Oleh Firdaus Mul
14 Februari 2023, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Buat julung-julung kalinya Konvensyen Guru Bahasa Etnik Kebangsaan Tahun 2023 telah dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Kurikulum, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak. Program ini berlangsung pada 13 Februari hingga 15 Februari 2023 di Hotel Imperial, Kuching, Sarawak, dengan bertemakan “Memperkasakan Pendidikan Bahasa Etnik”.

Sehubungan dengan itu, “Selamat Pagi Sarawak” anjuran Sarawak fm, telah menampilkan Datuk Dr. Mistrine Radin, Pengarah Bahagian Profesionalisme Guru, KPM dan Dr. Les Anak Met, yang juga merupakan Timbalan Pengarah di Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak bagi mengupas berkenaan dengan Konvensyen Guru Bahasa Etnik yang sedang berlangsung di negeri Sarawak pada minggu ini.

Menerusi program ini, Datuk Dr. Mistrine Radin berkongsi perihal pengenalan pelbagai mata pelajaran bahasa etnik di sekolah-sekolah di Malaysia dengan para pendengar Sarawak fm.

Mata pelajaran Bahasa Etnik yang ditawarkan pada masa ini di sekolah di bawah KPM terdiri daripada Bahasa Iban, Bahasa Kadazandusun, dan Bahasa Semai. Bahasa Etnik ditawarkan di sekolah yang bertujuan untuk mengekalkan pengetahuan penggunaan bahasa, pengalaman pengetahuan orang asal dan penerusan penghayatan warisan budaya masyarakat Iban, Kadazandusun dan Semai.

Menurut beliau, sehingga 31 Ogos 2022, sebanyak 1102 buah sekolah rendah menawarkan bahasa etnik tersebut. Daripada jumlah ini, 688 buah sekolah menawarkan Bahasa Iban, 397 buah sekolah pula menawarkan Bahasa Kadazandusun, dan 17 buah sekolah di Perak dan Pahang menawarkan Bahasa Semai.

Bagi sekolah menengah, daripada 129 buah sekolah yang menawarkan bahasa etnik, sebanyak 83 buah sekolah menawarkan Bahasa Iban, 45 buah sekolah menawarkan Bahasa Kadazandusun dan hanya satu sekolah, iaitu SMK Seri Tapah Perak, yang menawarkan Bahasa Semai.

Tambah beliau, sebanyak 120 139 orang murid mengambil mata pelajaran bahasa etnik di sekolah rendah, manakala sebanyak 27 360 orang murid mengambilnya di sekolah menengah. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4027 orang guru di sekolah rendah dan 395 orang guru di sekolah menengah mengajar mata pelajaran bahasa etnik.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa Konvensyen Guru Bahasa Etnik 2023 mengandungi empat objektif. Pertama, menyebar luas ilmu dan pengetahuan baharu yang berkaitan dengan pendidikan bahasa etnik kepada warga pendidik khususnya yang mengajar bahasa etnik. Kedua, memperkasakan pembangunan profesionalisme guru bahasa etnik. Ketiga, menggalakkan amalan inovasi digital dalam kalangan guru bahasa etnik secara berterusan dan yang keempat ialah platform bagi aktiviti perkongsian ilmu, kepakaran dan kerjasama dalam kalangan pendidik bahasa etnik.

Beliau juga menjelaskan bahawa tema Konvensyen Guru Bahasa Etnik 2023 ialah “Memperkasakan Pendidikan Bahasa Etnik di Malaysia” dengan tiga subtema, yakni memperkasakan kurikulum dan guru bahasa etnik, teknologi digital dalam pendidikan bahasa etnik dan penerapan nilai dan warisan budaya dalam pendidikan bahasa etnik. “Kita tidak mahu guru dan mata pelajaran bahasa etnik itu sendiri tertinggal dari aspek digital”, ujar beliau lagi.

Bagi Dr. Les Anak Met pula, beliau mengupas tentang latar belakang berkenaan dengan Konvensyen Guru Bahasa Etnik. Menurut beliau, “Konvensyen Guru Bahasa Etnik Kebangsaan pada tahun 2023 atau dikenali sebagai KGBK 2023, merupakan penganjuran untuk pertama kalinya yang dilaksanakan oleh KPM. KGBK ini menyediakan platform bagi aktiviti perkongsian ilmu, kepakaran dan kerjasama dalam kalangan warga pendidik bahasa etnik bagi mendepani masyarakat dalam era globisasi”.

Konvensyen ini dilaksanakan secara bersemuka dan secara dalam talian dan peserta yang mengikutinya secara bersemuka adalah sebanyak 200 orang yang mewakili guru Bahasa Iban dari Sarawak, guru Bahasa Kadazandusun dari Sabah dan guru Bahasa Semai dari Perak dan Pahang.

Konvensyen ini juga melibatkan para pensyarah dari universiti awam, institusi pendidikan guru (IPG), dan para pegawai di bahagian dan jabatan yang terlibat secara langsung dalam mengurus program Bahasa Etnik ini. Bagi peserta yang menyertainya secara dalam talian, ruang tersebut terbuka kepada semua warga pendidik khususnya yang mengajar Bahasa Etnik.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa antara aktiviti yang diadakan termasuklah bicara profesional yang bertajuk “Penerapan Nilai dan Warisan Budaya dalam Pendidikan”, yang disampaikan oleh YBhg. Datuk Dr. Mistrine Radin. Ucaptama yang bertajuk “Memperkasakan Pendidikan Bahasa Etnik di Malaysia” pula disampaikan oleh YBrs. Dr. Norisah Suhaili, yang juga merupakan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah).

Pada hari ini juga berlangsungnya perkongsian pengalaman daripada Tokoh Bahasa, yakni YBhg Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah Haji Omar, yang bertajuk “Kelestarian Bahasa Etnik dalam Kelangsungan Budaya Bangsa”. Kemudian, sesi pembentangan daripada guru Bahasa Etnik dan perkongsian pensyarah daripada universiti awam dan IPG. Sementara pada sebelah malam pula akan diadakan Dinner Talk, yang akan disampaikan oleh Ybrs. Tuan Haji Shafruddin Haji Ali Hussin, yang juga merupakan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (SPP) yang bertajuk “Pendidikan Bahasa Etnik: Guru Kreatif, Murid Ceria”.

Pada hari yang terakhir juga diadakan forum yang bertajuk “Memperkasakan Kurikulum dan Guru Bahasa Etnik”. Tambah beliau, “Sepanjang konvensyen ini, kita juga mengadakan pameran kemenjadian murid dari tujuh buah sekolah yang mewakili setiap etnik, dari IPG dan satu daripada Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak”.

Datuk Dr. Mistrine Radin turut menyatakan harapannya berkenaan dengan penganjuran Konvensyen Guru Bahasa Etnik 2023. Beliau berkata, “Hasrat saya terhadap konvensyen ini ada dua. Pertama, kita ingin melihat impak kepada guru-guru yang terlibat. Ini adalah platform untuk mereka berjumpa dengan rakan yang sama-sama dalam kategori bahasa etnik. Kedua, impak dari segi langkah seterusnya.

Dalam konvensyen ini juga kita akan mengundang pihak NGO, universiti awam dan IPG Malaysia. Tujuan kita membawa mereka dalam konvensyen ini adalah untuk mengharapkan pihak ini (contohnya universiti awam) boleh menawarkan kursus-kursus di peringkat Sarjana dan PhD atau EDD kepada guru-guru ini. Bagi Ijazah Sarjana Muda, guru-guru ini telah menulis tesis dalam bahasa masing-masing (bahasa etnik), dan kita berharap supaya pada peringkat Sarjana dan PhD, mereka akan menulis dalam bahasa ini (bahasa etnik).

Datuk Dr. Mistrine Radin ketika bersiaran secara langsung dalam rancangan “Selamat Pagi Sarawak”.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.