8 Mac 2023, 13:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Betong – Penulisan dokumen rasmi yang baik bukan sahaja akan meningkatkan imej jabatan, malah berupaya menjadi wadah penyebaran bahasa Melayu kepada khalayak. Oleh itu, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Betong, Sarawak, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak semalam telah menganjurkan Program Bimbingan Penulisan Dokumen Rasmi untuk kakitangan Majlis Daerah Betong di Pejabat RTC Betong, yang bertujuan untuk membantu mereka meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam penulisan dokumen rasmi.

Program selama sehari itu melibatkan 21 orang kakitangan Majlis Daerah Betong dari pelbagai bahagian, iaitu Bahagian Pembangunan Komuniti, Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Kewangan, Bahagian Khidmat Pengurusan dan lain-lain. Program tersebut telah dibimbing oleh Encik Ja’afar Haji Hamdan (Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sarawak) dan Puan Intan Nur-Izzati Shabri dari Unit Pembinaan Bakat, DBP Cawangan Sarawak

Melalui program ini, para peserta diberi maklumat tentang format penulisan surat rasmi dan minit mesyuarat selain perkongsian berkaitan dengan ejaan dan tatabahasa yang tepat. Sehubungan dengan itu, para peserta diperkenalkan dengan penggunaan aplikasi Kamus Pro bagi memudahkan mereka memilih perkataan yang sesuai digunakan dalam penulisan. Sementara itu, pembimbing turut mempromosikan laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) dan Bahagian Khidmat Nasihat Bahasa bagi mendapatkan contoh penggunaan perkataan dalam ayat.

Rata-rata peserta sangat responsif sepanjang program ini diadakan. Pelbagai soalan diajukan dan antaranya berkenaan dengan kekeliruan yang mereka hadapi semasa menyediakan dokumen rasmi. Mereka juga mencadangkan agar kursus seperti ini dan kursus lanjutan dapat dianjurkan pada masa akan datang dengan penyertaan kakitangan dari jabatan lain.

Program ini berupaya meningkatkan dan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu yang baik dalam kalangan kakitangan kerajaan kerana mereka menjadi rujukan dan panduan masyarakat dalam urusan rasmi. Semoga penggunaan bahasa kebangsaan terus terpelihara dan dimartabatkan penggunaannya dalam kalangan generasi muda khasnya.

Para peserta tekun mendengar bimbingan penggunaan tatabahasa daripada Puan Intan Nur-Izzati Shabri.
Encik Ja’afar Haji Hamdan berkongsi maklumat tentang asas penulisan dokumen rasmi.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.