12 November 2022, 19:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Pada hari ini berlangsungnya Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Deklamasi Puisi dan Lagu Puisi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan. Sayembara yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sarawak dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2021/2022 ini telah berlangsung sejak hujung Disember 2021 hingga September 2022.

Program sayembara tajaan geran daripada Kementerian Belia dan Sukan ini telah dilaksanakan dengan jayanya melalui kolaborasi antara pihak UiTM Cawangan Sarawak dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dan Perpustakaan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Peserta sedang membuat persembahan.

Tujuan utama penganjuran Sayembara Deklamasi Puisi dan Lagu Puisi adalah untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Selain itu, penganjuran program ini berupaya mencungkil bakat dan menyemai minat para mahasiswa dan pelajar sekolah melalui apresiasi sastera. Secara tidak langsung, program tersebut dapat membentuk minda kreatif, praktikal dan produktif dalam kalangan golongan muda pada zaman ini.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Mohammad Isa Mohammadin menyatakan rasa bangganya terhadap penglibatan generasi muda yang mempunyai bakat luar biasa dalam kegiatan apresiasi seni, dalam ucapannya yang telah disampaikan oleh Puan Nurhayati Umar, Penolong Pendaftar Kanan Hal Ehwal Pelajar, UiTM Cawangan Sarawak yang mewakili beliau pada hari ini. Beliau berpesan,

Seiringkan bakat seni dengan pencapaian anda dalam pelajaran.

Program Sayembara Deklamasi Puisi dan Lagu Puisi telah dilaksanakan secara dalam talian dengan mengambil kira situasi era pascapandemik COVID-19, sekali gus memberikan peluang kepada para peserta untuk menggunakan daya usaha kreatif dalam menghasilkan persembahan yang terbaik tanpa bersemuka. Penyertaan sayembara terbahagi kepada dua peringkat, iaitu peringkat Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan peringkat sekolah. Peringkat IPTA melibatkan penyertaan kakitangan dan mahasiswa daripada 14 buah kampus cawangan UiTM di seluruh Malaysia manakala peringkat sekolah pula mempertandingkan peserta daripada 30 buah sekolah menengah dan sekolah rendah di Zon Kuching, Sarawak.

Peserta dari Sekolah Seni Malaysia Sarawak telah mendahului sekolah lain dengan memenangi dua hadiah, iaitu Johan Peringkat Sekolah Menengah bagi Sayembara Deklamasi Puisi dan Pertandingan Lagu Puisi manakala peserta dari Sekolah Kebangsaan Bandar Samariang telah merangkul Johan Sayembara Deklamasi Puisi Peringkat Sekolah Rendah. Sabarudin Ahmad dari Kampus UiTM Cawangan Sarawak pula muncul sebagai Johan Pertandingan Lagu Puisi Kategori Terbuka.

Peserta sedang mendeklamasikan puisi.

Bagi Sayembara Lagu Puisi Peringkat UiTM Se-Malaysia pula, Khairul Anuar Ab. Hamid dari Kampus UiTM Cawangan Kelantan dan Batricia Supang Kirew dari Kampus UiTM Cawangan Sarawak, masing-masing muncul sebagai Johan Kategori Kakitangan UiTM dan Kategori Mahasiswa.

Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Deklamasi Puisi dan Lagu Puisi UiTM Cawangan Sarawak ini turut diserikan dengan persembahan petikan gitar secara langsung oleh Awangku Aiman Farhan Awang Juffry Fahamy, mahasiswa UiTM Cawangan Sarawak. Para hadirin turut disajikan dengan tayangan montaj Sayembara Deklamasi Puisi dan Lagu Puisi serta persembahan oleh wakil staf dan pelajar UiTM Cawangan Sarawak.

Majlis ini diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata oleh pihak UiTM Cawangan Sarawak kepada pihak DBKU dan DBP Cawangan Sarawak. Pihak UiTM turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada DBP Cawangan Sarawak atas komitmen dan sumbangan kepakaran dalam menjayakan sayembara tersebut serta berharap agar sinergi yang baik ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.