Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Temasya Bahasa 2022 bersempena dengan program Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan yang dilaksanakan oleh Bahagian Perkamusan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menutup tirai penganjurannya pada hari ini dengan meriah sekali. Dianggarkan lebih daripada 400 orang pengunjung yang kelihatan begitu seronok dan bersemangat mengunjungi aneka reruai yang bertemakan celik bahasa, di samping meninjau pelbagai pertandingan yang berlangsung secara serentak di Kompleks Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (2).
Majlis penutupan program Temasya Bahasa Putrajaya 2022 ini disempurnakan oleh YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP. Dalam ucapannya itu, beliau menyuarakan kelegaan dan keterujaannya melihat generasi Z dan generasi alfa pada kali ini menggunakan kesempatan pada hari minggu di luar rumah dengan memanfaatkan aktiviti yang berkonsepkan pendidikan kebahasaan di celah kemajuan informasi dan keasyikan aktiviti media sosial.
Antara pertandingan yang diadakan secara serentak termasuklah Pertandingan Pencak Aksara Kategori Sekolah Rendah, Pencak Aksara Kategori Sekolah Menengah, Pertandingan Baca Naskhah Klasik Kategori Sekolah Menengah, Pertandingan Dengarlah Ceritaku Kategori Sekolah Rendah dan Pertandingan Mewarna Prasekolah.
Terdahulu, YBrs. Puan Hajah Farizah Haji Ahmad, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya telah sudi merasmikan program Temasya Bahasa Putrajaya 2022, yang disusuli dengan acara senamrobik yang menghangatkan lagi suasana pagi yang disertai oleh hampir 100 orang pelajar sekolah hos.
Banyak peserta cilik menampilkan kehandalan mengeja dalam bahasa Melayu, mempersembahkan cerita dan mewarna, serta tidak kurang juga anak-anak remaja yang menonjolkan bakat membaca naskhah Melayu klasik yang bertulisan Jawi. Sebelum penutupan temasya pada sebelah tengah hari, pusingan akhir Pertandingan Pencak Aksara Sekolah Menengah telah menarik tumpuan orang ramai yang menyaksikan persaingan enam peserta di pentas utama. Para pemenang pertandingan ini diumumkan pada akhir acara penutupan temasya.
Sekolah hos yang menjadi tempat berlangsungnya acara ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (2), yang bergabung tenaga dengan Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (3). Tarikan aktiviti dan permainan bahasa di reruai yang menjadi tumpuan ialah Roda Kata, Dam Bahasa, Celik Jawi, Sahibba Chopp dan jualan produk DBP oleh Ujana Buku.