Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKata jalan merupakan kata yang amat sederhana dan sudah tentu dikenali oleh kebanyakan pengguna bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, jika kata tersebut dikupas dan dianalisis secara mendalam, kata yang begitu biasa kita gunakan itu dapat juga memercikkan sinar kecendekiaan yang menarik.
Jika diteliti dari segi bentuknya, kata jalan merupakan kata tunggal yang bebas yang dapat berdiri sendiri dalam ayat. Hal ini berbeza daripada morfem terikat yang terpaksa bergantung pada kata bebas atau morfem terikat yang lain untuk wujud dalam ayat. Selain itu, kata dwisuku kata jalan terbina daripada bunyi vokal (V) dan konsonan (K) dengan struktur suku kata KV + KVK.
Dari segi golongan katanya, kata jalan merupakan kata nama. Hal ini terbukti kerana kata jalan dapat menjadi subjek atau objek dalam ayat, dan dapat didahului oleh kata sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:
1a. Jalan itu berliku-liku.
1b. Kerajaan akan membesarkan jalan itu.
1c. Kereta itu bergerak perlahan di jalan kampung.
Dalam ayat 1a, kata jalan itu menjadi subjek ayat, manakala predikatnya ialah berliku-liku. Dalam ayat 1b, kata jalan menjadi objek kepada kata kerja transitif membesarkan. Dalam ayat 1c, kata jalan menyusuli kata sendi nama di.
Dari segi semantik, kata jalan merupakan polisemi, iaitu kata pelbagai makna, atau kata yang maksudnya berubah mengikut konteks penggunaannya dalam ayat. Sila lihat contoh yang berikut:
2a. Jalan itu sedang dibaiki.
2b. Jalan jam itu lambat.
2c. Jalan cerita buku itu menarik.
2d. Jalan fikirannya luar biasa.
2e. Kita harus mencari jalan untuk menyelesaikan masalah itu.
Dalam ayat 2a, kata jalan bererti “tempat laluan”. Dalam ayat 2b, kata jalan bererti “pergerakan”. Dalam ayat 2c, kata jalan bererti “perkembangan”. Dalam ayat 2d, kata jalan bererti “cara”. Dalam ayat 2e, kata jalan bererti “ikhtiar”.
Kata akronim tergolong sebagai kata tunggal. Dalam hal ini, suku kata pertama ja dalam kata jalan dapat bergabung dengan kata lurah untuk menghasilkan akronim jalurah.
Kata jalan juga dapat membentuk kata majmuk rangkaian kata bebas dengan kata lain. Sila lihat contoh yang berikut:
3a. Dia menggunakan jalan pintas untuk ke sekolah.
3b. Jalan raya itu sudah diturap semula.
3c. Jalan susur itu menuju ke kampung.
3d. Ada penyeludupan yang berlaku melalui jalan tikus.
3e. Keretanya terhenti di hujung sebatang jalan mati.
Dalam kelompok ayat di atas, terdapat contoh kata majmuk rangkaian kata bebas, iaitu jalan pintas, jalan raya, jalan susur, jalan tikus dan jalan mati.
Ada kalanya kata jalan dapat membentuk kata majmuk rangkaian kata bebas atau kata majmuk kiasan (simpulan bahasa) dengan kata lain, bergantung pada konteks penggunaannya dalam ayat. Sila lihat contoh yang berikut:
4a. Jalan serong itu perlu diluruskan.
4b. Sesiapa yang berdisiplin akan menjauhi jalan serong.
5a. Dia melalui jalan tengah di taman rekreasi itu.
5b. Mereka mengambil jalan tengah semasa membuat keputusan.
6a. Dia masuk ke rumah melalui jalan belakang.
6b. Penggunaan jalan belakang mengundang kemarahan.
Dalam ayat 4a, kata majmuk rangkaian kata bebas jalan serong bererti “jalan yang bengkok”, manakala kata majmuk kiasan jalan serong dalam ayat 4b bererti “perbuatan yang tidak baik”. Dalam ayat 5a, kata majmuk rangkaian kata bebas jalan tengah bererti “jalan di tengah”, manakala kata majmuk kiasan jalan tengah dalam ayat 5b bererti “keputusan antara dua pendapat yang berbeza”. Dalam ayat 6a, kata majmuk rangkaian kata bebas jalan belakang bererti “jalan masuk melalui pintu belakang”, manakala kata majmuk kiasan jalan belakang dalam ayat 6b bererti “cara yang tidak mengikut peraturan yang telah ditetapkan”.
Kata jalan juga dapat membentuk kata ganda penuh dan kata ganda separa. Sila lihat contoh yang berikut:
7a. Jalan-jalan di kawasan itu bengkang-bengkok.
7b. Mereka berjalan-jalan pada waktu senja.
7c. Mereka berjalan-jalan pada waktu cuti.
Dalam ayat 7a, kata ganda penuh jalan-jalan menandakan jamak. Dalam ayat 7b, kata ganda separa berjalan-jalan bererti “bersiar-siar” manakala dalam ayat 7c, kata ganda separa berjalan-jalan bererti “bercuti”.
Kata jalan juga dapat membentuk kata terbitan. Sila lihat contoh yang berikut:
8a. Laluan pejalan kaki itu menyenangkan orang ramai
8b. Kerajaan akan menjalankan projek mega itu.
8c. Mereka ialah saudara sejalan jadi.
8d. Perjalanan air di sungai itu lancar.
8e. Dia tidak terjalan kerana keletihan.
8f. Penghibur jalanan itu bersuara merdu.
Dalam kelompok ayat 8, terdapat contoh kata terbitan yang terbina daripada kata dasar jalan, iaitu pejalan, menjalankan, sejalan, perjalanan, terjalan dan jalanan.
Satu hal yang sering mengelirukan para pengguna bahasa Melayu ialah kata terbitan menjalani dan menjalankan. Sila lihat contoh yang berikut:
9a. Doktor itu menjalankan pembedahan.
9b. Pesakit itu menjalani pembedahan.
Dalam ayat 9a, kata menjalankan bererti “melakukan”, manakala dalam ayat 9b, kata menjalani bererti “mengalami”.
Kata jalan dapat menjadi inti atau penerang dalam frasa nama. Sila lihat contoh yang berikut:
Frasa Nama | Inti | Penerang |
jalan besar | jalan | besar |
tepi jalan | tepi | jalan |
Kata jalan juga terdapat dalam sejumlah peribahasa. Sila lihat contoh yang berikut:
sekali jalan kena, dua kali jalan tahu
sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan
berjalan jauh banyak dilihat
jalan raya titian batu
menemui jalan buntu