Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSibu – Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Temenggong Dato Lau Lee Ming, iaitu Pengerusi Persatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan Sekolah Cina Swasta Sarawak di pejabat persatuan itu di bandar Sibu.
Dalam kunjungan tersebut, DBPCS diketuai oleh Encik Abang Haliman Haji Abang Julai (Pengarah DBPCS), Encik Ja’afar Haji Hamdan (Timbalan Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera) dan Cik Stephanie Lenya Chaong (Ketua Unit Promosi dan Pengiktirafan) serta ahli rombongan. Cik Hong Woan Ying, Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan Sekolah Cina Swasta Sarawak turut hadir dalam majlis tersebut.
Antara perkara yang disuarakan dalam pertemuan tersebut termasuklah harapan pihak persatuan agar DBPCS dapat meneruskan kerjasama dan membantu persatuan dalam meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan pelajar Cina melalui penganjuran pelbagai program yang dirangka.
Selain itu, Temenggong Dato Lau Lee Ming juga berharap agar suatu program yang berobjektifkan perpaduan dapat dianjurkan oleh pihak DBPCS yang melibatkan penyertaan para pelajar sekolah Cina bertaraf swasta mahupun kebangsaan. Program seperti ini dilihat dapat menjadi medium penyatuan serta memupuk semangat toleransi selain memperkenalkan kepelbagaian kaum dan budaya di negeri Sarawak.
Dalam reaksi balasnya, Pengarah DBPCS akan cuba melaksanakan program tersebut pada tahun hadapan dan juga akan mengadakan perbincangan bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dalam merealisasikan program tersebut.
Encik Abang Haliman Abang Julai juga memaklumkan bahawa Bahagian Sibu telah terpilih sebagai tuan rumah bagi pertandingan Forum Pelajar pada tahun hadapan. Beberapa program lain yang akan diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-60 Sarawak dalam Malaysia akan dianjurkan dengan pelibatan sekolah-sekolah swasta Cina seperti program Deklamasi Sajak dan Lagu Rakyat dalam bahasa kebangsaan.
Selain itu, DBPCS juga berusaha untuk menarik minat golongan belia Cina dalam bidang penulisan dengan mengadakan Bengkel Penulisan bagi menghasilkan karya-karya yang bermutu dalam bahasa kebangsaan. Terdapat juga program baharu dengan pelibatan Jong Chian Lai, Sasterawan Negeri Sarawak yang ke-4 akan dilaksanakan bagi memperkenalkan tokoh penulis Cina yang berwibawa tersebut kepada masyarakat Cina.
Kunjungan ini diharapkan dapat mengeratkan lagi hubungan antara DBPCS dengan pertubuhan yang melibatkan masyarakat Cina di Sarawak. Usaha ini juga diharapkan dapat memberikan manfaat besar dalam memupuk perpaduan dan memartabatkan bahasa kebangsaan pada masa hadapan.
Persatuan Bersekutu Lembaga Pengurusan Sekolah Cina Swasta Sarawak merupakan sebuah pertubuhan yang mengurus sekolah-sekolah Cina swasta di negeri Sarawak. Persatuan ini sering bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) dalam menjayakan program Pertandingan Forum Pelajar pada setiap tahun.