7 November 2022, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Bingkisan Pak Asraf: Pejuang Bahasa dalam Kenangan yang berlangsung di Sanggar Tun Sri Lanang, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada petang tadi turut dihadiri oleh beberapa orang ahli keluarga dan kenalan terdekat Allahyarham Pak Asraf. Antaranya termasuklah anak perempuan Pak Asraf, iaitu Profesor Dr. Ratnawati Mohd. Asraf yang turut berkongsi pandangan dan pengalamannya. Beliau berkata,

Allahyarham berpendirian bahawa semua negara, khasnya negara berbilang kaum mampu mencapai perpaduan melalui satu bahasa kebangsaan yang mempunyai peradaban dan kebudayaan yang tersendiri.

Prof. Dr. Ratnawati Mohd. Asraf mengakui bahawa bapanya sangat mementingkan bahasa Melayu di samping menguasai bahasa Inggeris.

Menurut Prof. Dr. Ratnawati, Pak Asraf seorang yang sentiasa meletakkan bahasa Melayu pada aras yang tinggi tetapi tidak mengetepikan bahasa lain seperti bahasa Inggeris. Semakin banyak bahasa yang dikuasai oleh seseorang itu semakin banyak ilmu yang akan diperolehnya. Dalam hal ini, Pak Asraf juga menguasai bahasa Inggeris dengan baiknya sehingga dipuji dan diminta untuk mengajar guru dan rakan sekerjanya di Universiti Oxford.

Walaupun Pak Asraf dianggap sebagai seorang pejuang bahasa Melayu, tetapi beliau sebenarnya amat mahir dan tidak menganggap bahawa bahasa asing itu tidak penting.

Beliau turut menceritakan budi pekerti yang ada di dalam diri Pak Asraf, iaitu seorang yang rendah diri, jujur, teliti dan mempunyai etika kerja yang tinggi. Di samping itu, Pak Asraf juga seorang suami dan ayah yang baik serta berjaya mendidik anak-anaknya menjadi manusia yang berperibadi mulia.

Sementara itu, Prof. Emeritus Dustin Cowell turut berkongsi pandangannya tentang Pak Asraf. Menurut beliau, Pak Asraf seorang yang rendah hati dan selalu memberikannya semangat untuk meminati dan bertutur dalam bahasa Melayu.

Prof. Emeritus Dustin Cowell mempelajari bahasa Melayu melalui Pak Asraf.

Beliau yang juga Profesor di University of Wisconsin-Maddison banyak mempelajari bahasa Melayu melalui Pak Asraf. Beliau turut mengakui telah mendapat pengalaman pertamanya mempelajari bahasa Melayu yang teratur daripada Pak Asraf. Beliau mendapat ilmu tentang bahasa Melayu ketika Pak Asraf diundang untuk memberikan Kursus Bahasa Melayu. Beliau juga dapat mempelajari ayat pasif yang dianggap begitu sukar ketika ingin menguasai bahasa Melayu daripada Pak Asraf.

Begitu juga dengan seorang daripada sahabat karib Pak Asraf, iaitu Encik Suhaimi Khalid yang turut berkongsi cerita sepanjang mengenali Pak Asraf di syarikat penerbitan Sasbadi. Beliau mengakui bahawa Pak Asraf begitu teliti perihal hukum tatabahasa dan tanda baca terutama ketika proses penghasilan buku teks. Penelitian Pak Asraf dalam bekerja dan mengajar turut membantu beliau sebagai seorang editor dan ketua editor yang berjaya.

Encik Suhaimi Khalid mengagumi Pak Asraf sebagai editor dan ketua editor yang hebat.

Memang menjadi rezeki saya untuk bertemu dengan Pak Asraf dan akhirnya saya berjaya menjadi editor dan ketua editor juga.

Encik Suhaimi turut berkongsi ilmu tentang penggunaan partikel “lah” yang digunakan oleh Pak Asraf ketika bekerja sebagai editor, iaitu “tulislah”, “dengarlah” dan “bacalah”, yang diilhamkan daripada al-Quran, iaitu melalui surah al-Alaq. Katanya, Allah menggunakan perkataan “bacalah” dan bukannya “baca” kepada hamba-Nya.

Walaupun kedua-dua perkataan ini kelihatan membawa makna yang sama tetapi sebenarnya berbeza dari aspek suruhan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.