Oleh Kho Thong Eng
7 November 2022, 16:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata bilangan merupakan kata tugas yang menjadi penerang atau penentu hadapan frasa nama, iaitu kehadirannya adalah di hadapan kata nama. Kata bilangan terbahagi kepada enam jenis, dengan maksud yang berbeza-beza, seperti yang berikut:

i. Kata bilangan kardinal yang menunjukkan bilangan yang tentu. Contohnya ialah kata sifar, satu, sepuluh, sejuta, bilion dan trilion.

ii. Kata bilangan yang menunjukkan bilangan tak tentu. Contohnya ialah kata semua, segala, sekalian, seluruh, para, kebanyakan, banyak, sedikit, ramai, beberapa, setengah-setengah atau sesetengah dan sebilangan.

iii. Kata bilangan yang menunjukkan makna himpunan. Kata bilangan ini ditandai oleh awalan ber-, ke- dan akhiran -an. Contohnya ialah kata beratus-ratus, ketiga-tiga dan ribuan.

iv. Kata bilangan yang menunjukkan makna pisahan. Contohnya ialah kata tiap-tiap, setiap dan masing-masing.

v. Kata bilangan yang membawa maksud pecahan. Contohnya ialah kata sepertiga, satu pertiga, setengah (seperdua), dan suku (seperempat).

vi. Kata bilangan ordinal yang menunjukkan urutan bilangan. Kata bilangan ini biasanya ditandai oleh awalan ke-. Contohnya ialah kata pertama, kedua, kesepuluh dan keseribu.

 

Selain enam subgolongan kata bilangan di atas, terdapat juga mekanisme lain yang menggambarkan bilangan atau angka. Dalam hal ini, kata bilangan biasanya menjelma dalam bentuk awalan kepada kata dasar, dan menandakan nilai angka tertentu.

Bagi bilangan yang bernilai kurang daripada satu, terdapat kata seperti desimeter (0.1 meter), sentimeter (0.01 meter) dan milimeter (0.001 meter). Bagi bilangan satu hingga sepuluh, terdapat bentuk-bentuk seperti yang berikut:

i. Satu: contohnya ialah awalan eka- pada kata ekabahasa, awalan mono- pada kata monolog, kata esa pada Maha Esa, dan kata tunggal pada anak tunggal.

ii. Dua: contohnya ialah awalan dwi- pada kata dwibahasa, awalan di- pada kata digraf, awalan bi- pada kata binomial, bilangan dua pada kata dualisme dan kata seperti duet dan dupleks.

iii. Tiga: contohnya ialah awalan tri- dalam kata triatom, atau kata seperti trigonometri, triatlon dan triftong.

iv. Empat: contohnya ialah kata kuadrat.

v. Lima: contohnya ialah awalan penta- pada kata pentaklorida, dan awalan panca- pada kata seperti pancaindera, pancasila dan pancawarsa.

vi. Enam: contohnya ialah kata heksagon.

vii. Tujuh: contohnya ialah kata heptagon, heptatlon dan heptahedron.

viii. Lapan: contohnya ialah kata oktagon, oktet, dan oktaf.

ix. Sembilan: contohnya ialah kata septet.

x. Sepuluh: contohnya ialah kata dasawarsa, dekad dan dekameter (10 meter).

 

Bilangan yang lebih daripada sepuluh juga ditandai dengan awalan atau kata tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:

i. Seratus: contohnya ialah kata kurun, abad dan hektometer (100 meter).

ii. Seribu: contohnya ialah kata milenium, alaf dan kilometer (1000 meter).

iii. Sepuluh ribu: contohnya ialah kata laksa dalam sastera lama dan kata hektar (10 000 meter persegi). Dalam hal ini, kata berlaksa-laksa bererti “berpuluh-puluh ribu”.

iv. Seratus ribu: contohnya ialah kata keti dalam sastera lama. Dalam hal ini, kata berketi-keti bererti “beratus-ratus ribu”.

v. Juta: contohnya ialah awalan mega- pada kata seperti megawatt dan megatan, dan kata jutawan.

vi. Bilion: contohnya ialah kata bilionair.

vii. giga- (109): contohnya ialah kata gigabait, gigahertz dan gigameter.

xi. tera- (240): contohnya ialah kata terabait.

 

Ada juga kata yang menggambarkan bilangan tak tentu (lebih daripada satu) dengan awalan tertentu. Contohnya ialah imbuhan poli- pada kata seperti poligon, polisemi dan poliglot. Contoh lain ialah awalan multi- pada kata multisel dan multinukleus.

Ada juga variasi kata bagi kata bilangan tertentu, contohnya ialah kata lapan mungkin ditulis sebagai delapan, dulapan dan dualapan dalam sastera lama. Ada kata bilangan yang mendukung dua makna. Contohnya ialah kata separuh yang mungkin bererti “setengah” (kata bilangan pecahan) atau “hampir 50 peratus” (kata bilangan tak tentu). Ada juga kata bilangan yang bersempang. Contohnya ialah kata ke-20 dan 20-an. Selain itu, dalam sastera lama, frasa tiada terpermanai bererti “banyak sekali”.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.