Oleh Firdaus Mul
10 Mac 2023, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Individu yang dilahirkan dalam keadaan istimewa ataupun mengalami kelainan upaya dalam pertuturan atau pendengaran bukanlah penghalang untuknya berkomunikasi dengan individu lain dan mempelajari bahasa. Oleh sebab itu, wujudnya kod isyarat tangan. Menyentuh perihal kod isyarat tangan ini, siri rancangan Cakna Bahasa anjuran BERNAMA Radio telah menampilkan Hauzalazla Mohamed, guru SMK Sultan Abdul Samad, Klang, yang juga seorang penulis untuk mengupas tajuk “Kod Isyarat Tangan”.

Dalam program tersebut, beliau menjelaskan secara ringkas perihal murid berpendidikan khas.

Murid berpendidikan khas ialah individu yang diperakui oleh pengamal perubatan seperti ahli optik, ahli audiologi dan ahli psikologi. Bahkan murid berpendidikan khas berkenaan akan didiagnos oleh pakar sebagai murid yang mempunyai kelainan keupayaan seperti penglihatan, pendengaran, pertuturan dan ciri fizikal lain.

Beliau juga berkongsi pengalamannya dalam menghasilkan buku Siri Cekap Bahasa dan Tulis: Membaca dan Berhibur, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau berkata, rasa keterujaan menulis buku tersebut bermula sewaktu terlibat menjadi Penggubal Kurikulum (Suaian) di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut beliau, penghasilan buku tersebut memakan masa lebih kurang enam tahun hingga tujuh tahun. Beliau menghasilkan buku Siri Cekap Bahasa dan Tulis: Membaca dan Berhibur, sebanyak 10 buah.

Buku ini menekankan aspek membaca, menulis dan kod isyarat tangan. Buku ini juga bukan sahaja untuk anak-anak kelainan upaya pendengaran, bahkan kita boleh sebar luaskannya kepada masyarakat umum.

Hauzalazla Mohamed menunjukkan kod isyarat tangan.

Beliau turut mengupas perihal perbezaan di antara kod isyarat tangan dengan bahasa. Katanya, “Bahasa ialah yang kita tuturkan seperti bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa Tamil. Ada perkataan yang dituturkan. Untuk murid kelainan keupayaan pendengaran, asalnya pemerolehan bahasa bermula sejak tahun 1985. Pada masa itu, mereka menggunakan American Sign Language (ASL) dan British Sign Language. Maknanya mereka sudah ada kod isyarat tangan pada ketika itu”.

Di Malaysia, bermula pada tahun 1985, KPM telah menghasilkan senaskhah buku kod tangan yang berjudul Bahasa Malaysia Kod Tangan. Dalam buku itu diterangkan bahawa kod tangan bukan bahasa isyarat. Kod tangan tercipta daripada perkataan bahasa. Apabila sudah menghasilkan kod tersebut, maka kod itu menjadi medium kepada anak istimewa untuk mempelajari bahasa. Penulisan buku itu pula mestilah mengikut tatabahasa yang betul.

Beliau juga menegaskan bahawa pembelajaran kod isyarat tangan dalam kalangan masyarakat umum adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan. Hal ini demikian kerana individu istimewa tersebut juga menjalani kehidupan seperti manusia lain. Sebagaimana ujar beliau, “Mereka mempunyai keluarga, berkahwin, mempunyai anak dan kehidupan sama seperti kita. Sebagai contoh, kod isyarat tangan perlu diketahui di hospital dan balai polis supaya dapat menyantuni mereka. Di Malaysia, kod isyarat tangan ini perlu diperluas dalam kalangan masyarakat kerana mereka sebahagian daripada masyarakat kita”.

Harapan yang tinggi turut disuarakannya agar buku-buku yang beliau hasilkan itu mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat. Buku-buku tersebut juga perlu digunakan sebagai modul pembelajaran di peringkat Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK), Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), prasekolah, dan aliran perdana selain perlu berada di seluruh perpustakaan, universiti dan Institut Pendidikan Guru sebagai bahan rujukan.

Mengenai harapan dan cita-cita saya, saya berharap semoga buku ini akan sampai ke Brunei dan Singapura. Marilah kita sama-sama berganding bahu menyantuni anak-anak istimewa ini untuk mendapat pendidikan yang sewajarnya demi kesejahteraan sejagat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.