28 Disember 2022, 11:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Keghairahan mengejar bahasa asing sudah menjadi suatu perlumbaan bagi generasi kini agar dipandang tinggi oleh masyarakat. Ada segelintir daripadanya merasakan bahawa bahasa asing perlu diberi penekanan berbanding dengan bahasa ibunda negara. Bukanlah untuk menidakkan kepentingan bahasa asing sebagai gedung ilmu tetapi tidakkah dengan perasaan sedemikian seolah-olah kita menghina, mengeji dan mencaci bahasa sendiri?

Jika ditelusuri, kehadiran aplikasi TikTok secara realitinya mampu membawa perubahan yang horizontal dalam aspek meningkatkan nilai bahasa ibunda. Hingga awal tahun 2022, statistik pengguna TikTok yang berumur 18 tahun ke atas di Malaysia telah mencapai 14.59 juta orang pengguna. Data ini menunjukkan bahawa sebanyak 48.23 peratus populasi pengguna media sosial merupakan pengguna aplikasi TikTok.

Justifikasi pemilihan aplikasi TikTok sebagai medium media sosial ketiga tertinggi di Malaysia atas sebab kemampuan aplikasi ini dalam melonjakkan tontonan atau view sesuatu video menggunakan algoritma sehingga tular. Menyedari hakikat ini, TikTok merupakan aplikasi baharu yang mampu menjadi platform untuk mengangkat bahasa Melayu agar terus dicintai dan diresapi dalam setiap jiwa manusia.

Apakah yang dimaksudkan dengan algoritma TikTok? Secara amnya, algoritma boleh didefinisikan sebagai suatu set arahan atau prosedur dalam menyelesaikan masalah. Dalam konteks media sosial, algoritma digunakan sebagai kayu ukur kekerapan hasil carian setiap pengguna. Sekiranya pengguna tersebut menyukai kandungan video masakan, maka hasil carian yang berikutnya akan serupa secara terus-menerus. Oleh itu, analogi perkara ini digunakan oleh aplikasi TikTok agar kepuasan pengguna mampu ditingkatkan secara drastik.

Impaknya boleh dilihat dari mata kasar, iaitu para pencipta kandungan video akan memilih aplikasi TikTok untuk memuat naik video mereka agar mudah tular dan mendapat sambutan yang tinggi daripada pengguna lain. Timbul persoalan, adakah dengan kuasa algoritma TikTok ini mampu melahirkan pencinta bahasa Melayu?

Persepsi masyarakat pada hari ini sebahagiannya tidak endah akan nilai bahasa Melayu. Namun begitu, ada juga yang kuat pedomannya untuk mengangkat semula bahasa Melayu agar dipandang tinggi serta dihormati asal usulnya yang pernah menjadi bahasa kegemilangan dan lingua franca. Contohnya, pencipta kandungan video yang terkenal dengan kepetahan berbahasanya, iaitu Zhiddin Aziz, merupakan seorang pempengaruh yang cekal memartabatkan bahasa Melayu di aplikasi TikTok. Bermula dengan kandungan video perkongsian ceritanya yang memperoleh markah penuh bagi ujian lisan Bahasa Melayu sehingga diheret ke Pejabat Pendidikan Daerah telah menjadi titik mula beliau mendapat pengikut yang sehingga kini mencecah hampir 600 000 orang pengikut.

Kevariasian kandungan idea yang dibawa oleh Zhiddin Aziz dalam mengangkat nilai bahasa Melayu telah banyak menambat hati pengikut daripada pelbagai kaum. Perkara ini sewajarnya dilihat dengan berpaksikan teknologi, iaitu bahasa Melayu akan terus mampu diangkat martabatnya dengan semangat juang yang tinggi oleh penuturnya.

Kenyataan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan wajar diteliti oleh setiap kaum yang berada di negara ini. Individu yang bergelar rakyat Malaysia perlu menyedari bahawa tanggungjawab mempelajari dan fasih bertutur dalam bahasa Melayu harus digalas sepenuhnya. Berada dalam situasi apa-apa pun, rakyat Malaysia harus berbangga bertutur dalam bahasa Melayu. Bukan hanya sekadar mengaku diri sebagai rakyat di negara bertuah ini, namun hakikatnya ada empunya diri yang masih tidak fasih bertutur bahasa Melayu.

Sebagai contoh, isu ini juga sering kali dilihat ketika di pasar tani, iaitu orang Melayu sendiri yang menggunakan bahasa pasar untuk berkomunikasi dengan kaum lain. Misalnya, “Uncle, wa mau sayur itu dua ikat”. Komunikasi seperti ini acap kali digunakan sehingga kita tidak sedar bahawa nahu bahasa ibunda kita telah diporak-perandakan. Namun begitu, dengan kehadiran aplikasi TikTok, kita mulai sedar bahawa masih banyak rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik yang mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik berserta tepat nahunya.

Pencipta kandungan video, Dr. Malar atau nama sebenarnya, Malar Santhi Santherasegapan juga merupakan seorang rakyat Malaysia berbangsa India yang bergiat aktif dalam mencipta kandungan video yang berunsurkan hal kesihatan di TikTok. Video beliau memberikan maklumat mengenai tema pakaian Bollywood itu telah mendapat perhatian oleh segenap lapisan masyarakat kerana kekaguman terhadap kepetahannya berbahasa Melayu. Dr. Malar yang kini telah diikuti oleh 200 000 orang pengikut masih aktif menghasilkan video berinformasi dengan menggunakan bahasa Melayu standard.

Tidak ketinggalan juga Wee Yun Nee atau lebih dikenali sebagai Mekyun di TikTok, yang menghasilkan kandungan video yang berkisarkan sudut pandangan daripada pelbagai situasi sambil berceloteh menggunakan dialek Kelantan telah menjadi tumpuan orang ramai. Ada yang mencadangkan agar kedua-dua individu ini diangkat menjadi ikon masyarakat India dan Cina dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Bukan untuk menafikan keadaan yang berlaku pada hari ini tetapi rakyat Malaysia itu sendiri yang mewujudkan keterpaksaan dalam mempelajari bahasa Melayu. Tambah-tambah lagi apabila bahasa ini dijadikan subjek wajib dalam peperiksaan dan syarat lulus bagi mendapatkan sijil. Oleh itu, zaman teknologi yang semakin pesat inilah yang telah membantu membuka ruang dan peluang dalam mengobarkan semula kekuatan bahasa Melayu dengan penggunaan media aplikasi TikTok.

Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kini kian terbatas dek halangan daripada ideologi pemikiran kuno yang mengatakan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa yang rendah tarafnya dan tidak setanding dengan bahasa asing lain. Berpijaklah di bumi yang nyata bahawa bahasa inilah yang mampu membentuk sesebuah identiti negara ini. Ironinya ketika pelancong asing datang ke negara ini, adakah wajar kita berkomunikasi menggunakan bahasa asing dengan mereka? Tepuk dada tanyalah isi hati. Sikap yang sedemikian rupalah yang menyebabkan bahasa Melayu semakin ditindas dan diabaikan penggunaanya dalam komunikasi harian. Ada yang berbangga menggunakan bahasa lain seolah-olah bahasa ibunda sendiri seperti tiada nilai. Inikah yang dikatakan kesanggupan dalam membela maruah bahasa ibunda? Realiti ini sungguh menyakitkan.

Selain itu, pemuda tampan yang dikenali sebagai Kouji merupakan pencipta kandungan video TikTok yang berasal dari Jepun dan fasih berbahasa Melayu dalam setiap kandungan videonya. Yang menariknya, kandungan idea yang dibawa oleh Kouji berteraskan makanan di Malaysia. Jumlah pengikutnya yang hampir mencecah 400 000 orang menjadikan setiap video Kouji mendapat sambutan yang hangat dan mudah tular dalam “For your page” TikTok. Celotehnya yang mengkritik makanan di Malaysia menggunakan bahasa Melayu telah menarik tumpuan orang ramai untuk memberikan tanda suka pada setiap kandungan videonya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa individu yang bukannya penutur jati bahasa Melayu sendiri sangat berbangga dan mampu bertutur dalam bahasa Melayu.

Kita yang sebagai penutur jati bahasa ini sudah semestinya berkali-kali berasa megah dan bangga akan kekuatan bahasa Melayu. Kefasihan Kouji berbahasa Melayu telah membuka mata banyak pihak bahawa bahasa Melayu mempunyai nilai yang sangat tinggi dalam melahirkan identiti bangsa. Bahkan, semakin banyak orang asing yang akan berminat untuk mempelajari bahasa Melayu dan sekali gus mampu menjadikan bahasa ini bersifat universal.

Kata orang, “Tak kenal maka tak cinta, bila dah kenal terjatuh lalu tercinta”. Mempelajari bahasa dan mengangkat sesuatu nilai bahasa mudah untuk dilaksanakan apabila diri mempunyai kesetiaan dan kecintaan yang tinggi terhadap bahasa. Peredaran dunia yang semakin maju berpaksikan teknologi telah menjadi cabaran utama dalam memartabatkan bahasa ibunda negara ini. Namun jika pandai mencari ruang, kepesatan teknologi inilah menjadi peluang mengangkat nilai bahasa Melayu, seterusnya mampu memartabatkannya dan melahirkan para pencinta bahasa. Bahasa Melayu merupakan aset negara yang perlu dijaga rapi agar tidak lapuk ditelan zaman. Hilangnya bahasa Melayu, maka hilanglah jati diri bangsa. Maka itu, apakah makna sebuah bangsa jika tiada bahasa yang menjadi identiti keagungan?

Realiti penggunaan TikTok pada hari ini adalah untuk penyebaran informasi secara pantas, perniagaan serta hiburan. Jika ditelusuri aplikasi ini secara mendalam, banyak manfaat yang boleh dikecapi dalam hal yang melibatkan peningkatan nilai bahasa Melayu. Banyak golongan pempengaruh yang mula sedar bahawa medium inilah yang wajar dijadikan pilihan untuk menyebarluaskan kepentingan bahasa Melayu serta mengangkat semula martabat bahasa Melayu untuk dijulang dengan lebih tinggi. Pemerkasaan bahasa Melayu terutamanya oleh golongan generasi Z di aplikasi TikTok harus diberi perhatian kerana golongan inilah yang bakal menjadi pelapis legasi pencinta bahasa Melayu yang seterusnya agar tidak tenggelam oleh ideologi pemikiran kuno yang mengatakan betapa rendahnya martabat bahasa Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.