22 Mac 2023, 10:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Tujuh orang pelajar Jepun dari Tokyo University of Foreign Studies (TUFS) bukan sahaja fasih berbahasa Melayu, malah mahir berbahasa isyarat dengan menggunakan kod tangan bahasa Melayu.

Kefasihan dan kemahiran kumpulan berkenaan terserlah ketika mereka berkomunikasi dengan guru dan para pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, semasa kunjungan mereka ke sana baru-baru ini.

Para pelajar TUFS ini mengambil jurusan Bahasa Melayu di universiti tersebut sejak 16 bulan lepas. Bersama-sama tenaga pengajarnya, Puan Faridah Mohamed, mereka mengadakan “Program Sensei Kembara Ilmu” di beberapa lokasi di Malaysia.

Di IPGKIK, pelajar TUFS bersama-sama para pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), mendalami ungkapan bahasa Melayu yang berkaitan dengan budaya makan, pakaian dan permainan tradisional masyarakat Malaysia, termasuklah berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.

Rozita (nama Melayu) atau nama sebenarnya, Risako Yamazaki, 20 tahun, amat teruja dengan pengalaman yang dilaluinya di IPGKIK.

Saya sangat teruja dengan peragaan pakaian tradisional yang sangat unik dan menarik. Selain itu, saya tidak boleh melupakan pengalaman belajar bahasa Melayu yang ditambah dengan kemahiran berbahasa isyarat. Suatu pengalaman yang sangat menarik dan saya tidak akan mendapatnya di tempat lain.

Pelajar IPGKIK yang juga Pengarah Program, Athierah Mohd Azrie, 20 tahun, turut bersyukur kerana diberi peluang merealisasikan program yang bertaraf antarabangsa ini.

Katanya, sebagai pelajar opsyen Bahasa Melayu, beliau dan rakan-rakan berpeluang mengaplikasikan kuliah yang dipelajari dalam situasi sebenar.

Kami perlu mendalami setiap adat dan budaya masyarakat Malaysia seperti adat makan orang Melayu yang duduk bersimpuh, makan menggunakan tangan dan fungsi jari ketika menyuapkan makanan dan lain-lain.

Sementara itu, Puan Norani Abd Rahim, Pensyarah Kursus Bahasa Melayu di IPGKIK, yang juga Pengurus Program amat berbangga dengan usaha dan ketelitian para pelajar IPGKIK menterjemahkan budaya masyarakat Malaysia kepada pelajar TUFS ini.

Katanya, mereka bukan sahaja melakukan demonstrasi makan secara tradisional, memperagakan pakaian tradisional dan permainan tradisional bahkan turut menghasilkan ikon sensori yang beridentitikan Malaysia.

Beliau berkata, ikon sensori yang dibangunkan ini unik kerana ikon berkenaan khusus untuk murid berkeperluan pendidikan khas (masalah pembelajaran).

Ikon Tun Fatimah dan Keluarga Limau ini akan digunakan bagi terapi motor halus murid-murid ini. Dalam pembelajaran, terapi boleh meningkatkan motor halus murid termasuklah kekuatan jari-jemari, koordinasi mata dan tangan dan sebagainya.

Untuk rekod, projek ini mengambil masa setahun sebelum ikon sensori ini ditunjukkan kepada umum.

Puan Norani Abd Rahim (tengah), Pensyarah Bahasa Melayu, IPGKIK yang menjadi pencetus program untuk manfaat pelajar kedua-dua negara bersama-sama pelajar dari Jepun.

 

Permainan congkak antara yang menarik perhatian pelajar dari Jepun.

 

Rozita atau nama sebenarnya, Risako Yamazaki, adalah antara pelajar Jepun yang hadir ke IPGKIK dalam Program Sensei baru-baru ini.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.