15 Januari 2023, 14:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sarawak –Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) telah menerima kunjungan daripada Yang Berhormat Datuk Abdullah Haji Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak atau UKAS) bersama-sama pihak pengurusan UKAS, iaitu Encik Samuel Saimon, Pemangku Pengarah dan para pegawai pengurusan UKAS.

Antara agenda kunjungan ini adalah untuk membincangkan perancangan Sayembara Pidato Perpaduan Peringkat Negeri Sarawak yang akan diadakan pada bulan Februari 2023. Sayembara ini merupakan satu daripada program yang dijalankan bersempena dengan ulang tahun Kemerdekaan Sarawak yang ke-60. Dengan mengangkat tema perpaduan, semangat sinkronisasi yang utuh di Sarawak ini diharapkan dapat dikekalkan melalui penganjuran sayembara ini.

Selain itu, selaras dengan fungsi DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sayembara ini juga dilihat berupaya melatih keupayaan dan kemampuan masyarakat berbilang kaum di Sarawak untuk menggunakan bahasa Melayu secara fasih, formal dan lancar. Dalam majlis yang sama, Yang Berhormat Datuk Abdullah Haji Saidol turut menyampaikan sumbangan bagi menjayakan penganjuran sayembara pada kali ini.

Kunjungan ini bertujuan untuk menjalinkan kerjasama antara DBPCS dengan UKAS dalam pelaksanaan program yang akan diadakan sepanjang tahun 2023.

Dalam perbincangan tersebut juga, Yang Berhormat Datuk Abdullah Haji Saidol turut menjelaskan peranan dan fungsi UKAS dalam menyampaikan maklumat secara rasmi kepada rakyat Sarawak dari sudut politik, sosial, hal ehwal semasa dan sebagainya. Peranan ini penting difahami agar masyarakat di Sarawak tidak ketinggalan daripada isu semasa dan arus perkembangan di Sarawak, serta cakna akan setiap program yang dianjurkan oleh mana-mana kementerian, jabatan dan agensi.

Sementara itu, Yang Berhormat Datuk Abdullah Haji Saidol turut menerangkan peranan UKAS dalam memupuk perpaduan di Sarawak, yang terdiri daripada pelbagai kaum. Satu daripada indikator yang diketengahkan oleh beliau dalam membina tonggak perpaduan ialah perkahwinan campur di Sarawak. Menurut beliau, kecenderungan untuk seseorang itu mempertahankan bangsa yang berlainan adalah tinggi sekiranya terdapat susur galur perkahwinan campur dalam salasilah keluarganya.

Perkahwinan campur merupakan hal yang lazim di Sarawak, sekali gus menjadikan Sarawak sebuah negeri yang unik dengan wujudnya pertembungan budaya antara kaum tersebut. Yang Berhormat Datuk Abdullah Haji Saidol turut menyuarakan pandangannya agar data dan statistik tentang perkahwinan campur di Sarawak dapat dikumpulkan dan dibukukan sebagai bahan rujukan orang awam.

Encik Abang Haliman Haji Abang Julai memberikan penerangan tentang Kamus Perdana kepada Yang Berhormat Datuk Abdullah Haji Saidol.

Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai pula turut merakamkan penghargaan atas kesudian pihak Kerajaan Negeri Sarawak menjalinkan kerjasama dalam agenda perpaduan dan kepelbagaian kaum di negeri ini. Beliau berharap agar kerjasama ini akan berterusan pada masa akan datang dalam mencapai matlamat dan hasrat kedua-dua pihak untuk menjayakan program yang memberikan impak besar kepada semua lapisan masyarakat di Sarawak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.