengolah semula tanpa mengubah isi-isi penting. Tambahnya lagi, setiap pengadaptasian itu berlaku atas sebab tertentu yang perlu disesuaikan untuk media baharu. Oleh sebab itu, berlakunya adaptasi teks ke pentas kerana tidak hanya terikat dalam bentuk teks, malah boleh dipentaskan dalam bentuk yang pelbagai.
Walau bagaimanapun, sebagai seorang pengarah dan penulis skrip, perlulah ada sifat “kesetiaan” terhadap karya asal bagi menghormati penulis asal dengan tidak mengubahnya secara keseluruhan. Pengarah berhak mengolah teks asal tetapi perlu berbincang dengan penulis asal terlebih dahulu sebagai tanda penghormatan.
Menerusi program tersebut, peserta diberi pendedahan tentang maksud adaptasi, perbezaan adaptasi dan olahan semula, proses pengadaptasian karya sastera kepada pementasan dan tatacara pengadaptasian naskhah.
Dr. Andika Aziz Hussin, selaku Pengerusi Rancangan Bahagian Drama dan Teater, PPS, USM, yang bertindak sebagai moderator pula menjelaskan bahawa adaptasi sebagai proses pemindahan teks sama ada berbentuk sajak, cerpen, skrip, drama atau novel yang diadaptasikan untuk dipentaskan. Program Adaptasi ke Pentas ini turut membicarakan adaptasi novel Musafir, karya Hasan Ali yang bakal dipentaskan bersempena dengan Pesta Teater USM.
Sementara itu, Encik Mohd Zulkamal Ismail atau nama penanya, Joe K.A.S turut menyentuh isu berkenaan hak cipta dan tatacara mengadaptasikan teks ke pentas. Menurut beliau, perkara pertama yang perlu diberi perhatian sebelum mengadaptasikan teks ialah ilmu yang berkaitan dengan teater.
Orang yang mempunyai ilmu tentang teater akan melihat dari pelbagai sudut sama ada boleh dan tidak boleh dilakukan. Hal ini demikian kerana terdapat pelbagai kriteria yang perlu diketahui sebelum mengadaptasikan teks.
Menurut Puan Fatimah Abdul Manaf, iaitu penulis skrip dan novelis pula mengatakan bahawa novel dan drama merupakan dua perkara yang berbeza. Bagi beliau, novel bercerita dari sudut pandangan yang terhad termasuklah dialog. Novel berbeza daripada drama yang ruangnya lebih besar.
Karya picisan juga boleh dipentaskan sekiranya kandungan yang terdapat di dalamnya mempunyai pemikiran yang baik dan idea tersebut bernas. Dalam hal ini, karya picisan sebegini boleh dijadikan sebagai dokumentasi budaya kini yang memuatkan budaya dan pergolakan masyarakat pada masa ini.
Adaptasi Teks ke Pentas yang dapat mendekatkan masyarakat kepada karya sastera tanah air melalui teater merupakan program jalinan kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dan PPS,USM ini turut dihadiri oleh Encik Rahimi Arifin, Pengarah DBPWU. Para peserta program pula adalah dari pelbagai agensi dan institusi, penggiat seni dan teater, peminat sastera, para pensyarah, pelajar institusi pendidikan tinggi dan pelajar sekolah menengah.