10 November 2022, 18:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Program Pemerkasaan Forum Remaja telah dilaksanakan dengan jayanya di Bilik Wacana, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, iaitu yang dianjurkan oleh Unit Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP Cawangan Sarawak dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuching. Pembimbing program pula terdiri daripada para pegawai dari DBP Cawangan Sarawak.

Program yang bersifat bimbingan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para guru pembimbing berkaitan dengan konsep dan elemen penilaian Forum Remaja dan berjaya menghimpunkan para guru dari sekolah-sekolah menengah di Kuching.

Program ini merupakan rentetan daripada pelaksanaan Pertandingan Forum Remaja Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang telah menginjak usia 32 tahun penganjurannya sebagai usaha untuk meningkatkan mutu pasukan forum remaja agar Sarawak dapat melahirkan pasukan yang lebih mantap di pertandingan peringkat kebangsaan.

Dalam program tersebut, para peserta diberi bimbingan dan perkongsian berkaitan dengan tajuk Pengenalan Forum, Bahasa, Penyampaian dan Pengendalian Forum. Sesi bimbingan pula dimulakan oleh Encik Muhammad Haziq Zakaria, Perancang Bahasa di Unit Pembinaan Bakat dan Kepakaran yang memberikan pengenalan tentang Forum Remaja, kaedah memilih isi utama serta isi sampingan sebelum dihuraikan dalam hujahan oleh ahli panel.

Selepasa itu, program diteruskan lagi dengan penerangan yang berkaitan dengan aspek bahasa yang diambil kira dalam pemarkahan Forum Remaja anjuran DBP. Aspek yang dibincangkan itu merangkumi sebutan, tatabahasa, diksi dan tautan idea dan telah disampaikan oleh Puan Askhairunisa Alwi, Perancang Bahasa dari Unit Promosi dan Pengiktirafan.

Sesi yang terakhir merupakan sesi perkongsian tentang pengendalian forum oleh Puan Intan Nur-Izzati Shabri, Penolong Perancang Bahasa dari Unit Pembinaan Bakat dan Kepakaran. Yang turut disentuh dalam penerangannya ialah aspek nada dan intonasi semasa berforum serta gaya penyampaian pengerusi sesi dan ahli panel yang akan dinilai oleh para hakim.

Semasa program berlangsung, para guru memberikan respons yang sangat baik dan memberikan beberapa cadangan bagi meningkatkan mutu ahli pasukan forum dari Sarawak. Rakaman video Forum Remaja 2022 turut ditayangkan kepada para guru untuk diulas dari sudut kelebihan dan kekurangan yang dapat dikenal pasti daripada pasukan tersebut.

Tanpa meminggirkan bahagian lain di Sarawak, Program Pemerkasaan Forum Remaja sebelum ini telah berjaya dilaksanakan dan mendapat sambutan yang menggalakkan di Bahagian Miri dan Limbang. Program yang serupa juga pernah dijalankan dan melibatkan para guru pembimbing Forum Remaja di sekolah-sekolah menengah sekitar Bintulu.

Program pada hari ini diakhiri dengan sesi bergambar dan penyampaian sijil oleh Timbalan Pengarah Unit Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP Cawangan Sarawak, Encik Ja’afar Haji Hamdan. Beliau juga menyatakan harapannya agar semua guru yang menghadiri program pada hari ini dapat melatih pelajar dengan lebih baik bagi menyertai Pertandingan Forum Remaja Peringkat Negeri Sarawak pada tahun hadapan.

Peserta terdiri daripada para guru dari sekolah-sekolah menengah di Kuching dan memberikan respons yang baik terhadap program ini.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.