14 Februari 2023, 17:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-23 Bandaraya Kota Kinabalu, sebanyak enam orang peserta dari Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) telah berentap dalam Pertandingan Pidato Ekspresikan Bahasamu di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah . Pertandingan ini anjuran Unit Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP Cawangan Sabah dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

Dengan tema “Sayangi Bandar Rayaku”, para peserta yang terdiri daripada pelajar IPTS di Sabah mengemukakan idea serta hujah yang boleh menyumbang kepada pembangunan Kota Kinabalu. Pertandingan ini dirasmikan oleh Encik Ahsim Jamat, Pengarah Parlimen P171 Sepanggar. “Saya menyarankan agar program seumpama ini dapat diteruskan kerana usaha menyemarakkan bahasa kebangsaan ini seharusnya tidak bermusim,” ujar beliau semasa berucap di majlis perasmian.

Encik Ahsim Jamat sewaktu menyampaikan ucapan perasmian Pertandingan Pidato Ekspresikan Bahasamu.

Timbalan Pengarah 1 DBP Cawangan Sabah, iaitu Encik Rusdi Awang berkata, “Sokongan dan keprihatinan masyarakat amat kami perlukan agar usaha kami tidak terhenti setakat selesai program sahaja, bahkan kami berharap ada langkah proaktif untuk merealisasikan setiap idea dan pandangan yang dilontarkan. Kami yakin idea yang dikemukakan ini adalah dari sudut pandang anak muda yang matang dan menyeluruh.

Pertandingan ini bukanlah bertujuan untuk mencungkil bakat pengucapan awam semata-sama, namun dapat dijadikan wadah untuk meningkatkan keyakinan dan menyerlahkan kemampuan golongan pewaris bangsa supaya dapat berfikir secara kritis.

Ben Hur Benyamin Lasong (Johan) sewaktu menyampaikan pidato yang bertajuk “Usaha-usaha menjaga kebersihan bandar raya”.

Pertandingan Pidato Ekspresikan Bahasamu menyaksikan Ben Hur Benyamin Lasong dari Cyberjaya College, Kota Kinabalu dinobatkan sebagai johan dengan tajuknya, iaitu “Usaha-usaha menjaga kebersihan bandar raya”. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM1000.00, berserta sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.

Naib johan pula dimenangi oleh Attles Tonny dari Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology dan tempat ketiga dimenangi oleh Sahrinah Sanawing dari Kolej Teknologi Yayasan Sabah. Bagi pemenang sagu hati pula dimenangi oleh Amirah Atikah Sulaiman, Siti Nurfadzilah Abdullah daripada Almacrest International College dan Nurul Ashaerah Laip.

Pelibatan dan sambutan positif daripada para peserta menunjukkan sokongan masyarakat terhadap kepentingan bahasa Melayu. DBP yang bertanggungjawab mengangkat martabat bahasa Melayu akan terus optimis dalam mempergiat pelbagai program dalam pelbagai sektor untuk mencapai visi dan misi utama DBP.

Puan Junainah Abbie, Encik Ahsim Jamat, dan Encik Rusdi Awang serta para pemenang Pertandingan Pidato Ekspresikan Bahasamu bergambar kenangan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.