Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSibu – Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang (IPGKR) di Bintangor, Sarawak, merupakan satu-satunya IPG yang menawarkan Kursus Bahasa Iban untuk guru pelatih di Malaysia.
Sehubungan dengan itu, Pengarah IPGKR, Dr. Abang Ismail Haji Abang Julhi berharap agar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dapat bersama-sama mereka untuk kesinambungan bahasa Iban supaya dapat diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Hasil kunjungan hormat DBP Cawangan Sarawak ke IPGKR itu yang diketuai oleh Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, satu persetujuan telah dicapai bersama-sama IPGKR mengenai bahasa Iban.
Selain itu, mereka juga akan melaksanakan sinergi dalam aspek penerbitan, bengkel penulisan dan kursus pengacaraan yang akan melibatkan para pensyarah dan guru pelatih berkenaan yang dijangka diadakan pada bulan Oktober nanti.
Kunjungan tersebut diadakan dalam rangka kerja DBP Cawangan Sarawak ke zon tengah bersempena dengan Majlis Wacana dan Pelancaran Buku Masjid Al-Qadim.
Selain itu, pertemuan itu bagi mengetahui dengan lebih lanjut tentang program yang ada di IPGKR dan mengeratkan hubungan antara agensi dalam Kementerian Pendidikan Malaysia, serta membincangkan kerjasama yang dapat dilaksanakan oleh kedua-dua agensi.
Selain itu, antara agenda yang telah dibincangkan dalam pertemuan tersebut termasuklah kerjasama dan penglibatan warga IPGKR, khususnya Jabatan Pengajian Melayu untuk bersama-sama DBP memperkasakan bahasa Melayu di zon tengah Sarawak.