Oleh Firdaus Mul
16 November 2022, 11:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selain menjadi alat komunikasi, bahasa juga merupakan teras kelangsungan demokrasi. Bahasa juga menyatukan pemimpin dan rakyat. Sehubungan dengan itu, menjelang hari pembuangan undi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Rancangan Lidah Rakyat: Canai Bahasa dan Sastera memfokuskan komunikasi dan pilihan raya.

Panel undangan pertama, iaitu Dr. G. Manimaran Govindasamy merupakan penganalisis pilihan raya, sementara panel yang kedua ialah Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah S. Shikh, iaitu Pensyarah Kanan di Fakulti Pendidikan, Kemanusiaan dan Sastera Kolej Universiti Poly-Tech MARA. Sesi pada kali ini dikendalikan sepenuhnya oleh Encik Abdul Ghani Abu.

Menurut Dr. G. Manimaran Govindasamy, kehangatan PRU ketika ini menyebabkan berlakunya satu keadaan yang “serius” sehingga satu komponen terpenting, yakni bahasa kelihatan semakin dilupakan sedangkan bahasa merupakan elemen terpenting yang perlu dititikberatkan. Beliau menyatakan bahawa bahasa itu menentukan kejayaan seorang calon atau sesebuah parti.

Beliau turut berpendapat bahawa kematangan berpolitik boleh diukur melalui penggunaan bahasa, iaitu melalui kesantunan berbahasa yang dipraktikkan terutamanya ketika berkempen. Beliau juga menyatakan kegusarannya berkaitan dengan kerancuan berbahasa ketika pilihan raya.

Satu perkara yang kurang diberi perhatian dalam pilihan raya ialah bahasa yang bercampur aduk. Sekiranya bahasa tidak menggunakan istilah yang betul atau tidak digunakan dengan betul dan dengan nada yang marah, mesej tidak akan sampai. Bahasa yang molek akan memperlihatkan keperibadian dan kematangan seseorang yang pada akhirnya mampu memberikan sumbangan  atau kemenangan dalam PRU. Bahasa merupakan satu aset. Bukan sahaja untuk seseorang calon itu menang, bahasa juga sebagai aset untuk pengundi memilih calon yang terbaik.

Tambah beliau, bahasa dilihat menjadi teras utama kelangsungan seseorang calon atau sesebuah parti politik. Selain itu, rantaian penggunaan bahasa perlu seiring bermula daripada kepimpinan tertinggi hingga ke peringkat jentera akar umbi. Jika keperihatinan berbahasa hanya dipraktikkan oleh pemimpin tertinggi tetapi tidak pada peringkat akar umbi, maka akan memberikan kesan terhadap penerimaan pengundi. Begitu juga sebaliknya. Perlu ada keselarian rantaian penggunaan bahasa.

Sementara itu, menurut Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah S. Shikh, PRU merupakan satu suasana merayakan atau meraikan demokrasi di negara ini. Dalam fasa merayakan atau meraikan demokrasi ini, kepentingan kesantunan berbahasa itu perlu dititikberatkan.

Kita perlu ingat bahawa kita meraikan sesuatu yang amat baik, iaitu pilihan raya. Jika semasa kita meraikan itu, ada golongan yang menggunakan bahasa yang tidak molek, kita kena menegur, mengkritik dan menolak kerana hal ini akan mencipta pembentukan budaya kerana mereka terdedah dan berjumpa dengan banyak orang. Oleh tu, para penceramah politik janganlah sesekali mengorbankan Rukun Negara yang kelima, iaitu kesopanan dan kesusilaan.

Tambahnya lagi, negara ini pada fasa kini sedang bergerak menuju ke fasa demokratik matang. Oleh sebab itulah, pada dekad ini rakyat bukan sekadar menjadi pengundi, malah menjadi penilai dan pemantau gerak-geri parti politik.

Kita hendak menuju ke arah negara demokratik matang, iaitu semua ahli politik dapat memujuk, mengetengahkan fakta dan berhujah secara profesional tanpa elemen yang negatif kerana kini masanya untuk meraih. Oleh itu, ahli politik dan penceramah politik, molekkanlah bahasa supaya kita semua dapat meraih PRU ini dengan baik.

Pada akhir perkongsiannya, beliau sempat menyatakan harapannya.

Sesungguhnya PRU ini mengangkat hak dan kebebasan untuk kita memilih. Hak kebebasan untuk berkomunikasi. Kita berada dalam satu negara yang dapat berkomunikasi secara terbuka. Namun begitu, ingatlah bahawa daripada kebebasan itu datangnya tanggungjawab. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan bahasa atau cara berkomunikasi yang digunakan dapat menjadikan bangsa Malaysia sebagai bangsa yang disegani.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.