14 November 2022, 17:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sibu – Program Pemerkasaan Forum Remaja Bahagian Sibu telah berlangsung pada hari ini yang bermula pada pukul 8.00 pagi hingga pukul 1.30 tengah hari di Hotel Premier, Sibu, Sarawak. Program ini merupakan program bimbingan siri keempat yang dilaksanakan oleh Unit Promosi dan Pengiktirafan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak selepas berjaya dilaksanakan di Bahagian Miri (Bintulu dan Miri), Bahagian Limbang dan Bahagian Kuching.

Program ini merupakan anjuran DBP Cawangan Sarawak dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah Sibu. Sebanyak 24 orang guru yang merupakan guru pembimbing pasukan Forum Remaja dan juga guru baharu yang berminat menjadi guru pembimbing pada masa akan datang terlibat dalam program ini yang berlangsung selama setengah hari.

Fokus program ini adalah berkaitan dengan elemen penting dalam penghakiman Forum Remaja Peringkat Kebangsaan, iaitu konsep forum, aspek bahasa, sebutan baku dan juga pengendalian forum. Sesi bimbingan ini pula telah disampaikan oleh pegawai dari DBP Cawangan Sarawak, iaitu Encik Ja’afar Haji Hamdan, Puan Stephanie Lenya Chaong, Puan Askhairunisa Alwi dan Puan Intan Nur-Izzati Shabri.

Puan Askhairunisa Alwi memberikan bimbingan berkaitan dengan sebutan baku bahasa Melayu.

Melalui pelaksanaan program ini, DBP Cawangan Sarawak telah mendapatkan beberapa input daripada para peserta bagi menambah baik kaedah pelaksanaan program. Hasilnya, ada peserta yang mencadangkan agar program bimbingan ini dapat dilaksanakan dalam tempoh masa yang lebih panjang dengan memasukkan sesi praktikal. Para peserta turut mencadangkan supaya diadakan sesi pemerahan otak dan berkongsi tip penyediaan isi forum yang mantap yang dapat memancing audiens dan panel hakim.

Urus setia juga telah menerima respons yang positif dan menggalakkan daripada para peserta. Pelaksanaan program ini disambut baik, bahkan mendapat cadangan agar turut diperluas dengan penyertaan guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Program Pemerkasaan Forum Remaja ini merupakan program khas dalam rangka mempertingkatkan mutu pasukan Forum Remaja di negeri Sarawak dengan mengambil kira komen dan laporan para hakim terhadap pasukan Forum Remaja yang mewakili Sarawak di peringkat kebangsaan.

Program ini diharapkan dapat membantu guru pembimbing memperbaik mutu persembahan pasukan yang bukan sahaja dalam menyampaikan hujah, bahkan merangkumi kebolehan mengungkapkan buah fikiran dalam bahasa Melayu baku dengan baik dan berkesan di pentas forum.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.