21 Februari 2023, 14:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Bersempena dengan Hari Bahasa Ibunda Sedunia yang disambut pada 21 Februari setiap tahun, satu bual bicara khas berkenaan dengan pemerkasaan dan pelestarian bahasa sukuan Sarawak telah diadakan oleh pihak TVS dalam slot Sejahtera Asia. Hari Bahasa Ibunda Sedunia yang disambut pada setiap tahun telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai satu pendekatan untuk mengukuhkan perpaduan melalui kepelbagaian bahasa dan budaya.

Dua orang tetamu yang diundang khas bagi membicarakan topik ini ialah Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) dan Dr. Haji Zainal Abidin Haji Masleh, Pensyarah Cemerlang Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang, Kuching.

Menurut Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, dalam usaha pelestarian dan pemartabatan bahasa sukuan di Sarawak, DBPCS melalui pelbagai sinergi dilakukan dengan kerjasama persatuan etnik mahupun individu-individu dalam melaksanakan program pembinaan dan penyelidikan bahasa sukuan. Antaranya termasuklah projek pembinaan kamus dan daftar kata bahasa sukuan Sarawak, pembinaan istilah budaya kearifan tempatan dan sidang penyelarasan istilah bahasa sukuan. Hal ini juga secara tidak langsung berupaya meningkatkan martabat bahasa sukuan di Sarawak dengan mengambil kira keupayaan untuk menyebar luas istilah dalam pelbagai bidang, sekali gus mampu mendokumentasikan khazanah warisan bangsa.

Menurutnya lagi, usaha ini merupakan satu daripada langkah memelihara bahasa sukuan di Sarawak daripada kepupusan. Di samping itu, entri yang telah dikumpulkan dan disahkan akan dimasukkan ke dalam laman Sistem Bahasa Melayu Bersepadu (SBMB) untuk diakses oleh pengguna dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM).

Selain itu, kategori berkenaan dengan status bahasa sukuan turut dibicarakan semasa bual bicara tersebut oleh Dr. Haji Zainal Abidin Haji Masleh. Terdapat empat kategori, iaitu Kategori 1B (Paling Selamat) seperti bahasa Iban, Kategori 1B (Selamat) seperti bahasa Bidayuh, Kategori 2 (Bahasa Hidup), Kategori 3 (Terancam) seperti bahasa Punan, dan Kategori 4 (Bahasa Moribund). Dua kumpulan bahasa yang terdiri daripada kumpulan bahasa Lembah Baram dan kumpulan bahasa Kajang telah dikategorikan sebagai bahasa moribund, iaitu diambang bahaya.

Oleh itu, pelbagai usaha dan inisiatif perlu dilakukan bagi mendepani cabaran yang boleh mengancam serta menghakis perasaan cinta akan bahasa ibunda masing-masing. Bahasa ibunda juga dilihat mempunyai keupayaan dalam menyebarkan pelbagai takrif istilah terutamanya yang berkaitan dengan kearifan tempatan.

Dr. Haji Zainal Abidin Haji Masleh (kiri) dan Encik Abang Haliman Haji Abang Julai (kedua dari kiri) sedang ditemu bual oleh pengacara TVS dalam slot Sejahtera Asia.

Tuntasnya, perancangan pelbagai projek pembinaan dan penyelidikan yang didasari oleh Pelan Strategik Dewan Bahasa dan Pustaka ini akan dapat memberikan manfaat yang besar dalam usaha ke arah memartabatkan bahasa Melayu dengan penyerapan kosa kata daripada bahasa sukuan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.