Dengkil – Universiti Malaya muncul juara Festival Pantun antara Asasi (FANTASI) Universiti Awam 2023, yang diadakan di Perpustakaan Tun Abdul Razak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Dengkil. Kemenangan tersebut membolehkan pasukan pemantun dari Universiti Malaya membawa pulang trofi dan wang tunai RM2000.
Sementara itu, UiTM mendapat tempat kedua dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1500. Tempat ketiga pula disandang oleh Universiti Putra Malaysia yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM1000.
Saudari Huda Rafiah Md Isa dari UiTM telah dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik (Akhir), manakala Saudari Sara Afina Shahrulizat dari Universiti Malaya pula dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik (Keseluruhan), dengan masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM200.
Sebanyak 21 pasukan dari 13 universiti awam dan dua buah kolej matrikulasi telah menyertai pertandingan ini yang merupakan kali kedua diadakan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Majlis Perasmian Penutupan FANTASI 2023 pula telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP. Yang turut hadir ialah Yang Berusaha Profesor Madya Dr. Laily Haji Che Rose, Pengerusi Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam dan Yang Berbahagia Prof. Ir. Dr. Ahmad Farid Abidin, Pengarah Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil.
Program ini secara tidak langsung mendedahkan para pelajar kepada keindahan, kehalusan dan keunikan pantun agar mereka dapat berbangga akan bahasa dan persuratan Melayu serta dapat mewarisi tinggalan budaya ini supaya tidak pupus dek arus kemodenan dunia.