Oleh Lutfi Zahid
14 Januari 2023, 18:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ayer Keroh Majlis Pelancaran Buku Siri Wacana Bahasa telah berlangsung dengan jayanya di Ajwah Space, Kompleks Niaga Vista Kirana pada pagi tadi. Majlis yang diadakan bersama-sama Seminar Panduan Penulisan Anekdot dan Cereka itu telah disempurnakan oleh Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Buku Siri Wacana Bahasa terdiri daripada tiga buah buku, iaitu buku Penulisan Skrip Pengacaraan, Buah Fikiran Memacu Penulisan, dan Kalimat yang Terindah.

Buku Siri Wacana Bahasa yang diterbitkan oleh Bulan Terbit, sebuah syarikat penerbitan di bawah SYFE Management Sdn. Bhd., terdiri daripada tiga buah buku, iaitu buku Penulisan Skrip Pengacaraan, Buah Fikiran Memacu Penulisan, dan Kalimat yang Terindah. Menurut penulis buku tersebut, Munsyi Mohamad Musip, yang juga merupakan Munsyi Dewan (Bahasa), beliau sering menjadikan produk penerbitan DBP sebagai rujukan dan sentiasa meletakkan jiwanya dalam penulisan buku tersebut.

 

Munsyi Dewan, Mohamad Musip menyampaikan ucapan alu-aluan.

“Jiwa sebagai seorang penulis, pendidik, pembimbing, pemudah cara dan jiwa Munsyi Dewan saya gabungkan semuanya menjadikan kehidupan ini begitu menyeronokkan. Walaupun masa dan jadual saya padat dengan pelbagai tugas, namun pada penghujungnya karya ini tetap dapat diselesaikan. Sebagai seorang penulis, saya sering merujuk Kamus Dewan Perdana dan karya yang terbit dalam majalah terbitan DBP sebagai penanda aras,” kata Munsyi Mohamad Musip.

Sementara itu, Tuan Haji Razali Che Mat pula menyatakan bahawa buku Siri Wacana Bahasa ini merupakan satu pedoman penulisan yang baik untuk dijadikan rujukan oleh para pembaca dan juga penulis baharu. Tambah beliau, usaha pihak SYFE Management Sdn. Bhd. yang menerbitkan buku pedoman dan menganjurkan seminar penulisan seumpama ini wajar diteruskan pada masa hadapan.

Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka menyampaikan ucapan perasmian semasa Majlis Pelancaran Buku Siri Wacana Bahasa.

“Apabila kita menghargai nilai ilmu dan mengutamakan orang yang berilmu, maka pelbagai manfaat bakal diperoleh. Pelbagai perkara dapat dibuat dan diselesaikan dalam kehidupan ini. Walau bagaimanapun, jangan pula kita meminggirkan orang yang tidak berilmu kerana menjadi satu kerugian kepada diri kita. Dalam hal ini, saya mengharapkan usaha seperti penganjuran seminar ini dapat diteruskan bagi melahirkan penulis yang hebat dan masyarakat yang berilmu,” kata Tuan Haji Razali ketika menyampaikan ucapan perasmian, seterusnya melancarkan buku Siri Wacana Bahasa.

(Dari kiri) Abang Abdul Rahman Taip, Pengarah Urusan SYFE Management Sdn. Bhd., Tuan Haji Razali Che Mat, Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Munsyi Dewan, Mohamad Musip, dan Ahmad Zawawi Che’ Cob, Ketua 1 Persatuan Penulis Negeri Melaka.

Majlis yang dihadiri oleh 20 orang tetamu yang terdiri daripada para peserta Seminar Panduan Penulisan Anekdot dan Cereka itu turut diwarnai dengan persembahan khas “Corat-coret di Pinggir Karya” oleh Munsyi Dewan, Mohamad Musip dan Ketua 1 Persatuan Penulis Negeri Melaka, Ahmad Zawawi Che’ Cob, .

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.